Wednesday, December 30, 2009

Penantian Seorang Ibu Hampa


PENDANG – Penantian anak untuk pulang makan tengah hari di rumah hampa setelah dimaklumkan anaknya maut dalam kemalangan yang berlaku di Jalan Tanah Merah dekat rumahnya, semalam.

Omar Hisyam Md Akhir, 24, maut di tempat kejadian kira-kira jam 11.15 pagi apabila sebuah treler yang membawa muatan melanggarnya ketika dalam perjalanan pulang dari tempat mengaji di sebuah masjid dekat Jitra.

Dalam kejadian itu, motosikal yang dinaiki mangsa jenis Modenas Kriss diseret treler berkenaan sejauh dua kilometer gara-gara pemandunya cuba melarikan diri.

Seorang saksi, Anis Falahiyah, 12, yang ketika itu berada di rumahnya berkata, dia mendengar bunyi dentuman yang kuat menyebabkan dia segera keluar dari rumah dan melihat sebuah treler menyeret motosikal dalam kejadian itu.

“Saya terkejut motosikal itu diseret sebuah treler dengan laju menuju ke arah Pekan Tanah Merah.

“Treler itu memandu laju dan tidak berhenti walaupun asap tebal disebabkan seretan itu dan saya menyangka berlaku kemalangan dan treler itu cuba melarikan diri,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di tempat kejadian.

Dalam kemalangan maut itu, Sinar Harian mendapati motosikal itu diseret sejauh dua kilometer daripada tempat kejadian di mana mangsa tercampak.

Serpihan komponen motosikal itu tercampak di sepanjang jalan menuju ke Tanah Merah.

Sementara itu, ibu mangsa, Bahiyah Ahmad, 50, berkata, penantiannya menunggu anaknya untuk pulang makan tengah hari di rumah hampa setelah dimaklumkan anaknya maut dalam kemalangan yang berlaku dekat situ.

“Saya sudah siap memanaskan lauk untuk dihidangkan kerana setiap hari saya membeli nasi lemak tetapi hari ini tidak.

“Saya menunggu dia untuk pulang makan kerana dia selalu pulang makan pada jam 12 tengah hari setiap hari disebabkan dia tidak suka makan pada waktu pagi,” katanya.

Bahiyah berkata, Omar atau Angah yang dipanggil ahli keluarga merupakan anak kedua daripada enam beradik itu ialah bekas pelajar Ijazah Insurans Universiti Utara Malaysia yang telah tamat pengajian hampir dua tahun dan sedang mencari pekerjaan.

“Anak saya merupakan seorang yang pendiam dan tidak suka menghabiskan masa dengan perkara yang tidak berfaedah dan setiap hari dia akan keluar rumah pada jam 7.30 pagi.

“Dia hanya menghabiskan masa setiap hari dengan mengaji di masjid dan akan pulang ke rumah untuk makan dan tidur sahaja,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya lagi, dia terkejut mendengar berita kematian anaknya itu setelah dimaklumkan adik mangsa.

“Saya sedang menjahit sambil menunggu dia untuk pulang makan dan terkejut apabila adiknya memberitahu Angah kemalangan.

“Saya tidak menyedari ada kemalangan yang berlaku dekat rumahnya itu kerana selalunya, jika berlaku apa-apa kemalangan di kawasan itu pasti saya mengetahui terlebih dahulu tetapi pada masa itu mungkin Allah 'menutup' telinga saya untuk mendengar kemalangan itu,” katanya.

Katanya lagi, setelah dimaklumkan mengenai perkara itu, barulah dia terfikir perubahan anaknya itu iaitu dia tidak berpuasa pada hari Isnin kerana selalunya setiap hari Isnin dia akan berpuasa sunat.

Sementara itu, adiknya, Mohd Adham Adli Md Akhir, 12, berkata, ketika kejadian dia berada di rumah jiran dan dimaklumkan rakan bahawa ada kemalangan berlaku dekat situ menyebabkan dia dan ayahnya segera ke tempat kejadian bagi melihat keadaan kemalangan itu.

“Saya terkejut setelah orang ramai membuka plastik hitam yang menutup mayat itu dan mendapati itu ialah abang saya kerana mengenali topi keledar yang dipakai,” katanya.

Sementara itu, Ketua Bahagian Trafik daerah Pendang, Cif Inspektor Abdul Ghani Khamis berkata, kes ini masih dalam siasatan dan beliau memaklumkan bahawa treler itu dari arah Pendang ke Tanah Merah manakala mangsa yang menunggang motosikal dari arah Tanah Merah ke Pendang.

Katanya lagi, pemandu treler itu tidak melarikan diri dan memberhentikan kenderaan di Pekan Tanah Merah kerana bimbang diapa-apakan orang ramai.

“Pihak polis telah menahan pemandu treler itu untuk melakukan siasatan lanjut dan mangsa yang maut dalam kejadian dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk melakukan bedah siasat,” katanya.

Sumber : Sinar Harian Online


Al-FATIHAH KEPADA MANGSA KEMALANGAN TERSEBUT.
MEMANG TIDAK DINAFIKAN... LORI-LORI BANYAK LALU DI JALAN UTAMA TERSEBUT...
INILAH AKIBATNYA KALAU MEMANDU TIDAK IKUT PERATURAN JALAN RAYA....
DAH TAHU "DOUBLE LINE" TAK BOLEH POTONG, PI POTONG JUGA.... 
SEMOGA PEMANDU LORI TERSEBUT MENDAPAT BALASAN SETIMPAL.....

No comments: