SHAH ALAM 31 Okt. - Penyanyi nasyid terkenal yang juga penceramah bebas, Akhil Hayy memohon semua pihak tidak lagi mengaitkan beliau dengan bekas isterinya, Maizawati Zainal.
Jelas Akhil, dia mahu memberi fokus sepenuhnya kepada kehidupan baru bersama isterinya, Nor Wahidah Abdul Wahab atau lebih dikenali sebagai Waheeda bersama anak-anaknya.
Tambahnya, apa saja yang berlaku semuanya sudah ditentukan dan perkara yang lama, baginya tidak perlu diungkitkan lagi.
"Namun begitu, tanggungjawab saya terhadap anak-anak tetap tidak akan saya abaikan kerana takdir hanya memisahkan saya dengan ibu mereka.
"Saya juga tidak akan sesekali mengabaikan tanggungjawab saya sebagai seorang bapa," katanya kepada pihak media selepas majlis persandingannya dengan Waheeda di sini hari ini.
Akhil atau nama sebenarnya, Abdul Akhil Hai, 40, menikahi Waheeda, 30, pada 16 Ogos lalu di Masjid Jamek Ar-Rahimah, Kuala Kubu Baru, Selangor.
Mereka mendirikan rumah tangga dalam tempoh sebulan sebaik saja kes perceraian Akhil dan Maizawati disahkan Mahkamah Rendah Syariah, Ipoh, Perak, pada 15 Julai lalu.
Hasil perkahwinan Akhil dan Maizawati selama 13 tahun itu dikurniakan dengan empat orang anak dan dua daripadanya kini berada di bawah jagaan Akhil.
Mereka ialah anak pertama dan keduanya iaitu Siti Numaisarah, 12, dan Muhd. Sharif Hidayatullah, 11.
Mengulas kehidupan sebagai suami isteri selepas hampir tiga bulan berkahwin dengan Waheeda, bekas vokalis kumpulan rock D' Riyadh itu memberitahu, semuanya berjalan baik dan lancar.
Bukan itu sahaja, dia kagum dengan semangat dan ciri keibuan yang ditonjolkan oleh Waheeda dalam melayari kehidupan sebagai seorang ibu segera.
"Dia cepat mesra dengan anak-anak saya dan daripada situ, saya lihat Waheeda mampu menjadi seorang isteri dan ibu yang baik," ujarnya yang akan mengadakan majlis resepsi di Gopeng, Perak pada 7 November ini.
Sementara itu, Waheeda yang kelihatan sungguh ceria di majlis resepsi itu tetap dengan pendiriannya yang mahu bersara dari dunia seni.
Katanya, selepas bergelar seorang isteri masih lagi ada pihak yang menawarkannya tawaran menyanyi dan berlakon serta mahu mengadakan sesi fotografi bersama suaminya.
"Ingin saya tegaskan di sini, saya sudah bersara dan dunia seni bukan lagi dunia saya.
"Kehidupan saya sudah berbeza dan jadual harian saya kini padat serta diisi dengan tanggungjawab baru sebagai isteri dan ibu," ujarnya yang pernah popular dengan lagu Wassini itu.
No comments:
Post a Comment