Thursday, November 19, 2009

Selamat tinggal Piala Asia 2011




SKUAD bola sepak kebangsaan sudah boleh melupakan hasrat untuk melangkah ke pusingan akhir Piala Asia 2011 selepas tewas 1-3 kepada Uzbekistan pada aksi kelayakan Kumpulan C di Stadium Nasional, Bukit Jalil petang semalam.

Perlawanan berlangsung di atas padang yang licin berikutan hujan lebat di ibu negara sejak tengah hari.

Uzbekistan turun tanpa lima tonggak dalam kesebelasan utama mereka ketika menumbangkan Malaysia 3-1 di Tashkent Sabtu lalu dan juga penjaring dua gol, Alexander Geynrikh.

Sementara Malaysia turun tanpa penyerang utama, Zaquan Adha Radzak yang digantung sekali gus memaksa K. Rajagobal menggandingkan Norshahrul Idlan Talaha dan Ahmad Fakri Saarani.

Pada minit ke-11, Uzbekistan sudah menguji gawang Malaysia menerusi rembatan kaki kiri Jasur Hasanov namun berjaya ditepis keluar Farizal Marlias.

Malaysia turut memperoleh tiga peluang terbaik masing-masing menerusi Ahmad Fakri pada minit ke-15, Baddrol Bakhtiar (19) dan sepakan percuma Safiq Rahim (21) tetapi gagal menepati sasaran.

Uzbekistan akhirnya mendapat gol pertama pada minit ke-31 menerusi tandukan Anvar Gafurov hasil sepakan sudut Hasanov.

Gol tersebut tidak menggugat semangat barisan muda negara apabila rembatan Safiq pada minit ke-37 tepat ke dakapan Temur Juraev dan sepakan percumanya pada masa kecederaan ditepis keluar penjaga gol Uzbekistan itu.

PEMAIN negara, Amri Yahyah (kiri) bersaing dengan kapten Uzbekistan, Kapadze Timur pada perlawanan kelayakan Piala Asia 2011 di Stadium Nasional, Bukit Jalil semalam.


Selepas 10 minit separuh masa kedua berlangsung, Rajagobal memasukkan penyerang Harimau Muda, Ahmad Shakir Md. Ali untuk menggantikan Norshahrul bagi memecah kebuntuan.

Namun sebaliknya berlaku apabila gawang Malaysia pula bolos buat kali kedua pada minit ke-57 menerusi Bakhodir Nasimov.

Malaysia tidak mudah mengalah dan berjaya juga merapatkan kedudukan apabila Baddrol melepaskan rembatan leret hasil lorongan Safiq untuk menewaskan penjaga gol Uzbekistan, Juraev pada minit ke-70.

Kelekaan pertahanan Malaysia bagaimanapun membenarkan Uzbekistan memperoleh gol ketiga dua minit selepas itu menerusi penyudah cantik ketua pasukan, Timur Kapadze untuk menjadikan kedudukan 3-1.

Sumber : Kosmo Online

KALAH LAGI. RAJAGOPAL NAK KENA PECAT PLAK IKUT JEJAK B SATANIATHAN??
APA PENDAPAT ANDA ?

No comments: