Saturday, March 06, 2010

Cabutan Bertuah di Pekan Pendang

Malam ni ada cabutan bertuah di Ekspo Belia Niaga, Mini Stadium Pendang. Jom kita serbu ekspo tersbeut. Siapa ada kopun cabutan bertuah, sila bawa bersama-sama anda. Hadiah Bonanza, Sebuah kereta Proton Saga untuk Anda..... Sebuah Motorsikal .... dan macam-macam lagi hadiah menarik untuk anda... 

Kat aku pun ada 6 kopun saja.. Dah la malam ni ada siaran langsung bola sepak. Team Kedah vs Selangor plak tu. Plan aku malam ni tengok bola separuh masa pertama dan kul 10.00 malam kena ada di Tapak Ekspo... Mintak2 dapat pulang 1 hadiah. Tak kereta, dapat hadiah kecil pun jadilah. Berbaloi juga dok tunggu pengumuman No Bertuah... hehehehehe.....

Dengan harapan, Kedah boleh menang lawan Selangor Malam ni.....
Dan aku plak, dapat 1 hadiah daripada semua hadiah di tawarkan...
Hahahahahaha......

KERETA PROTON 1.........   MOTORSIKAL 1......... <-- Target Mau Hadiah untuk tahun 2010

Thursday, March 04, 2010

Saman Nabil RM2 juta


KUALA LUMPUR: Gara-gara mengkritik filem lakonannya sendiri, juara Raja Lawak musim kedua, Ahmad Nabil Ahmad, 27, disaman RM2 juta oleh syarikat yang menerbitkan filem Lu Pikirlah Sendiri De Movie, SDAF Pictures (M) Sdn Bhd.

Mengesahkan perkara itu, pengarah Lu Pikirlah Sendiri, Aminah Rhapor, 44, berkata notis saman berkenaan sudah dihantar kepada Nabil di kediamannya di Sunway Damansara, dekat Petaling Jaya, pada 24 Februari lalu melalui Tetuan Hing & Alvin, Advocates & Solicitors.


Aminah berkata, Nabil diberi masa 14 hari dari tarikh berkenaan untuk memberikan maklum balas serta memenuhi segala tuntutan daripada pihak plaintif ke atasnya.


“Kami terpaksa menyaman Nabil kerana dia melanggar kontrak bersama SDAF. Nabil bukan saja memperlekehkan filem lakonannya sendiri, tetapi juga tidak menjayakan promosi filem ini seperti yang dijanjikan.


“Kesan daripada tindakan Nabil itu, ia memalit imej buruk ke atas filem ini dan menjejaskan reputasi produser serta saya sendiri sebagai pengarah.


“Sebenarnya kami tidak mahu memperbesarkan isu ini kerana ia boleh diselesaikan secara baik. Kalau dari awal Nabil datang berbincang dengan saya mengenai apa yang dia tidak puas hati, perkara ini boleh diselesaikan secara baik.

“Bagaimanapun, selepas Nabil mengeluarkan kenyataan mengkritik dan memperlekehkan filem ini, dia langsung tidak datang berjumpa saya. Paling tidak pun, dia boleh berjumpa produser filem itu, Datuk Suhaimi Othman untuk minta maaf,” kata Aminah kepada Harian Metro (HM), semalam. Beliau berkata, pihaknya memahami jika jadual kerja Nabil padat, namun pelakon itu langsung tidak muncul mempromosikan filem pertama yang dibintanginya bersama Mila AF5 dan Lan Meet Uncle Hussain (MUH) itu.


“Saya tidak minta Nabil datang ke semua lokasi promosi filem kami itu kerana saya pun tahu dia sibuk, tapi kalau dia datang tunjuk muka sekejap pun saya tak kisah. Malah, Pengurus Pemasaran SDAF banyak kali cuba menghubungi Nabil dan pengurusnya, Latif, tapi hampa,” katanya.


Aminah berkata, pihaknya mengambil keputusan menyaman Nabil sebagai peringatan kepada artis lain terutama yang baru menceburi dunia lakonan.


“Apabila kita bekerja dengan syarikat mana pun, sudah tertulis dalam perjanjian tidak boleh mengutuk tempat kita mencari makan. Itu perkara asas dan ia turut terkandung dalam kontrak filem Lu Pikirlah Sendiri De Movie.


“Sebab itu sebelum Nabil menandatangani kontrak berlakon, saya minta dia bawa balik kontrak itu dan baca dengan betul isi kandungannya. Kalau rasa tidak faham, boleh rujuk dengan peguam. “Kalau tak salah saya, Nabil ada membuat kenyataan dia memang tidak tahu yang dia tidak boleh keluarkan kenyataan memburukkan syarikat. Kalau dia membaca kontrak itu dengan teliti, tentu dia akan tahu semuanya ada.


“Memandangkan tindakan Nabil keterlaluan, ia memberi kesan kepada kami dan juga promosi Lu Pikirlah Sendiri. Jadi kami perlu bertindak bagi memastikan perkara seperti ini tidak berlaku lagi. “Di sebalik apa yang berlaku, saya tidak akan serik untuk mengarah filem lagi. Namun, saya akan pastikan selepas ini tidak ada sesiapa pun akan pijak kepala saya lagi,” katanya.


Lu Pikirlah Sendiri De Movie masih ditayangkan di pawagam tempatan dan setakat ini memungut RM2.1 juta. “Saya percaya rezeki ditetapkan Allah S.W.T, tetapi sebagai manusia, kita mesti berusaha untuk mencapai kejayaan. Begitu jugalah misi filem ini. SDAF sudah mengatur pelbagai strategi untuk mempromosikannya, tapi Nabil merosakkannya. “Dari tarikh surat saman dihantar, Nabil sepatutnya sudah menerima surat itu. Bagaimanapun, kami masih belum menerima sebarang panggilan telefon daripada Nabil ataupun pengurusnya, Latif,” katanya. 

Sumber : Harian Metro Online
PAYAH JUGA KAN BILA DAH JADI ARTIS...

Malaysia Tangga 146 Dunia

 KUALA LUMPUR - Malaysia berjaya melonjakkan kedudukan ke tangga 146 ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA); satu kenaikan yang dianggap terbaik dalam tempoh lima tahun.

Berdasarkan senarai ranking dunia FIFA, semalam, Malaysia memperbaiki kedudukan 13 anak tangga, berbanding senarai yang dikeluarkan bulan lalu iaitu di tangga ke-159 dunia.

Dalam senarai terbaru yang diperoleh daripada laman web rasmi www.fifa.com itu, kedudukan terkini skuad bola sepak Malaysia itu turut dibantu dengan kemenangan menewaskan Yemen dalam perlawanan persahabatan pada 27 Februari lalu.

Malaysia pernah mencatat keputusan terbaik pada tahun 1993 iaitu di kedudukan 79, 1994 (89), 1996 (96) dan 1997 (87).

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad ketika diminta mengulas berkata, peningkatan yang ditunjukkan pasukan negara merupakan petanda baik buat arena bola sepak negara.

"Pertama sekali saya ucapkan tahniah kerana peningkatan yang amat baik ini dan berharap ia terus sentiasa konsisten.

"Apa yang dapat saya katakan, peningkatan itu merupakan hasil perubahan yang ditunjukkan skuad bola sepak negara iaitu dari kesungguhan para pemain dan paling utama adalah bimbingan berkesan K. Rajagobal yang harus diberi pujian," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.

Mengulas perlawanan menentang Yemen bulan lalu, Azzuddin berkata, ia patut berlaku (kenaikan ranking) kerana kita menunjukkan corak permainan yang hebat.

"Sudah lama kita tidak menyaksikan corak permainan sebegitu. Ia sememangnya ada perubahan," ujarnya.

Bagi mengekalkan konsistensi itu, tambahnya, skuad negara memerlukan perlawanan melibatkan pasukan lawan yang hebat untuk meningkatkan lagi daya saing.

"Kita sedang berusaha mencari pasukan yang mantap dan antara yang telah tersenarai nanti adalah menentang Thailand, bulan ini dan juga undangan daripada Korea dalam masa terdekat ini.

"Malah, kita turut merancang untuk mengadakan perlawanan dengan Uzbekistan dan sebuah lagi, adalah negara timur tengah yang berkemungkinan adalah Qatar," jelasnya.

Dalam pada itu, berlaku sedikit perubahan di kedudukan teratas dengan dominasi diteruskan oleh Sepanyol di tempat pertama diikuti Brazil, Belanda dan Itali yang masih unggul mengekalkan empat tempat teratas.

Jerman pula melonjak satu anak tangga di kedudukan kelima manakala Greece yang dulu di tangga ke-12, menghuni kedudukan ke-10.

Sumber : Utusan Malaysia Online & Fifa.Com
TERUSKAN MEMPERBAIKI RANKING DUNIA..

Restoran Guna Sijil Halal Palsu

 
Pegawai Jakim (kiri) menyoal siasat petugas sebuah restoran di Damansara Damai, Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 3 Mac - Mengaku Islam tetapi tergagap-gagap apabila diminta mengucap dua kalimah syahadah dan membaca Al-Fatihah.

Akibatnya, bukan sahaja tembelang pekerja sebuah restoran mamak di Damansara Damai itu pecah, bahkan muslihat majikannya memalsukan sijil halal turut terbongkar.

Ketika pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menjalankan sesi ujian dalam serbuan di restoran itu hari ini, pekerja yang berasal dari selatan India itu hanya terkebil-kebil ketika dia yang mengaku Islam diminta mengucap dan membaca surah Al-Fatihah.

Serbuan pada pukul 11 pagi itu dilakukan sepasukan pegawai Jakim dibantu pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Putrajaya.

Penolong Pengarah Cawangan Pemantauan dan Penguatkuasaan Bahagian Hab Halal Jakim, Amri Abdullah berkata, ia dilakukan selepas pihaknya menerima aduan pengguna yang keliru dengan status halal restoran tersebut yang majoriti pekerjanya adalah warga asing.

Beliau berkata, pemeriksaan mendapati terdapat tiga logo halal disyaki palsu ditampal di tiga penjuru restoran yang dimiliki oleh peniaga bukan Islam itu.

Katanya, seorang penyelia restoran yang disoal siasat cuba memperdayakan pegawai penguat kuasa dan mendakwa restoran itu ditauliahkan sijil halal Jakim.

Bagaimanapun, katanya, helah tersebut tidak berjaya kerana dia gagal menunjukkan sijil itu apabila diminta.

"Lelaki terbabit kemudian memberi alasan sijil halal berkenaan disimpan oleh pemilik syarikat yang kini berada di Kedah atas urusan perniagaan," katanya ketika ditemui selepas mengetuai operasi itu di sini hari ini.

Menurut Amri, alasan itu dianggap tidak munasabah kerana kebiasaannya pemilik restoran atau kilang akan mempamer atau menggantungkan sijil halal dalam premis untuk meyakinkan pelanggan.

"Curiga dengan alasan diberikan, maka kami sengaja mengatur sesi ujian ringkas dengan meminta penyelia kedai terbabit menunjukkan pekerja beragama Islam yang ada di restoran itu.

"Dia segera memanggil seorang pekerjanya yang didakwa beragama Islam berasal dari India.

" Namun, mengejutkan apabila dia (pekerja berkenaan) langsung tidak tahu mengucap dua kalimah syahadah apatah lagi membacakan ayat mudah seperti surah Al-Fatihah apabila diminta," katanya.

Amri berkata, ditanya sama ada dia pernah mendirikan solat, lelaki terbabit mengaku hanya ibu dan kakaknya di kampung sahaja yang bersembahyang.

Katanya, ini jelas menunjukkan lelaki terbabit hanya Islam pada zahirnya tetapi tidak pernah faham atau mengamalkan ajaran Islam sebenar.

"Sehubungan itu, pihak Jakim percaya semua pekerja di restoran terbabit adalah bukan Islam dan tidak layak untuk mendapatkan sijil halal," katanya.

Bimbang pemilik restoran terus memperdaya pelanggan, kata Amri, pihaknya mengarahkan supaya logo halal terbabit ditanggal serta-merta.

Katanya, pemilik restoran itu boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 15(1) Akta Perihal Dagangan 1972 kerana memalsukan logo sijil halal Jakim yang boleh membawa denda maksimum RM250,000 jika sabit kesalahan.

Sumber : Utusan Malaysia Online
FIKIR 2 KALI DULU SEBELUM MAKAN DI RESTORAN NASI KANDAR MAMAK

Wednesday, March 03, 2010

Seks Depan Kamera Web

KUALA LUMPUR: “Dia pernah paksa saya lakukan persetubuhan di depan web cam (kamera web) untuk disaksikan orang lain. Saya terpaksa menurut kehendaknya jika tidak dia akan mengamuk,” kata isteri ‘Jutawan Lubnan’, ketika memberi keterangan dalam permohonan cerai fasakh di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, semalam.

Plaintif, Farinnie Mohd Farid, 24, yang memohon membubarkan perkahwinannya dengan Elie Yousseff Najem, 50, berkata sepanjang perkahwinan mereka, dia juga dianiaya secara seksual oleh defendan yang dinikahinya pada 6 Oktober 2005. “Walaupun saya datang haid, dia akan paksa saya untuk ‘bersamanya’. Ketika lepas pantang juga dia sering liwat saya,” kata Farinnie.


Kes itu didengar di hadapan Hakim Mamat Haizan Salleh, manakala defendan yang tidak hadir ke mahkamah tidak diwakili peguam.


Sepanjang perkahwinan mereka, pasangan itu dikurniakan dua cahaya mata Prince Kovadis Elias Youssef Najem, 3, dan Nur Analeeza Sofya, 2. Selain itu Farinnie mendakwa suaminya cuai dalam memberi nafkah, sering menganiayanya dan tingkah lakunya bertentang dengan ajaran Islam.


Menjawab pertanyaan peguam Syarie Fakhrul Azman Abu Hassan yang mewakilinya, plaintif berkata selain melakukan kekerasan terhadapnya seperti menarik rambut dan mengasarinya, defendan selalu memaki hamunnya dan mengutuk agama Islam. Plaintif turut mendakwa suaminya tidak membenarkannya solat dan berpuasa serta memaksanya memakai salib dan pernah sekali menganjurkan upacara sembahyang untuk hari Ester di rumah mereka di Bangsar. 

FAKHRUL AZMAN: Boleh beritahu mahkamah apa penganiayaan defendan terhadap kamu? 

FARINNIE: Dia pernah tarik rambut saya beberapa kali, sering tengking saya dan kalau berlaku pergaduhan dia akan berkasar terhadap saya. Kejadian tarik rambut berlaku beberapa kali antaranya ketika di Genting Highlands sewaktu dia kalah berjudi. Dia begitu marah kerana kalah dan tarik rambut saya depan orang ramai. Kejadian itu pada tahun 2006. 

FAKHRUL AZMAN: Apa kesan daripada tindakan itu? 

FARINNIE: Saya rasa semakin takut terhadapnya dan rasa tidak selamat tinggal bersamanya.


FAKHRUL AZMAN: Ada buat laporan polis atau laporan di hospital? FARINNIE: Tidak.

FAKHRUL AZMAN: Kejadian lain? 

FARINNIE: Ketika mengandungkan anak sulung, kandungan saya enam bulan, dia pernah tolak meja sehingga kena perut saya. Ada rasa sakit tapi alhamdulillah tidak ada kesan pada bayi. 

FAKHRUL AZMAN: Ketika kejadian itu kamu tidak lapor pada polis? 

FARINNIE: Tidak.


FAKHRUL AZMAN: Kenapa? 

FARINNIE: Sepanjang bersamanya saya dikurung dalam rumah. Kalau dia keluar atau berada dalam rumah, dia akan pegang semua kunci. 

FAKHRUL AZMAN: Perbuatan luar tabii, adakah kamu ambil apa-apa tindakan?

FARINNIE: Saya pernah lapor pada Jais pada hujung 2007, namun tiada tindakan. Saya tak buat laporan polis sebab tidak mahu kecohkan perkara ini. 

FAKHRUL AZMAN: Berapa lama perkara itu berulang? 

FARINNIE: Seminggu dua tiga kali sejak 2005 hingga 2007. 

FAKHRUL AZMAN: Pernah bantah tindakannya? 

FARINNIE: Pernah, tapi dia akan berkasar terhadap saya. Dia pernah tampar saya tiga kali di bahagian kening. Saya lapor pada polis tapi sejak saya balik pada dia saya tarik balik laporan itu. 

FAKHRUL AZMAN: Apa yang membuatkan kamu tarik balik laporan itu? 

FARINNIE: Sebab dia janji akan berubah dan berjanji tidak akan buat lagi jadi saya tarik balik laporan. 

FAKHRUL AZMAN: Defendan berubah tak selepas itu? 

FARINNIE: Tidak. Farinnie berkata pada pagi 30 Ogos 2007, selepas bangun dari tidur dia ternampak suaminya sedang menunjukkan kemaluan di hadapan web cam ketika sedang bersembang di laman sosial. Ketika suaminya tidur pada tengah hari berkenaan, dia melarikan diri. Perbicaraan bersambung pada 7 dan 19 April ini. 

Sumber : Harian Metro Online
AKU RASA, JUTAWAN LUBNAN PALSU NI DAH GILA AGAKNYA...

Muka Dicakar Guru

 KANGAR: “Anak bongsu saya pernah demam selepas didenda ketuk ketampi guru berkenaan tetapi saya berdiam diri. Kali ini, saya betul-betul kecewa apabila melihat pipinya berdarah dipercayai dicakar guru yang sama.

“Malangnya guru berkenaan sanggup bertegang urat dengan saya dengan menafikan melakukan perbuatan itu dan mendakwa luka di pipi disebabkan terkena kotak pensel,” kata Zakaria Kasa, 39, bapa kepada Zaidi Putra, murid Tahun Satu sebuah sekolah rendah di Sanglang, semalam.

Beliau berkata, dalam kejadian jam 8.40 pagi Selasa minggu lalu, Zaidi, 7, luka di pipi kanan selepas terkena kuku guru wanita berusia awal 50-an didakwa bertindak mencakar muka anaknya. Katanya, guru yang mengajar subjek Bahasa Inggeris itu dikatakan bertindak demikian selepas berang apabila Zaidi gagal menyiapkan kerja sekolah, namun guru berkenaan menafikan melakukan perbuatannya itu dan guru besar menghubunginya semalam meminta maaf.

“Zaidi menangis ketakutan dan enggan menyatakan punca luka di bawah matanya ketika dia ke sekolah selepas kejadian.


“Pada jam 2 petang hari sama, saya ke sekolah sekali lagi menghantar makanan dan Zaidi masih menangis memaklumkan luka di atas pipi disebabkan terkena kuku guru berkenaan.


“Guru itu sebaliknya menyalahkan anak saya yang dikatakan nakal dan mendakwa luka terbabit akibat terkena kotak pensel jenis kain milik Zaidi,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sungai Belati, Simpang Empat.

Zakaria membawa keluar Zaidi walaupun belum selesai sesi sekolah tambahan untuk mendapatkan rawatan di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) dan bertindak membuat laporan di Balai Polis Simpang Empat, jam 4 petang pada hari kejadian.

Dia turut memaklumkan perbuatan guru berkenaan kepada Pengarah Pelajaran Perlis, Mansor Lat, tetapi jabatan berkenaan enggan mengulas lanjut kerana kes itu menjadi kes polis.

Tinjauan Harian Metro semalam mendapati kesan luka di pipi Zaidi jelas kelihatan walaupun sudah seminggu. Zakaria seorang petani dan baru menduduki rumah percuma ‘Mesra Rakyat’ pemberian kerajaan.

Beliau mempunyai seorang lagi anak, Nuralia Natasha, 10, yang belajar di sekolah sama dan tidak hadir ke sekolah sejak seminggu lalu.

Malah, pihak pentadbiran sekolah tidak pernah menghubungi keluarga itu bagi menanyakan sesuatu mengenai kes terbabit serta perkembangan kedua-dua pelajarnya yang tidak bersekolah.

Zakaria berkata, selepas kecewa dengan sikap guru dan kurang perhatian pihak sekolah, beliau mengambil keputusan menukarkan kedua-dua anaknya ke sekolah lain dan mengambil surat berhenti sekolah semalam.

“Guru besar sekolah menghubungi saya semalam untuk memohon maaf ke atas kejadian menimpa Zaidi dan saya tidak berpuas hati kerana permohonan maaf bukannya daripada mulut guru terbabit,” katanya.

Beliau berkata, dia berdiam diri apabila Zaidi demam selepas dikenakan denda ketuk ketampi oleh guru sama baru-baru ini dan paling menyedihkan guru berkenaan pernah menulis `anak kamu malas’ dalam buku kerja sekolah anaknya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Abdul Rahman Mohd Noordin, mengesahkan polis menerima aduan daripada Zakaria dan siasatan dilakukan.

Sumber : Harian Metro Online
APA PENDAPAT KORANG DENGAN BERITA INI ??

Patung Kepala Firaun Ditemui

 Patung kepala Firaun berusia 3,400 tahun yang baru ditemui tertanam di Kom el-Hetan di Luxor, Mesir. - REUTERS

KAHERAH 2 Mac - Sebuah patung kepala gergasi daripada granit milik Amenhotep III, datuk Tutankhamun, telah ditemui di Luxor, menurut Menteri Kebudayaan Mesir, Farouk Hosni kelmarin.

Dikilatkan dengan bersih sehingga 'menampakkan ukiran raut wajah yang muda', kepala berukuran 2.5 meter tinggi itu adalah sebahagian daripada ukiran patung Amenhotep III dalam posisi berdiri dan memakai mahkota putih Upper Egyptian sambil memegang tanda kebesaran diraja.

Saintis yang mengendalikan ujian DNA dan imbasan tomografi berkomputer (CT Scan) ke atas beberapa mumia yang dikenal pasti sebagai Amenhotep III, datuk kepada Tutankhamun, raja muda yang dilahirkan hasil perkahwinan sumbang mahram antara Ankhenaten dan adik perempuannya, yang mana kedua-duanya adalah anak Amenhotep III.

Hourig Sourouzian, yang mengetuai misi pemuliharaan itu berkata, kepala Amenhotep itu merupakan antara 84 artifak yang tertanam di dalam sebuah kuil pengkebumian di tebing barat Sungai Nil di Luxor.

"Kami telah mengumpulkan kuantiti yang besar serpihan patung granit berwarna merah itu yang 'berdiri' di bahagian selatan kuil pengkebumian Amenhotep III itu," katanya.

Beliau turut berkata, sebahagian daripada patung itu telah disimpan. - Reuters

Sumber : Utusan Malaysia Online
SEJARAH..

Anggota Polis Tembak Bakal Isteri Dipercayai Gara-Gara Cemburu

KUALA LUMPUR 2 Mac – Akibat mengikut perasaan cemburu, seorang anggota polis bertindak menembak bakal isterinya dan abang mangsa di sebuah rumah di Projek Perumahan Rakyat Kerinchi di sini, malam ini.

Bakal isteri suspek, G. Prema, 24, dan abangnya, G. Davandran, 25, ditembak oleh anggota polis itu yang bertugas sebagai pemandu di Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini. Kedua-dua mangsa bagaimanapun hanya mengalami kecederaan ringan.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Aziz Zakaria berkata, ketika kejadian pada pukul 9.45 malam itu, mangsa yang datang ke rumah mangsa telah bergaduh sebelum melepaskan tembakan.

“Dalam pertengkaran itu suspek telah melakukan empat tembakan dan tiga daripadanya mengenai kedua-dua mangsa.

“Bakal isteri suspek cedera di perut dan tangan, manakala abangnya pula cedera di bawah telinga kiri akibat terkena serpihan peluru,” katanya kepada pemberita di tempat kejadian, malam ini.

Beliau menambah, akibat takut dengan tindakannya itu suspek kemudianya cuba membunuh diri dengan meminum racun tetapi sempat diselamatkan oleh anggota polis yang tiba di tempat kejadian.

Katanya, kedua-dua mangsa yang mengalami kecederaan ringan itu telah dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk menerima rawatan.

Tambahnya, suspek telah ditahan untuk disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

Sumber : Utusan Malaysia Online
CEMBURU PUNYA PASAL SAMPAI SALAH GUNA SENJATA