Wednesday, March 03, 2010

Muka Dicakar Guru

 KANGAR: “Anak bongsu saya pernah demam selepas didenda ketuk ketampi guru berkenaan tetapi saya berdiam diri. Kali ini, saya betul-betul kecewa apabila melihat pipinya berdarah dipercayai dicakar guru yang sama.

“Malangnya guru berkenaan sanggup bertegang urat dengan saya dengan menafikan melakukan perbuatan itu dan mendakwa luka di pipi disebabkan terkena kotak pensel,” kata Zakaria Kasa, 39, bapa kepada Zaidi Putra, murid Tahun Satu sebuah sekolah rendah di Sanglang, semalam.

Beliau berkata, dalam kejadian jam 8.40 pagi Selasa minggu lalu, Zaidi, 7, luka di pipi kanan selepas terkena kuku guru wanita berusia awal 50-an didakwa bertindak mencakar muka anaknya. Katanya, guru yang mengajar subjek Bahasa Inggeris itu dikatakan bertindak demikian selepas berang apabila Zaidi gagal menyiapkan kerja sekolah, namun guru berkenaan menafikan melakukan perbuatannya itu dan guru besar menghubunginya semalam meminta maaf.

“Zaidi menangis ketakutan dan enggan menyatakan punca luka di bawah matanya ketika dia ke sekolah selepas kejadian.


“Pada jam 2 petang hari sama, saya ke sekolah sekali lagi menghantar makanan dan Zaidi masih menangis memaklumkan luka di atas pipi disebabkan terkena kuku guru berkenaan.


“Guru itu sebaliknya menyalahkan anak saya yang dikatakan nakal dan mendakwa luka terbabit akibat terkena kotak pensel jenis kain milik Zaidi,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sungai Belati, Simpang Empat.

Zakaria membawa keluar Zaidi walaupun belum selesai sesi sekolah tambahan untuk mendapatkan rawatan di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) dan bertindak membuat laporan di Balai Polis Simpang Empat, jam 4 petang pada hari kejadian.

Dia turut memaklumkan perbuatan guru berkenaan kepada Pengarah Pelajaran Perlis, Mansor Lat, tetapi jabatan berkenaan enggan mengulas lanjut kerana kes itu menjadi kes polis.

Tinjauan Harian Metro semalam mendapati kesan luka di pipi Zaidi jelas kelihatan walaupun sudah seminggu. Zakaria seorang petani dan baru menduduki rumah percuma ‘Mesra Rakyat’ pemberian kerajaan.

Beliau mempunyai seorang lagi anak, Nuralia Natasha, 10, yang belajar di sekolah sama dan tidak hadir ke sekolah sejak seminggu lalu.

Malah, pihak pentadbiran sekolah tidak pernah menghubungi keluarga itu bagi menanyakan sesuatu mengenai kes terbabit serta perkembangan kedua-dua pelajarnya yang tidak bersekolah.

Zakaria berkata, selepas kecewa dengan sikap guru dan kurang perhatian pihak sekolah, beliau mengambil keputusan menukarkan kedua-dua anaknya ke sekolah lain dan mengambil surat berhenti sekolah semalam.

“Guru besar sekolah menghubungi saya semalam untuk memohon maaf ke atas kejadian menimpa Zaidi dan saya tidak berpuas hati kerana permohonan maaf bukannya daripada mulut guru terbabit,” katanya.

Beliau berkata, dia berdiam diri apabila Zaidi demam selepas dikenakan denda ketuk ketampi oleh guru sama baru-baru ini dan paling menyedihkan guru berkenaan pernah menulis `anak kamu malas’ dalam buku kerja sekolah anaknya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Abdul Rahman Mohd Noordin, mengesahkan polis menerima aduan daripada Zakaria dan siasatan dilakukan.

Sumber : Harian Metro Online
APA PENDAPAT KORANG DENGAN BERITA INI ??

No comments: