Thursday, November 25, 2010

Najib terima Anugerah Berlian AFC

NAJIB Tun Razak dikalungkan pingat Anugerah Berlian AFC 2010 oleh Mohamed Hammam pada majlis khas di Petaling Jaya, semalam.



PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mendapat pengiktirafan Konfederasi Sepak Asia (AFC) selepas menjadi penerima Anugerah Berlian AFC tahun ini, semalam.

Anugerah tersebut diberikan kepada individu yang banyak memberikan sumbangan dalam pembangunan dan promosi sukan bola sepak, di dalam dan luar padang.

Penerima anugerah dipilih oleh Jawatankuasa Eksekutif AFC dan Malam Anugerah Tahunan AFC berlangsung di Hotel Sunway Resort.

Anugerah yang diterima Najib juga berdasarkan sumbangan yang berterusan dan kesetiaan dalam tempoh beberapa tahun atau sumbangan yang memberi impak besar kepada bola sepak Asia.

Najib juga bakal menerima keistimewaan daripada AFC, termasuk jemputan bagi semua pertandingan dan majlis rasmi AFC.

Anugerah tersebut disampaikan oleh Presiden AFC, Mohamed Hamam yang menghargai sumbangan daripada Najib, sejak beliau memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri sehinggalah menjadi Perdana Menteri pada 3 April 2009.

Sementara itu, dalam ucapannya Perdana Menteri berkata, bola sepak adalah model terbaik kepada perpaduan pelbagai kaum di Malaysia.

Menurut beliau, sukan itu mengajar semua rakyat mengetepikan segala perbezaan dan bersatu sebagai sebuah pasukan yang mantap bagi mencapai kejayaan.

“Bola sepak adalah simfoni kepada kerja dalam berpasukan dan bagaimana kita perlu menyusun sebaik mungkin permainan antara semua ahli pasukan untuk berjaya,’’ katanya.

Turut hadir, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Sumber : Utusan Malaysia Online
TAHNIAH PM NAJIB, TERIMA ANUGERAH BERLIAN AFC...
DENGAN HARAPAN LEPAS NI, SETIAP PERLAWANAN SKUAD MALAYSIA BOLEH DITAYANGKAN LIVE DI SIARAN RTM...
ITU JUGA SEBAGAI MEMPROMOSIKAN BOLA SEPAK  ... KAN ?

No comments: