Tuesday, November 30, 2010

Bukan Islam tidak boleh guna ayat al-Quran

PUTRAJAYA 29 Nov. – Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria mahu para pemimpin politik bukan Islam tidak sewenang- wenangnya mempergunakan ayat suci Al-Quran untuk kepentingan politik mereka.

Tegas beliau, ahli politik bukan Islam tidak dibenarkan menggunakan ayat suci Al-Quran dalam ceramah mereka.

“Perkara itu sama seperti menghina Islam dan umat Islam yang menjadi majoriti rakyat di negara ini.

“Kita perlu ingat bahawa al- Quran merupakan kitab suci bagi umat Islam dan ayat suci Al- Quran tidak boleh dipermainkan oleh sesiapapun,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan ahli-ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) beragama Islam yang sanggup membenarkan seorang perwakilan bukan Islam menghina kesucian al-Quran apabila tafsir yang digunakan tunggang-langgang dan terkeluar daripada konteks sebenar.

Ia terjadi semasa Perwakilan Angkatan Muda Keadilan (AMK), K.Subramaniam membahaskan ucapan dasar Presiden pada hari terakhir Kongres Nasional Tahunan PKR Ketujuh di Petaling Jaya semalam apabila dia membaca tafsir daripada ayat 190 dan 191 surah Ali-Imran.

Tindakan beberapa ahli pakatan pembangkang menghina kesucian Al-Quran bukan perkara baru di negara ini.

Tahun lepas, dalam satu ceramah politik Ahli Parlimen Padang Serai, N. Gobalakrishnan daripada PKR tanpa segan silu menggunakan ayat suci al-Quran bagi menarik perhatian penyokong parti itu.

Pada 4 April 2009 pula, Ahli Parlimen Taiping yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Pantai Remis daripada DAP, Nga Kor Ming turut melakukan perbuatan yang sama dalam ceramah pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Bukit Gantang.

Harussani mengingatkan, jika dibiarkan perkara itu berlarutan, ia boleh mencemarkan imej Islam.

Sumber : Utusan Malaysia Online
BUKAN ISLAM TIDAK BOLEH GUNA AYAT AL-QURAN !!

No comments: