Tuesday, November 30, 2010

Suri rumah berjaya beku harta suami RM98.5 juta

KUALA LUMPUR 29 Nov. - Seorang suri rumah hari ini berjaya memperoleh perintah pembekuan sementara (mareva order) dari Mahkamah Tinggi di sini ke atas harta suaminya yang dianggarkan berjumlah lebih RM98.5 juta.

Dengan adanya perintah sebelah pihak itu, suami kepada Fatimah Abdul Aziz, 61, tidak boleh mengeluarkan, melupuskan atau mengurangkan nilai asetnya yang berada di bawah namanya sendiri atau bersama sehingga pendengaran kes antara kedua-dua belah pihak (inter-parte) pada 9 Disember ini.

Antara aset-aset yang didakwa dimiliki oleh ahli perniagaan, Sannusi Ngah, 52, adalah saham-saham di tujuh buah syarikat termasuk di Budi Tenggara Sdn. Bhd. (Budi Tenggara) yang turut memiliki sebanyak 561,503 unit saham di Hartalega Holdings Bhd. (HHB) dan Hartalega Industries Sdn. Bhd. (HISB).

Lelaki itu turut didakwa memiliki kira-kira 10 akaun simpanan di beberapa buah bank termasuk di Lembaga Tabung Haji dan Amanah Saham Bumiputera (ASB).

Turut disenaraikan adalah akaun simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan keahlian kelab golf, sebuah kediaman dan polisi insurans.

Hakim Harmindar Singh Dhaliwal membenarkan permohonan tersebut selepas berpuas hati dengan hujah peguam, K. Shanmuga bahawa kes itu mempunyai merit untuk dihujahkan dan wujudnya risiko saham-saham tersebut akan dilupuskan.

Selain Shanmuga, Fatimah turut diwakili peguam Datuk Mohd. Haaziq Pillay.

Fatimah yang pernah bekerja sebagai eksekutif di sebuah syarikat perdagangan komoditi memfailkan writ saman itu pada 22 November lalu dengan menamakan suaminya sebagai defendan pertama.

Turut dinamakan sebagai defendan ialah abang iparnya, Md. Jais Ngah, 65, dan syarikat pelaburan, Budi Tenggara selaku defendan kedua dan ketiga.

Dalam saman tersebut, Fatimah mendakwa, suami dan abang iparnya secara bersama atau bersendirian telah menyebabkan Budi Tenggara melupuskan saham-saham dalam HHB iaitu di antara April 2009 dan Julai lalu.

Wanita itu mendakwa separuh daripada aset yang diletakkan di bawah nama Sannusi merupakan miliknya yang dipegang oleh suaminya selaku pemegang amanah.

Fatimah yang merupakan ibu kepada seorang anak perempuan berusia 16 tahun, juga kini dalam proses memfailkan fasakh terhadap suaminya di Mahkamah Syariah di sini selepas mendakwa hubungan mereka menjadi keruh.

Menurut pernyataan tuntutan, plaintif menyatakan, sepanjang perkahwinan mereka dan sebelum berhenti kerja selepas memperoleh cahaya mata pada 1994, beliau telah membuat pelaburan bersama Sannusi termasuk membeli sebuah rumah di Taman Tun Dr. Ismail, di sini.

Oleh yang demikian, Fatimah mendakwa, beliau merupakan pemilik bersama atau pemilik benefisial kepada aset-aset tersebut.

Sehubungan itu, beliau antara lain memohon satu deklarasi bahawa sejumlah saham dalam HHB dan HISB yang didaftarkan di bawah nama Budi Tenggara merupakan miliknya serta perlu dipindahkan ke atas namanya.

Fatimah turut memohon perintah agar defendan pertama hingga ketiga mendedahkan mengenai jumlah wang, keuntungan termasuk dividen dan bonus yang diterima oleh kesemua defendan atas saham-saham yang dimiliki serta jumlah yang sama hendaklah dibayar kepada plaintif.

Selain itu, beliau memohon ganti rugi am dan teladan serta faedah sebanyak lapan peratus ke atas sebarang jumlah wang yang ditetapkan oleh mahkamah.

Turut dituntut adalah kos dan relif-relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Sumber : Utusan Malaysia Online
BANYAK NYA HARTA DIA.. JAGA-JAGA.. 
TAKUT PENYANGAK PI SERANG PLAK..

No comments: