Sunday, May 30, 2010

Mourinho SAH!! Pimpin Real Madrid


Berbekalkan pengalaman dan kebijaksanaan pengendali pasukan Inter Milan dan bekas Pengurus Chelsea ini, Real Madrid telah SAH!! mengambilnya mengendali skuad Real Madrid musim depan. Mampukah Real Madrid cemerlang dengan Pengurus barunya itu? Berikut berita daripada akhbar Berita Harian Online...




MADRID: Real Madrid akan mengumumkan Jose Mourinho sebagai jurulatih mereka esok selepas kelab bersetuju aspek pampasan yang perlu dibayar kepada Inter Milan, menurut kelab Sepanyol itu kelmarin.

Presiden Inter, Massimo Moratti dan rakan sejawatannya dari Real, Florentino Perez bertemu untuk membentangkan butiran mengenai pakej bagi membenarkan Mourinho meninggalkan juara Serie A, Piala Itali dan Liga Juara Juara itu untuk menyertai Real yang sudah sembilan kali muncul juara Eropah.
Ketika media Sepanyol dan Itali melaporkan Inter bakal menerima durian runtuh 8 juta euro (RM30.38 juta), kenyataan yang dikeluarkan juara Itali itu sekadar menyatakan “Pada akhir kontrak, Real perlu melunaskan semua fasal dalam perjanjian itu.”
Inter menambah, pertukaran pemain mungkin menjadi sebahagian daripada perjanjian itu.

Mourinho memimpin Inter untuk tiga piala pada musim lalu, termasuk menumpaskan Bayern Munich pada perlawanan akhir Piala Liga Juara-Juara di Stadium Bernabeu yang juga menjadi gelanggang rasmi Real.

Gergasi Sepanyol itu beralih kepada bekas pengurus Chelsea itu selepas memecat Manuel Pellegrini minggu ini selepas kelab gagal meraih sebarang piala meskipun sudah melabur lebih 250 juta euro pada musim panas lalu untuk menghimpunkan pemain terbaik dunia.

“Kami yakin kami perlu mendapatkan suntikan baru dan yakin Jose Mourinho menjadi orang yang paling tepat untuk mengisi jawatan itu,” kata Perez ketika itu.
Tindakan memilih Mourinho menyaksikan peralihan arah bagi Perez yang sebelum ini memilih pendekatan melabur wang bagi mendapatkan pemain terbaik dunia berbanding mencari jurulatih berprofil tinggi.

Mourinho, 47, mempunyai reputasi tinggi sebagai pembakar semangat, pakar taktikal dan sebagai pengurus dia dilihat cukup kuat untuk menempuh cabaran jatuh bangun pasukan yang diikuti rapat oleh media tempatan. – Reuters

Sumber : Berita Harian Online

MAMPUKAH MOURINHO CEMERLANG DI MADRID ????

No comments: