Sunday, March 28, 2010

Curang, masalah nafkah punca 120 pasangan bercerai di Perlis

KANGAR: Sejumlah 120 pasangan dilaporkan bercerai di Perlis sepanjang tempoh kurang daripada tiga bulan pertama tahun ini, dengan majoritinya berpunca daripada masalah nafkah dan kecurangan.

Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam dan Pembangunan Hadhari negeri, Jafperi Othman, berkata keadaan itu menimbulkan senario kebimbangan yang tinggi, apatah lagi ia dikhuatiri menjejaskan institusi kekeluargaan yang menjadi nadi utama pembangunan masyarakat.

Katanya, sepanjang tahun lalu, sejumlah 698 kes membabitkan masalah rumah tangga dirujuk kepada pihak Jabatan Agama Islam Perlis (JAIPs). Jumlah itu, katanya mewakili hampir 30 peratus daripada 2,037 perkahwinan yang didaftarkan di negeri ini sepanjang tahun lalu, yang dilihat cukup membimbangkan.

“Tambah merisaukan, apabila 502 daripada 698 kes terbabit berakhir dengan perceraian, apabila pasangan suami isteri terbabit gagal mencari jalan penyelesaian, sekali gus memutuskan untuk berpisah,” katanya di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu, sempena Mesyuarat Agung Persatuan Melayu Perlis (Pemanis) ke-5 di Dewan Budaya, di sini. Hadir sama, Yang Dipertua Pemanis, Datuk Mohd Zain Hamzah.

Mengulas lanjut senario berkenaan, Jafperi berkata kebanyakan masalah perkahwinan termasuk yang membawa kepada perceraian di Perlis dikesan berpunca daripada masalah nafkah serta kecurangan.
Kebanyakan kes perceraian, terutama yang berpunca daripada masalah nafkah majoritinya disebabkan kedudukan kewangan si suami yang kurang stabil, terutama apabila pasangan terbabit berkahwin awal iaitu pada usia yang terlalu muda.

“Bagi saya masalah sedemikian seharusnya tidak timbul kerana pasangan terbabit sewajarnya sudah bersedia baik dari segi mental ataupun kewangan sebelum memutuskan berkahwin.

“Apa yang penting, setiap pasangan perlu mewujudkan penyesuaian dan persefahaman kerana motif dalam setiap perkahwinan adalah untuk membina hubungan yang mesra dan berkekalan, bukannya untuk mewujudkan perpisahan,” katanya.

Sumber : Berita Harian Online

CURANG DAN MASALAH NAFKAH JE KE, KES CERAI DI PERLIS ?
PASAL DOK DEKAT SANGAT DENGAN THAILAND KOT...

No comments: