Sunday, November 15, 2009

Uzbek tundukkan Malaysia


KUALA LUMPUR - Malaysia menyempitkan peluangnya untuk melayakkan diri ke pusingan akhir bola sepak Piala Asia 2011 selepas kalah 3-1 kepada Uzbekistan di Tashkent, semalam.

Ini merupakan kekalahan kedua berturut-turut buat pasukan negara, sekali gus meletakkan kita di tangga tercorot Kumpulan C di belakang Uzbekistan dan Emeriyah Arab Bersatu (UAE).

Malaysia, yang dibelasah UAE 5-0 dalam perlawanan pertama di Kuala Lumpur, Januari lalu perlu menang apabila menerima kunjungan Uzbekistan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Rabu ini jika mahu menghidupkan kembali peluang.

Dalam perlawanan semalam, jurulatih kebangsaan, K. Rajagobal menyenaraikan sebahagian besar pemain skuad bawah 23 dan hanya mengekalkan dua pemain senior iaitu ketua pasukan, Norhafiz Zamani Misbah dan Mohd. Amri Yahyah.

Babak pertama berkesudahan tanpa jaringan, namun Uzbekistan meningkatkan serangan sebaik separuh masa kedua bermula untuk mendahului 3-0.

Gol pertama tuan rumah diperoleh seminit selepas permainan separuh masa disambung menerusi pemain tengah, Server Djeparov.

Aleksandr Geinrich menjadi wira tuan rumah dengan menjaringkan dua gol pada minit ke-57 dan 65 untuk membolehkan Uzbekistan selesa dengan 3-0 di depan.

Walaupun diasak bertali arus dan tertekan sepanjang separuh masa kedua, namun skuad negara masih mampu mencuri satu gol menerusi pemain tengah, Mohd. Safiq Rahim pada minit ke-67.

Bagaimanapun jaringan tersebut gagal menggelakkan Malaysia daripada mengalami kekalahan kedua, sekali gus menempah jalan sukar untuk mencari tiket ke Piala Asia 2011 di Qatar.

Sumber : Utusan Malaysia

KALAH LAGI, PASUKAN MALAYSIA LEMAH SANGAT KA ?

No comments: