Wednesday, November 11, 2009

Polis Tak ‘Tembak Untuk Bunuh’

KUALA LUMPUR 10 Nov. – Polis hari ini menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa pasukan itu bertindak melulu ketika menembak mati lima penjenayah Geng PCO Boy di Lorong Keramat, Klang, Selangor kelmarin.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin menegaskan, polis sama sekali tidak mengamalkan kaedah tembak untuk membunuh ketika berdepan dengan ancaman penjenayah.

“Dalam semua kes sebelum ini yang melibatkan penjenayah mati ditembak, mereka (penjenayah) yang melepaskan tembakan dahulu. Apabila polis menembak, mereka tidak menembak untuk membunuh, tetapi tujuannya bagi menghentikan sesuatu ancaman bahaya.

“Adalah jelas polis mempunyai hak untuk mempertahankan diri dan melindungi nyawa orang awam yang tidak berdosa,” kata beliau dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.

Lima penjenayah Geng PCO Boy yang terlibat dengan kegiatan samun di sekitar Lembah Klang ditembak mati oleh polis dalam kejadian berbalas tembakan di Batu 4, Jalan Kapar, Klang, awal pagi kelmarin.
Mereka yang berusia 20 hingga 30 tahun itu termasuk ketua kumpulannya memiliki 13 rekod jenayah, dipercayai merancang melakukan jenayah di kawasan berhampiran ketika kejadian.

Berhubung kes itu, Mohd. Bakri memberitahu, sepasukan polis yang sedang mengejar kumpulan terbabit telah diserang dengan tembakan rambang bertubi-tubi ke arah mereka.

Sumber : Utusan Malaysia

POLIS DIPERSALAHKAN? MACAM MANA NI? KALAU TAK AMBIL TINDAKAN, POLIS KENA TEMBAK DULU LA.....

No comments: