Wednesday, November 11, 2009

Laman web 1Malaysia penuh interaktif



PUTRAJAYA 10 Nov. - Datuk Seri Najib Tun Razak mengakui laman web 1Malaysia penuh interaktif apabila pengunjungnya boleh berkongsi pemikiran dengan beliau dan mengemukakan cadangan terus dalam talian.

Berkongsi pengalamannya bertemu rakyat secara maya dengan anggota Panel Penasihat Antarabangsa (IAP) Koridor Raya Multimedia (MSC) di sini, Perdana Menteri berkata, 1Malaysia.com.my bukanlah laman web pasif.

''Melalui laman web ini, saya berjaya mendapatkan maklum balas daripada 400 responden yang memberikan cadangan mengenai Bajet 2010.

''Saya turut mendapat maklum balas mengenai pasca bajet daripada 500 responden dan perkara itu saya akan timbangkan untuk bajet akan datang.

''Berhubung secara mesra dengan rakyat melalui ICT adalah gaya baru yang saya rintis," katanya.

Beliau berucap pada pembukaan Mesyuarat Panel Penasihat Antarabangsa (IAP) Koridor Raya Multimedia (MSC) Malaysia di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini.

Perdana Menteri berkata, satu lagi pencapaian MSC adalah penggunaan kad pengenalan pintar, MyKad yang diperluaskan untuk kerajaan mengenal pasti trend demografi nasional seperti tahap pendapatan rakyat secara makro.

Semalam, beliau melancarkan program MyKasih yang membabitkan penggunaan MyKad untuk membeli barangan keperluan mereka.

''Ia merupakan instrumen yang canggih bagi membolehkan kerajaan dan sektor swasta menyediakan perkhidmatan yang dapat memenuhi kehendak kumpulan sasar," kata beliau.

Ketika mengetengahkan konsep 1Malaysia kepada anggota IAP, Perdana Menteri menjelaskan pendekatan itu bagi mewujudkan kerjasama yang lebih imaginatif dan inklusif bagi Malaysia dan dunia.

''Visi kami menjadikan warisan 1Malaysia sebagai satu aset yang dapat memberikan sumbangan kepada dunia.

''Saya berhasrat merumuskan warisan kepelbagaian satu Malaysia menjadi satu impian, satu rakyat dan satu negara.

''Saya percaya ia akan menjadi pemangkin kepada kehebatan Malaysia dan mengukuhkan kerjasama serantau dan global," katanya.

Sumber : Utusan Malaysia

1 MALAYSIA, AMAN KAH KITA SEKARANG NI??

No comments: