Monday, November 30, 2009

Adney, Razali digugurkan


RAJAGOBAL (berdiri tiga dari kiri) ketika mengumumkan senarai pemain yang dipilih ke Sukan SEA 2009 semalam.


SAMBUTAN hari jadi ke-23 buat penjaga gol, Syed Adney Syed Hussein semalam bertukar suram apabila namanya tiada dalam senarai 20 pemain yang akan menggalas cabaran negara di Sukan SEA 2009 Laos.

Empat lagi pemain yang turut diketepikan ialah penyerang bermasalah, Razali Umar Kandasamy, Farderin Kadir, Ahmad Shakir Mohd. Ali dan Faizal Muhamad.

Jurulatih kebangsaan, K. Rajagobal mengumumkan senarai 20 pemain skuad bawah 23 tahun (B-23) kebangsaan itu selepas tamat sesi latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya petang semalam.


ADNEY digugurkan daripada skuad negara ke Sukan SEA.


Rajagobal hanya membawa dua penjaga gol iaitu Farizal Marlias dan Sharbinee Allawee Ramli sekali gus menyebabkan nama Adney yang menjaga gawang negara pada Sukan SEA 2007 di Korat digugurkan.

"Saya kena beri peluang kepada Sharbinee setelah saya menilai prestasi ketiga-tiga penjaga gol ini dalam sesi latihan.

"Harap Adney menerimanya dengan profesional dan ambil peluang ini untuk memperbaiki prestasi bersama pasukan kelabnya (Kelantan)," kata Rajagobal ketika ditemui pemberita semalam.


PEMAIN B-23 negara menjalani latihan terakhir di padang Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.


Namun nada berbeza pula disuarakan Rajagobal berhubung situasi pengguguran Razali yang disifatkannya sebagai seorang pemain yang tidak berdisiplin.

"Saya beri cuti sehari untuk Hari Raya Aidiladha. Apabila semua pemain lapor diri semula pada pukul 7 malam hari Jumaat, hanya dia seorang tidak hadir.

"Saya telefon dia dan dia kata ada masalah pengangkutan. Keesokan harinya (Sabtu) dia masih tak datang dan saya terpaksa ambil tindakan menggugurkannya.

"Nasihat saya kepada pemain-pemain lain, jika saya dapati ada yang tidak berdisiplin ketika di Laos nanti, saya tidak teragak-agak menghantar mereka pulang," tegas Rajagobal.




Rajagobal turut mengakui terpaksa mengambil masa yang lama untuk memilih 20 pemain itu kerana daripada senarai 25 pelatih terakhir skuad B-23 negara, semua telah mempamerkan prestasi cemerlang.

"Selepas meneliti keperluan setiap posisi, inilah 20 pemain yang saya anggap terbaik ketika ini."

Skuad B-23 negara akan berlepas ke Vientiane, Laos dari Pangkalan TUDM Subang pagi ini dengan menaiki pesawat TUDM dan akan bertemu Timor Leste pada aksi sulung Kumpulan A pada Rabu ini.

Sumber : Kosmo Online

SUDAH MANTAP PASUKAN MALAYSIA INI??

No comments: