Monday, November 02, 2009

700 Cawangan Bank Di Britain Akan Ditutup


LONDON - Bank utama Britain, The Royal Bank of Scotland (RBS), Northern Rock dan Lloyds Banking Group bakal menjual sehingga 700 cawangan dalam tempoh beberapa tahun akan datang sebagai tukaran kepada pakej bantuan ekonomi yang diterima tahun lalu, kata seorang pegawai semalam.

Jelas pegawai yang enggan dikenali itu, aset yang dijual tersebut akan digunakan bagi membentuk tiga entiti bank baru dalam tempoh lima tahun akan datang.
Bank-bank terbabit kini dalam fasa rundingan dengan perbendaharaan Britain dan pihak pengawal atur Eropah berhubung jumlah aset yang perlu diserahkan.

"Secara mudah, mereka (bank-bank) diperlu menarik pelaburan dengan menutup cawangan," kata pegawai.
Northern Rock kini memiliki lebih 100 cawangan, Lloyds Banking Group (hampir 3,000 cawangan) dan RBS (hampir 2,200 cawangan).

Syarikat kewangan terkenal seperti Barclays PLC atau syarikat Sepanyol, Banco Santander S.A. yang memiliki tiga perniagaan bank di Britain bagaimanapun tidak dibenarkan membida penjualan aset berkenaan.
Jelas sumber tersebut, jumlah cawangan bank yang dijual tertakluk kepada perubahan kerana ia masih belum dimuktamadkan.

Kerajaan Britain tahun lalu menyuntik dana awam kepada bank-bank di negara itu bagi menyelamatkan sistem perbankannya daripada terus gulung tikar.


Hasil penjualan aset milik Northern Rock, RBS dan Lloyds Banking Group itu diharap dapat memberi pulangan wang kerajaan. Lloyds Banking Group dan RBS enggan mengulas ketika dihubungi kelmarin. - AP

Kosmo Online - 2 November 2009

No comments: