Sunday, October 25, 2009

Tiada bonus kerana pendapatan negara menyusut

IPOH 24 Okt. - Penjawat awam perlu faham kerajaan tidak dapat memberi bonus pada tahun ini kerana pendapatan negara menyusut sebanyak 8.4 peratus ekoran kemelesetan ekonomi dunia.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, sebarang perbelanjaan kerajaan termasuk bonus dibuat mengikut kemampuan pendapatan negara.

''Kita sedar penjawat awam perlukan suntikan dalam perbelanjaan dan sebab itu kita beri bayaran khas RM500 kepada penjawat awam Gred 54 ke bawah dan pesara wajib.

''Bayaran itu melibatkan lebih sejuta orang dan ia merupakan satu jumlah yang besar," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan peruntukan khas Ahli Parlimen Tambun sebanyak RM108,000 kepada 36 buah sekolah di sini hari ini.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 24 sekolah kebangsaan menerima RM72,000 manakala tujuh sekolah jenis kebangsaan Cina (RM21,000) dan lima sekolah jenis kebangsaan Tamil sebanyak RM15,000.
Dalam pada itu, Ahmad Husni yang juga Ahli Parlimen Tambun memberitahu, penstrukturan semula subsidi minyak akan dilaksanakan pada awal tahun depan.

Katanya, kerajaan sedang merangka kaedah yang sesuai bagi memastikan subsidi dinikmati golongan yang layak.

''Langkah ini dapat menjimatkan bayaran subsidi minyak kerana diberikan kepada golongan sasaran sahaja.
''Sistem yang kita amal sekarang tidak boleh diteruskan kerana golongan kaya dan orang Singapura pun boleh menikmati pemberian subsidi minyak," katanya.

Utusan Malaysia - 25 Oktober 2009

No comments: