Sunday, October 25, 2009

Selangor tersingkir, NS, Perlis, Kelantan mara


KUALA LUMPUR - Kelantan mengikut jejak Negeri Sembilan dan Perlis untuk mara bergaya ke separuh akhir Piala Malaysia selepas menang ke atas lawan masing-masing di suku akhir kedua, semalam.
Jika Negeri Sembilan dan Perlis memang sudah dijangka akan mara berikutan kemenangan selesa di suku akhir pertama, Selasa lalu, Kelantan pula bangkit daripada keputusan seri untuk layak.

Selepas diikat 1-1 oleh KL Plus pada suku akhir pertama di tempat lawan, Kelantan mempamerkan corak permainan lebih bertenaga semalam untuk menang 3-0 di Stadium Sultan Muhammed IV.
Skuad Kijang membenam cabaran pasukan pelawat melalui gol jaringan Indra Putra Mahyuddin (m-13) dan Mohd. Norfarhan (m-76, 79).

Dengan kemenangan ini, Kelantan layak dengan jaringan agregat 4-1 untuk menempah pertemuan dengan Perlis di separuh akhir.
Perlis pula seperti dijangka tidak menghadapi masalah besar menewaskan Johor FC 2-0 di Stadium Utama Negeri untuk mara juga menerusi agregat 4-1.

Selepas menang 2-1 di tempat lawan sebelum ini, skuad bimbingan Irfan Bakti itu mudah merobek gawang Johor FC menerusi jaringan Amar Rohizan (m-8) dan Nizaruddin Yusof (m-48).
Kedua-dua gol itu adalah hasil hantaran K. Soley.
Namun, perlawanan semalam dicemari dengan layangan tiga kad merah di mana paling malang adalah Perlis yang bakal kehilangan pemain tonggaknya, Azi Shahril Azmi untuk berdepan Kelantan nanti.

Azi terbabit dalam pergaduhan dengan dua pemain Johor FC, Mohd. Saiful Sabtu dan M. Sivakumar yang turut dibuang padang.
Di Stadium Darul Aman, pasukan pelawat, Negeri Sembilan mudah meratah Kuala Muda Naza 3-0 untuk mara dengan agregat 5-0.
Kesemua gol Negeri Sembilan itu dijaringkan di babak pertama permainan menerusi Shukor Adan (m-21), Zaquan Adha Razak (pen-28) dan Shahurain Abu Samah (m-36).
Sebelum ini pada suku akhir pertama di tempat sendiri, Negeri Sembilan menang selesa 2-0.

Lawan Negeri Sembilan di separuh akhir adalah Terengganu yang terpaksa bergelut sebelum menang ke atas Selangor menerusi penentuan sepakan penalti 5-4.
Sebelum itu pada perlawanan suku akhir kedua di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah Kuala Terengganu, semalam, kedua-dua pasukan terikat 1-1 termasuk selepas aksi permainan 30 minit masa tambahan untuk kedudukan agregat menjadi 2-2.

Dengan kekalahan itu, impian Selangor untuk muncul juara treble selepas merangkul kejuaraan Liga Super dan Piala FA sebelum ini ternyata tidak kesampaian.
Penjaga gol Terengganu, Mohd. Sarbinee Allawee muncul wira Terengganu apabila dia menyelamatkan sepakan penalti keempat Selangor yang diambil Nasriq Baharom.
Sarbinee kemudiannya mengambil sendiri sepakan penalti kelima pasukannya untuk memastikan Terengganu mara ke separuh akhir.

Untuk separuh akhir pertama Selasa ini, Negeri Sembilan akan bertemu Terengganu di Seremban.
Manakala Kelantan akan bertemu Perlis di Kota Bharu. Perlawanan separuh akhir kedua pula akan berlangsung pada Sabtu di Kuala Terengganu dan Kangar.


Utusan Malaysia - 25 Oktober 2009

No comments: