JARANG kita melihat perkampungan Siam dalam produk pelancongan homestay di negara ini. Di Homestay Desa Keda Kampung Lahar Tunjung, Pendang, Kedah, peserta diajak merasai kemeriahan budaya kaum berkenaan.
Melalui homestay ini, anda boleh menyaksikan demonstrasi tomoi oleh anak muda kampung dan sebelah malam diselang-seli dengan pertunjukan silat, marhaban dan nasyid.
Anda juga berpeluang mengenali Gendang Keling, keunikan persembahan alat muzik tradisional menggabungkan serunai, dram India atau gendang keling dan dua gong.
Turut dikenali sebagai gendang tari inai, persembahan gendang keling lazimnya dimainkan bagi mengiringi tarian tari inai pada majlis berinai. Ia masih diamalkan di Kedah dan Perlis.
Jika berkunjung sekitar April, pelancong dapat merasai kemeriahan Pesta Songkran iaitu sambutan tahun baru yang disambut secara besar-besaran di Thailand.
Inilah masanya anak kecil tidak segan silu menyimbah air kepada pengguna jalan.
Sepanjang tempoh program, peserta dapat meluaskan pergaulan dengan tinggal di rumah keluarga angkat dan menyertai aktiviti berteraskan semangat hidup berkampung.
Peserta akan dijamu dengan masakan utara yang terkenal dengan menu pedas tetapi manis.
Mereka yang dibesarkan di bandar pasti teruja apabila diajak turun ke bendang untuk menanam padi.
Jangan lupa merasai keenakan buah-buahan tempatan di dusun milik penduduk kampung selain memancing, menoreh dan mandi di air terjun.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP), Wahab Abdul Ayob, berkata pihaknya bangga kampung itu dipilih homestay yang selama ini cuma dikenali penempatan penduduk miskin Keda.
Sementara itu, Penolong Pegawai Pelancongan Majlis Daerah Pendang (MDP), Mohamad Zahimi Harun, berkata di daerah itu banyak tempat menarik seperti Pendang Lake Resort (PLR), projek ternakan ikan komersial dalam kolam, Kampung Kubur Panjang dan projek tanaman mempelam Chok Anan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).
Maklumat lanjut, hubungi Pengerusi homestay, Abdul Wahab (013-424 6049) atau Zahimi Harun (012-591 3185).
No comments:
Post a Comment