SHAH ALAM: DiGi.Com Berhad terus memberikan nilai pemegang saham yang kukuh apabila menambah komitmen dividennya kepada bayaran minimum 80 peratus ke atas perolehan bersihnya dari tahun 2010 sejajar dengan prospek kewangan jangka panjang.
Syarikat itu juga mengumumkan dividen khas 75.0 sen peringkat pertama pengecualian dividen sesaham biasa bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2009, untuk menjadikan bayaran keseluruhan hingga hari ini kepada RM1.24 sesaham.
Ketua Eksekutifnya, Johan Dennelind, berkata DiGi masih mencatatkan pertumbuhan dengan aliran tunai yang kukuh dan kunci kira-kira.
"Mengembalikan lebihan tunai adalah sebahagian daripada usaha kami untuk menyediakan kekukuhan hasil dalam jangka panjang kepada pemegang saham. Dari tahun ke tahun, kami berjaya membina landasan kukuh dan kekal komited dalam mencipta nilai terbaik bagi pemegang saham," katanya.
Hari ini DiGi mengumumkan keputusan kewangan suku tahunan ketiga dengan mencatatkan pertumbuhan perolehan suku ke suku sebanyak 3 peratus kepada RM1.2 bilion.
Ia banyak disumbangkan oleh peningkatan tawaran segmen yang diterima baik oleh pelanggan selain peningkatan jumlah pelanggan.
Keuntungan sebelum cukai ialah RM333.2 juta berbanding RM323.9 juta pada suku tahunan sebelumnya, sementara keuntungan meningkat 4 peratus kepada RM244.1 juta daripada RM234.5 juta yang dicatatkan pada sukuan tahunan kedua tahun ini.
Harian Metro
No comments:
Post a Comment