Wednesday, October 14, 2009

Akibat lambat panas perlawanan awal, Kedah tersingkir..




Juara bertahan, Kedah tersingkir walaupun menang 4-0 ke atas Pulau Pinang

JUARA bertahan, Kedah tersingkir daripada saingan Piala Malaysia apabila terpaksa akur kepada Perlis dan Kuala Muda Naza yang meraih dua tiket terakhir ke suku akhir selepas tamat semua perlawanan peringkat kumpulan, malam tadi.

Mohd Badrol Bakhtiar meletakkan Hijau Kuning di depan pada minit ke-24 disusuli jaringan Mohd Faizal Abu Bakar (m-41) dengan gol lewat daripada Badrol dan Shafiq Jamal memberikan kemenangan 4-0 ke atas Pulau Pinang di gelanggang lawan.

Namun, peminat Kedah masih memiliki satu pasukan untuk mengalihkan sokongan mereka selepas KM Naza meraih kemenangan dramatik 3-2 ke atas Selangor yang sudah pun layak lebih awal.

Memerlukan kemenangan sambil mengharapkan keputusan lain berpihak kepada mereka, jaringan bekas pemain skuad Merah Kuning, Akmal Rizal Rakhli pada detik lewat permainan menjulang KM Naza ke kelompok lapan terakhir, sekali gus memaksa Perak berputih mata apabila seri 1-1 menentang Johor FC.

Terikat 2-2 sehingga minit ke-84, Akmal Rizal muncul wira apabila menyempurnakan penalti yang diraihnya sendiri untuk mencetus sorakan padu di Stadium Darulaman buat mengecewakan penyokong Perak yang sebelum itu berada pada kedudukan baik untuk layak.

S Sritharam meletakkan Selangor di depan pada minit ke-36 sebelum disamakan Akhmal pada detik rehat. Safee Sali kemudian meletakkan Selangor di depan empat minit selepas rehat hanya untuk Helmy Remelli kembali menyamakan kedudukan minit ke-79.

Perlis pula menempah tempat ke pusingan lapan terakhir apabila meraih kemenangan tipis 1-0 ke atas KL Plus dengan kedua-dua pasukan mara daripada Kumpulan A.

Dalam Kumpulan B, Negeri Sembilan mara sebagai juara kumpulan dengan rekod 100 peratus enam kemenangan berturut-turut apabila membenam Terengganu 2-0. Namun, kekalahan itu gagal menggugat Terengganu yang mara sebagai antara tiga naib juara terbaik.

No comments: