Thursday, March 25, 2010

Pelajar Dikenakan Bayaran Masuk Tandas Sekolah

KOTA KINABALU 24 Mac - Dikenakan bayaran sebelum memasuki tandas di kompleks membeli belah sudah menjadi sebahagian daripada budaya masyarakat negara ini.

Bagaimanapun, jika dikenakan bayaran ketika memasuki tandas sekolah, ia pasti mengundang seribu satu persoalan seperti yang berlaku di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tansau, Putatan, dekat sini.

Walaupun mengakui langkah tersebut bertujuan menjaga kebersihan tandas sekolah namun ramai ibu bapa berpendapat masih ada langkah lain yang boleh dilakukan untuk tujuan itu.

Menurut mereka, tindakan mengenakan bayaran cukup membebankan khususnya di kalangan mereka yang mempunyai ramai anak di sekolah tersebut.

Vincent Lompok, 50, berkata, bayaran 10 sen yang dikenakan untuk setiap kali memasuki tandas, amat membebankan kerana ramai pelajar datang daripada keluarga berpendapatan rendah.

"Kadang-kadang untuk belanja makan pun ada antara pelajar terpaksa berjimat, inikan pula terpaksa menyediakan bayaran untuk masuk ke tandas.

"Jadi saya amat berharap perkara ini dikaji semula memandangkan ramai ibu bapa tidak bersetuju dengan kaedah tersebut," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurutnya, masalah tersebut telah lama membelenggu pelajar sekolah berkenaan, namun tidak ada pihak yang berani menyuarakannya.

Katanya, ia perlu diselesaikan kerana ada pelajar yang sanggup menahan untuk membuang air kecil semata-mata kerana tidak mahu membayar atau tiada wang untuk ke tandas.

Vincent mendakwa sudah mengajukan masalah tersebut kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan tetapi tiada penyelesaian dicapai setakat ini.

"Mungkin mereka boleh menggantikan bayaran tersebut kepada yuran tahunan untuk menjaga kebersihan tandas," katanya.

Seorang ibu, Rahimah Daud, 38, berharap bayaran tersebut dapat dihapuskan kerana membebankan ibu bapa yang terpaksa menambah perbelanjaan wang saku anak-anak.

"Saya terpaksa menambah wang saku 50 sen sehari untuk tandas sahaja, belum lagi perbelanjaan lain," katanya yang bekerja sebagai pemandu kereta sewa.

Sementara itu seorang penjaga yang enggan dikenali menyifatkan tindakan mengenakan bayaran tersebut amat melampau dan menyusahkan murid-murid serta ibu bapa.

Katanya, sekolah sebagai tempat mendidik pelajar haruslah berusaha mendidik pelajar menjaga kebersihan bukannya dengan mengenakan bayaran seperti itu.

"Anak saya kalau hendak ke sekolah pasti berebut ke bilik air dahulu. Ini memang tidak patut dan tidak pernah dibuat orang," tegasnya.

Sumber : Utusan Malaysia Online

MACAM-MACAM JUGA .... DULU TAK KENA DUIT MASUK TANDAS SEKOLAH...
SEKARANG.. KENA RM0.20 PULAK.... ABIS LA DUIT MAK BAPAK...

Isteri DURJANA

KUANTAN: Sebagai seorang isteri serta ibu kepada dua anak, dia sepatutnya menjadi isteri yang setia dan jujur terhadap suaminya.
Namun, lain pula yang dilakukan seorang wanita berusia 25 tahun apabila tergamak menconteng arang di muka suami apabila mengambil kesempatan membawa masuk seorang lelaki dipercayai teman lelakinya berusia 20 tahun ke rumah.


Perbuatan curang isteri itu terbongkar apabila si suami berusia 30 tahun pulang ke rumah secara mengejut sebelum terdengar suara seperti orang sedang berbual di dalam rumahnya, di sebuah taman perumahan di Jalan Gambang, di sini, pagi kelmarin.


Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, si suami terus membuka pintu rumah sebelum kelu lidahnya apabila melihat seorang lelaki berada di ruang tamu.


Berang selepas melihat lelaki itu, si suami terus bertindak ganas apabila membelasah lelaki itu dengan menggunakan objek tumpul sehingga mengakibatkan kecederaan di kepala.


Kejadian itu menyebabkan lelaki itu bermandikan darah sebelum rebah serta tidak bermaya akibat dipukul suami kepada wanita terbabit.

Harian Metro difahamkan, lelaki terbabit mengenali wanita itu sejak awal tahun ini dan ketika dicekup, dia bersama wanita terbabit masih berpakaian lengkap.


Sepasukan anggota polis peronda yang tiba beberapa minit kemudian menahan lelaki terbabit sebelum dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini, untuk rawatan.


Lelaki terbabit yang menerima rawatan sebagai pesakit luar kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), di sini, untuk siasatan lanjut berhubung kejadian itu.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff ketika dihubungi di sini, semalam mengesahkan menerima laporan kejadian terbabit.


Menurutnya, lelaki terbabit kini ditahan di IPD Kuantan untuk membantu siasatan berhubung kejadian itu mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana pencerobohan.

Sumber : Harian Metro Online
DUNIA LA NI.... MACAM-MACAM ADA..

Juruterbang TUDM Maut Pesawat Terhempas Di UUM

ALOR SETAR: Seorang juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Mejar Zulrihan Jusoh terbunuh apabila pesawat latihan jenis Pilatus PC-7 yang dipandunya terhempas di kawasan dekat kampus Universiti Utara Malaysia (UUM) di Sintok kira-kira jam 10 pagi ini. 

Difahamkan ketika kejadian mangsa sedang membuat persembahan sempena perasmian Ekspo Konvokesyen universiti itu pagi ini.

Menurut jurucakap TUDM, mayat juruterbang itu sudah ditemui dan dikeluarkan dari tempat kejadian menggunakan sebuah helikopter TUDM.

Beliau mengesahkan bahawa ketika kejadian, hanya seorang juruterbang berada dalam pesawat itu yang berpangkalan di Kepala Batas di sini.-Bernama 

Sumber : Harian Metro Online ( 25 Mac 2010 ) 

KERAP BERLAKU KAPAL TERBANG TERHEMPAS NI...
AGAKNYA, APA MASALAH DIA ?

EARTH HOUR


Earth Hour merupakan acara tahunan yang diadakan oleh Tabung Alam Sedunia WWF, disambut pada hari Sabtu terakhir pada bulan Mac, yang mahukan kediaman dan pejabat untuk mematikan lampu yang tidak digunakan dan peralatan elektrik yang tidak digunakan selama satu jam untuk membangkitkan kesedaran ke atas perubahan iklim. Dikendalikan oleh WWF Australia dan Sydney Morning Herald pada 2007,[1] dan mendapat sokongan dunia pada 2008.

Earth Hour berikutnya akan diadakan pada hari Sabtu, 28 Mac 2009 jam 8:30 malam, waktu tempatan.

Sumber : Facebook.Com
JOM KITA PADAM LAMPU DALAM MASA 1 JAM

Jawatan Kosong : Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor

Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor dengan ini mempelawa Warganegara Malaysia yang berkelayakan dan berdaya saing untuk mengisi kekosongan jawatan berkaitan seperti berikut:

JAWATAN AKADEMIK

1. Profesor Madya Gred DK54
2. Profesor Madya Gred DK53
3. Pensyarah Gred DK45
4. Pensyarah Muda Gred DK41
5. Pengajar Klinikal Gred U31
6. Penolong Pensyarah Gred DK29



JAWATAN PENTADBIRAN

1. PENDAFTAR GRED N52
2. PENASIHAT UNDANG-UNDANG GRED L52
3. PEGAWAI SISTEM MAKLUMAT KANAN GRED F44
4. PEGAWAI UNDANG-UNDANG GRED L41
5. PENOLONG BENDAHARI GRED W41
6. JURUAUDIT DALAMAN GRED W41
7. PENOLONG PENDAFTAR GRED N41
8. PENGURUS ASRAMA GRED S41
9. PUSTAKAWAN GRED S41
10.PEMBANTU TEKNIK (UKUR BAHAN) GRED J29
11.PENOLONG PEGAWAI (PENTADBIRAN) GRED N27
12.PEMBANTU SETIAUSAHA PEJABAT / SETIAUSAHA PEJABAT GRED N17 / N27
13.JURUTEKNIK (Mekanikal/ Elektrikal/ Awam) GRED J17
14.JURUTEKNIK KOMPUTER GRED FT17
15.PEMBANTU TADBIR / PEMBANTU JURUAUDIT / PENYELIA ASRAMA / PEMBANTU PERPUSTAKAAN GRED L17 / W17 / N17 / S17
16.PEMBANTU MAKMAL (Fakulti Sains Kejururawatan & Kesihatan Sekutu) GRED C17
17.PEMBANTU TADBIR RENDAH GRED N11
18.PENGAWAL KESELAMATAN GRED KP11
19.PEMANDU KENDERAAN BERMOTOR GRED R3
20.PEMBANTU AM RENDAH/ TUKANG GRED N1



Sila kemukakan permohonan kepada :-

Ketua Jabatan Pembangunan Sumber Manusia
Pejabat Pendaftar
Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS)
Bandar Seri Putra, Bangi
43000 Kajang
Selangor Darul Ehsan

TARIKH TUTUP : 15 APRIL 2010 

Sumber : Email Yahoo Group

SEMOGA DAPAT MENOLONG ANDA YANG SEDANG MENCARI PEKERJAAN


Wednesday, March 24, 2010

Bunuh ‘malaikat maut’

PERSENDA AGAMA...dua permainan konsol yang memerlukan pemain berinteraksi dengan perkara ghaib.  

KUALA LUMPUR: Elemen kepercayaan terhadap alam ghaib termasuk membabitkan malaikat yang menjadi perisian terkini permainan konsol PS3 dan Xbox 360 dikesan semakin diminati generasi muda kerana memberikan keseronokan ekstrem kepada pemainnya.

Melalui permainan itu, sesiapa saja boleh menikmati pengalaman baru dengan menatap wajah ‘malaikat maut’ sambil meneroka syurga, malah mengalami situasi mencemaskan apabila menjelajah sembilan lapisan neraka.


Namun, ia mempunyai unsur mempersendakan agama apabila permainan dibangunkan syarikat antarabangsa seperti Darksiders itu menggambarkan malaikat seperti manusia yang bersenjata, bersayap dan berbaju perisai, malah boleh dibunuh sesuka hati, sekali gus bertentangan prinsip kepercayaan Islam.


Dante’s Inferno pula berkaitan misinya yang dilakukan dalam neraka membolehkan pemain membuat pilihan sama ada mahu memusnah atau menyucikan roh manusia dikutuk menggunakan cahaya salib untuk dihantar ke syurga.


Permainan konsol yang menceritakan era Perang Salib itu juga dikesan berunsur lucah kerana turut memaparkan karakter musuh wanita separuh bogel melakukan gerakan tarian lucah sebelum menyerang watak pemain.


Tinjauan Harian Metro mendapati cakera video digital (DVD) permainan konsol terbabit dijual secara bebas di kedai permainan video, malah tanpa sekatan untuk dibeli remaja dan kanak-kanak.

Walaupun tertera amaran permainan itu untuk golongan matang pada kulit DVD terbabit, tiada jaminan golongan bawah umur tidak membeli dan berseronok dengannya kerana tiada pemantauan terhadap penjualannya.


Malah, pada harga kira-kira RM10 hingga RM12 bagi DVD cetak rompak konsol Xbox 360 membolehkan sesiapa membelinya, berbanding DVD tulen yang mencecah ratusan ringgit. Difahamkan, kedua-dua tajuk itu bersama beberapa lagi permainan konsol yang dibangunkan syarikat ternama dunia diharamkan dijual di Timur Tengah kerana penggunaan elemen agama secara melampau.


Elemen agama sebelum ini kerap digunakan syarikat pembangun permainan video untuk pelbagai platform permainan video yang memerlukan pemain berinteraktif dengan perkara ghaib umpamanya syurga, neraka, malaikat, syaitan dan iblis, yang digambarkan berdasarkan imaginasi.


Bagi ibu bapa, ia membimbangkan walaupun ia sekadar permainan, namun memberi kesan di bawah sedar terhadap anak mereka seperti wajah malaikat, keupayaan membunuh malaikat maut yang mahu mengambil nyawa selain keadaan di dalam syurga dan neraka.


Timbalan Dekan Institut Pemikiran dan Ketamadunan Islam Antarabangsa (Istac) dan pensyarah di Jabatan Fiqh dan Usul Fiqh, Kuliyyah Ilmu Wahyu dan Ilmu Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Datuk Dr Mahmood Zuhdi Ab Majid, berkata permainan seumpama itu hukumnya haram.


“Ia haram dibeli dan haram dimainkan orang Islam. Jadi, umat Islam terutama generasi muda dinasihatkan supaya berhati-hati dengan permainan terbabit terutama membabitkan persoalan akidah.


“Permainan seperti itu jelas boleh merosakkan akidah kerana mempermain-mainkan malaikat. Ini cara musuh Islam untuk merendahkan Islam,” katanya.


Ketua Penolong Pengarah Cawangan Kawalan Media, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Mazlan Abdullah, berkata pihaknya belum menerima sampel permainan terbabit dan belum meneliti kandungannya.


“Saya minta pihak pengeluar dan pengedar menghantar sampel terbabit kepada kami untuk diteliti kandungannya sebelum diputuskan sama ada dibenarkan atau tidak untuk dijual di pasaran terbuka,” katanya.


Beliau berkata, penjualan terbuka permainan seumpama itu tidak wajar kerana dikhuatiri menggugat akidah orang Islam.

“Sesetengah orang Islam tahap keimanan mereka berbeza. Kami tidak mahu benda itu nanti apabila dijual secara terbuka merosakkan akidah, sebab yang di dalam syurga kita tidak tahu kerana ia alam ghaib.


“Kami minta, rujuk dengan kami sebelum mengambil keputusan menjual bahan terbabit dan kami akan nilai sama ada bercanggah dari segi teks dan huraian,” katanya.

Sumber : Harian Metro Online
JAUHI DARIPADA PERMAINAN GAME SEPERTI INI....

Sunday, March 21, 2010

Selangor, Kedah, NS dan Terengganu mara

 AIDIL Zafuan (kiri) dicabar Pemain KL Plus, Nizarddin Yusuf dalam saingan di Paroi, malam tadi. NS menang 3-1.


Terengganu iringi selepas harungi masa tambahan tundukkan T-Team

JUARA bertahan Selangor, Kedah dan Negeri Sembilan, masing-masing mengesahkan tempat ke separuh akhir Piala FA selepas perlawanan suku akhir kedua, malam tadi.

Begitupun, tatkala tiga pasukan elit itu mara muda, pertemuan Terengganu dan T-Team terpaksa mengharungi masa tambahan selepas kedudukan agregat terikat 4-4 dalam perlawanan sebenar.


Di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, Abdul Manaf Mamat merapatkan jurang agregat kepada 3-2 dengan gol pertama Terengganu selepas bijak memperdayakan dua pertahanan T-Team dan meledakkan rembatan kaki kiri yang menewaskan penjaga gol, Shahril Shaari pada minit ke-20. Selang 17 minit, Manaf mengikat kedudukan kepada 3-3 selepas meloloskan diri daripada perangkap ofsaid untuk menyambut bola hantaran jauh Zairo Anuar Zailani, tetapi T-Team yang menang 3-1 dalam perlawanan pertama, bangkit sebelum tamat babak pertama menerusi Haris Safwan Kamal.

Terengganu yang enggan mengalah kepada pasukan ‘adik’ memperoleh gol ketiga hasil rembatan Mohd Ashaari Shamsuddin (m72) sebelum Firdaus Fauzi memastikan gol kemenangan lima minit selepas tambahan masa.

Di Stadium Selayang, Kedah memastikan tempat ke separuh akhir dengan kemenangan 5-0 ke atas Tentera dan agregat agregat 6-1, dengan pesta gol pelawat bermula dengan sepakan percuma minit ke-10 Baddrol Bakhtiar yang menewaskan penjaga gol, Khairul Anuar Mohd, dan satu lagi pada tambahan masa babak pertama.

Di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Negeri Sembilan dipaksa bekerja keras sebelum menang 3-1 ke atas KL Plus untuk mara dengan agregat 3-2. Idris Karim membuka jaringan pada minit ke-66 untuk Negeri tetapi pantas disamakan Mohd Fadzli Shaari seminit kemudian.

Di Stadium Shah Alam, juara bertahan Selangor mudah mengatasi Pos Malaysia 3-0 untuk mara dengan agregat 8-1, menerusi jaringan R Surendran (m2, 41) dan Rudie Ramli (m38).

Sumber : Berita Harian Online

TAHNIAH KEPADA PASUKAN YANG LAYAK KE SEPARUH AKHIR PIALA FA

Fazli Sham Tawan Alor Setar



ALOR SETAR - Pelumba Shell Advance Yamaha Maju Motor, Ahmad Fazli Sham melakar sejarah sebagai pemenang pertama kategori CP130 Kejuaraan Cub Prix Malaysia di Litar Stadium Darul Aman Alor Setar, Kedah semalam.

Pengalaman nyata memihak pelumba dari Taiping itu, apabila mengungguli perlumbaan dalam masa 12 minit 03.259 saat.

Dia muncul juara selepas menafikan saingan pelumba Petronas Sprinta Yamaha Raceline, Hafizh Syahrin Abdullah, yang ketinggalan hanya 0.228s,

Pelumba Petronas Sprinta Yamaha AHM, Md. Zambri Baba, ketiga.

Fazli, yang bermula dari petak pertama, mengekalkan kedudukan pendahulu, walaupun dicabar sengit oleh Hafizh di sepanjang 15 pusingan perlumbaan.

"Saya cuba mengelak asakan pelumba lain, tanpa menyedari siapa yang cuba memintas saya, namun sukar untuk saya menjarakkan kedudukan.

"Pada empat pusingan pertama, saya menggunakan pengalaman dan kekuatan kekuatan jentera untuk kekal di depan.

''Saya gembira kerana memenangi saingan pertama CP130 ini," kata Fazli.

Sementara itu, juara Novis musim lepas, Hafizh mengakui sukar memintas Fazli.

"Keadaan litar yang sempit menyebabkan saya sukar memintasnya. Namun, kedudukan kedua sudah cukup baik buat saya,'' katanya.

Fazli kini mendahului dengan 25 mata, diikuti Hafizh 20 mata dan Zamri 16 mata.

Sumber : Utusan Malaysia Online
TAHNIAH KEPADA PEMENANG... YANG LAIN CUBA LAGI..