Wednesday, January 19, 2011

Saya tidak ajak PM berdebat, hanya berbincang: Anwar

ALOR SETAR: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata beliau tidak pernah mengajak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, untuk berdebat mengenai "Pelan 100 Hari" pembangkang, sebaliknya hanya mahu berbincang.

Katanya, ia adalah perbincangan terbuka secara baik membabitkan pihak Perdana Menteri dan pihaknya yang mewakili Pakatan Pembangkang.

"Ia perbincangan secara baik...kita tengahkan pandangan kita, mereka jawab dan kemukakan pandangan mereka. Tapi mereka tak setuju. Sebelum ini kita ajak menerusi media. Semalam surat menyusul. Respons tak begitu baik," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menjadi anggota panel Program Bicara Tokoh bertajuk "Maqosid Syariah dan Masyarakat Majmuk" di Kolej Universiti Insaniah di sini hari ini.

Anggota panel lain ialah Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak, dan Presiden Wadah Pencerdasan Ummah, Datuk Dr Siddiq Fadzil.

Anwar berkata, menerusi perbincangan itu, pihak beliau dan pihak Najib akan mengemukakan alasan masing-masing untuk rakyat menilainya.

Katanya, beliau memilih untuk berbincang dengan Najib kerana Perdana Menteri yang bertanggungjawab kepada ekonomi.

"Sewaktu perbincangan dia boleh kemukakan program ekonominya seperti ETP (Program Transformasi Ekonomi) dan yang lain-lain," katanya.

Beliau berkata, ia bukanlah sesuatu yang membuang masa kerana ia bertujuan memberi penjelasan kepada rakyat tentang program ekonomi. - BERNAMA

Sumber : Berita Harian Online
BERDEBAT ATAU BERBINCANG, YANG MANA PALING BAIK ?

No comments: