Friday, December 03, 2010

Selangor dan Negeri Sembilan tarik diri Piala AFC 2011

TIADA wakil Malaysia yang akan beraksi pada saingan Piala AFC 2011 setelah dua pasukan yang layak, Selangor (juara Liga Super) dan Negeri Sembilan (juara Piala FA) memilih untuk menarik diri.

Puncanya sudah tentu disebabkan pengharaman pemain import oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk pasukan-pasukan tempatan yang mungkin hanya akan dibenarkan semula pada saingan Liga Malaysia 2012.

Pengurus merangkap jurulatih Selangor, K. Devan (gambar) mengesahkan penarikan diri pasukannya itu selepas tiada nama Selangor tertera dalam senarai pasukan untuk Piala AFC 2011 yang dikeluarkan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) pada Isnin lalu.

"FAS (Persatuan Bola Sepak Selangor) membuat keputusan untuk tidak menghantar pasukan ke saingan 2011 ini disebabkan kita tiada pemain import. Itu merupakan faktor utama.

"Selain itu, kita turut menilai prestasi Selangor yang kurang baik sepanjang Piala AFC 2010 terutama ketika bertemu pasukan kelab luar yang membariskan pemain import.

"Jadi dengan jadual Liga Malaysia 2011 yang agak padat serta beberapa pemain kita memiliki komitmen dengan skuad kebangsaan, susah untuk kita beri prestasi terbaik jika menyertai Piala AFC 2011," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Pada saingan Piala AFC 2010, Selangor yang menjadi wakil tunggal selepas Negeri Sembilan menarik diri terkandas pada peringkat kumpulan setelah hanya menang sekali, seri sekali dan tewas empat kali termasuk 1-6 kepada Sriwijaya dan 0-4 kepada Binh Duong FC.

Sementara itu, menjelang persiapan Liga Malaysia 2011, Devan berkata, Selangor hanya menyenaraikan 23 pemain dengan enam daripadanya merupakan pemain baru.

"Kita bawa masuk Saiful Amar Sudar (PKNS), Yosri Derma Raju (Pahang), Azidan Sarudin (Kuala Lumpur), Fadzli Saari (KL Plus), K. Depan Sakwati (Melaka) dan S. Sritharan.

"Ia bagi menggantikan Hamsani Ahmad, Zaiza Zainal Abidin, Azrine Efendy Saduddin, Liew Kit Kong, R. Surendren dan Farderin Kadir.

"Saya dapati setiap posisi kini memiliki dua pemain termasuk posisi sayap kiri yang akan kita gunakan Hardi Jaafar dan Fitri Shazwan Raduwan," jelas Devan.

Sumber : Kosmo Online
KENAPA SELANGOR DAN NEGERI SEMBILAN TAK MAIN DI PIALA AFC 2011?
HANYA KERANA TIADA PEMAIN IMPORT ? 
BUKANKAH PEMAIN TEMPATAN BERKEBOLEHAN ?
MEMALUKAN BETUL !! CUBA LA BERMAIN DULU.. 
MENANG DAN KALAH ADAT PERMAINAN LA ....

No comments: