Thursday, October 14, 2010

BBSK kempen jangan bayar tarif air baru Kedah


ALOR SETAR: Barisan Bertindak Selamatkan Kedah (BBSK) yang dianggotai kira-kira 50 ahli Pemuda UMNO negeri akan mengadakan "Kempen Jangan Bayar Tarif Air Baru" bagi membantah langkah kerajaan negeri menaikkan tarif air kegunaan domestik sebanyak antara 25 dan 44 peratus berkuatkuasa 1 Oktober lalu.

Pengerusi Penaja BBSK, Sobri Sudin, berkata kempen berkenaan akan dilaksanakan secara konsisten dengan mengadakan siri jelajah seluruh negeri bagi menyeru rakyat Kedah supaya tidak membayar bil air yang menggunakan tarif baru berkenaan.

Beliau berkata, ini adalah pendekatan yang dilaksanakan oleh pihaknya demi memperjuangkan hak rakyat di negeri ini yang disifatkan teraniaya dengan kenaikan tarif baru itu.

"Kita di peringkat akar umbi akan laksanakan kempen ini secara besar-besaran dengan menyeru seluruh ahli Pemuda, termasuk Ketua Pemuda UMNO Kedah, Badrol Hisham Hashim, supaya menyertai kempen ini bagi membantah tindakan kerajaan negeri menaikkan tarif baru berkenaan.

"Kerajaan negeri perlu sedar kebanyakan penduduk di negeri ini masih berpendapatan rendah dan kenaikan harga air adalah satu penganiayaan kerana ia menambah beban ditanggung rakyat.

"Sehubungan itu, kami mendesak kerajaan negeri menurunkan semula tarif air dan jika tidak lebih baik Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak, meletak jawatan kerana gagal mentadbir negeri dengan baik," katanya selepas mengadakan demonstrasi secara aman di depan perkarangan Bangunan Tunku di sini, hari ini.

Sementara itu, dalam sidang media berasingan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Nerang, Datuk Syed Sobri Syed Hashim, berkata beliau akan menubuhkan Jawatankuasa Bertindak Krisis Air untuk mendesak kerajaan negeri memperbaiki mutu bekalan air khususnya di kawasan bermasalah.

Beliau berkata, jawatankuasa yang akan disertai beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ini juga akan mendapatkan khidmat nasihat guaman untuk mempertimbangkan usaha mengambil tindakan undang-undang bersesuaian terhadap kerajaan negeri berhubung masalah bekalan di kawasan tertentu.

"Sejurus jawatankuasa ini ditubuhkan, kami akan mengadakan siri jelajah dan berkempen menyeru rakyat Kedah khususnya di kawasan yang kerap berdepan krisis bekalan air supaya tidak membayar bil air.

"Kami kesal dengan tindakan kerajaan negeri menaikkan tarif air sedangkan mutu perkhidmatan masih di takuk lama di mana ada kawasan sering berdepan masalah ganguan bekalan air.

"Kerajaan negeri tidak sedar bahawa hampir 50 peratus rakyat di negeri menerima bekalan air yang mengecewakan termasuk keruh dan berkeladak,"katanya.

Pada 30 September lalu, Ketua Pegawai Eksekutif SADA, Datuk Adzmi Din mengumumkan kenaikan tarif air sebanyak 25 hingga 44 peratus bagi kegunaan domestik membabitkan 457,707 pemegang akaun di negeri ini, berkuatkuasa 1 Oktober lalu.

Penstrukturan semula itu dikatakan tidak dapat dielakkan berikutan peningkatan kos pengeluaran dan pengurusan bekalan air sejak lebih 10 tahun kebelakangan ini.

Adzmi dilaporkan berkata, tarif air yang digunapakai sebelum ini adalah tarif dan pelarasan yang dilaksanakan pada 1 Mac 1993 dan ia belum pernah distrukturkan sejak 17 tahun lalu.

Pelarasan tarif baru itu juga, katanya, diluluskan Kerajaan Persekutuan menerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

Sumber : Berita Harian Online
ISU AIR DI KEDAH TAK HABIS-HABIS LAGI ?
APA KOMEN KORANG ? NAK BAYAR ATAU TIDAK ?
NAK PAKAI AIR KOLAH ATAU NAK PAKAI AIR SADA ?
KALAU KENA POTONG BEKALAN AIR, SIAPA YANG SUSAH ?

No comments: