Tuesday, March 02, 2010

Protes: Peniaga Ikan Tunggu Dan Lihat

ALOR SETAR 1 Mac - Tunggu dan lihat. Itu pendekatan yang diambil oleh peniaga-peniaga ikan di sekitar bandar raya ini selepas pengimport dan pemborong ikan menghentikan operasi membawa masuk ikan mulai hari ini.

Tindakan pengimport dan pemborong ikan itu sebagai protes berikutan arahan penguatkuasaan penggunaan Kotak Ikan Berinsulasi Bergred Makanan (KIBFG) oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Menurut para peniaga ikan, berikutan keputusan berkenaan, mereka kini mempunyai dua pilihan iaitu mendapatkan bekalan ikan tempatan atau menghentikan sementara jualan sehingga bekalan ikan import kembali pulih.

Mereka bagaimanapun amat berharap isu berkenaan dapat diselesaikan segera kerana jika berlarutan, ia akan menyusahkan banyak pihak termasuk para pengguna yang mungkin berdepan dengan kenaikan harga ikan.

Seorang peniaga ikan di Pasar Besar Alor Setar, Osman Abdullah, 57, berkata, dia akan melihat perkembangan semasa mengenai isu tersebut sebelum menentukan tindakan yang akan diambil.

"Jika stok habis, saya akan mempertimbangkan sama ada mahu mengambil ikan tempatan atau tidak. Apa sekalipun saya akan menunggu perkembangan isu ini," katanya di sini hari ini.

Akhbar hari ini melaporkan para pengimport dan pemborong ikan memutuskan untuk menghentikan operasi membawa masuk ikan ke negara ini kerana tidak bersetuju dengan arahan penggunaan KIBFG yang dianggap sebagai satu bebanan berat untuk dilaksanakan.

Keputusan itu menyaksikan lebih 1,000 tan metrik ikan import dari Thailand dan Indonesia tidak akan dibawa masuk sehari.

Seorang lagi peniaga, Atan Ali Ahmad, 57, pula berkata, masalah itu perlu diselesaikan segera oleh kedua-dua belah pihak supaya rakyat tidak menjadi mangsa dalam situasi berkenaan.

Ini kerana, katanya, harga ikan dijangka naik jika bekalan sumber makanan itu berkurangan yang sekali gus membebankan rakyat.

"Pastikan tiada pihak yang terbeban dengan masalah ini," katanya yang menjual ikan import.

Dalam pada itu, seorang peniaga ikan tempatan, Suide Osman, 50, percaya bekalan ikan tempatan cukup untuk menampung keperluan pengguna sekiranya bekalan ikan import tiada di pasaran.

"Jadi pengguna tidak perlu terlalu khuatir kerana ikan tempatan juga banyak di pasaran," katanya.


Sumber : Utusan Malaysia Online

APA PENDAPAT KORANG DENGAN ARAHAN PENGGUNAAN KIBFG ?

No comments: