Wednesday, February 03, 2010

Pensyarah menang hadiah RM1 juta

 
Md. Zaidil Adha Mat Hussin menunjukkan replika Sijil Simpanan Premium BSN bernilai RM1,000,000
setelah memenangi penyertaan peraduan jutawan Power Root pada 31 Januari lalu. 



KUALA LUMPUR 2 Feb. - Keadaan ibu yang sakit tenat pada mulanya menimbulkan rasa serba salah di hati Md. Zaidil Adha Mat Hussin, 32, untuk meninggalkannya bagi menyertai peraduan jutawan Power Root.

Namun, si ibu, Zaharah Muhammad, 63, yang sedang bertarung nyawa di Hospital Selayang, Selangor seakan tahu nasib bakal menyebelahi anaknya itu.

Dia tidak mahu anaknya itu mempersiakan peluang yang mungkin datang sekali seumur hidup itu dengan membenarkan Md. Zaidil Adha menyertai pertandingan itu.

Selepas mendapat restu, beliau dengan berat hati berangkat ke Bukit Merah Laketown Resort di Taiping, Perak untuk menyertai pertandingan akhir "Anda Boleh Jadi Jutawan Power Root" musim kedua.

Berkat doa ibu, pensyarah muda dari Jabatan Matematik, Sains dan Komputer, Politeknik Merlimau, Melaka itu akhirnya dinobatkan sebagai pemenang dan berjaya membawa pulang Sijil Simpanan Premium Bank Simpanan Nasional (BSN) bernilai RM1 juta.

"Sebaik pulang, saya terus memaklumkan ibu yang ketika itu sudah tidak lagi mampu bersuara, beliau hanya mengangguk menyatakan kesyukuran dan kegembiraannya.

"Dua hari selepas itu, ibu meninggal dunia. Namun saya puas kerana berjaya menunaikan impiannya untuk melihat saya menang pertandingan itu dan menjadi jutawan pada usia muda," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menerima replika sijil simpanan tersebut yang disampaikan oleh Pengerusi Kumpulan Power Root, Tengku Shamsulbhari Tengku Azman Shah di sebuah hotel di sini hari ini.

Turut hadir ialah Pengarah Eksekutif Kumpulan, See Thuan Po serta duta Power Root, Rosyam Nor dan Farah Diana.

Selain Md. Zaidil Adha, sembilan lagi peserta akhir peraduan itu turut menerima hadiah berupa Sijil Simpanan Premium BSN bernilai RM10,000 setiap seorang.

Pusingan akhir peraduan itu disiarkan secara langsung di TV3 pada 31 Januari lalu.

Md. Zaidil Adha memberitahu, dia akan berkongsi hadiah yang dimenanginya itu dengan lima adik-beradik isterinya yang turut berkongsi mengeluarkan modal bagi membolehkannya menyertai pertandingan itu.

"Kami berenam menghabiskan kira-kira RM1,000 untuk mengumpul bukti pembelian Power Root.

"Saya bukannya penyumbang terbanyak tetapi kami berpakat untuk meletakkan nama saya selaku peserta peraduan ini.

"Selain berkongsi bersama mereka, saya juga kini merancang untuk memiliki sebuah banglo di Melaka selain mengadakan kenduri kesyukuran," ujarnya.

Sumber : Utusan Malaysia Online

AKU HANTAR BORANG, TAK DAK ONG LAGI....
MAYBE MUSIM KETIGA PLAK KOT.. AKU BLEH MENANG...

No comments: