Thursday, February 04, 2010

Azraai intai 5 pemain Harimau Muda B

Mahu uji mereka di Liga Slovakia

PRESTASI memberangsangkan ditunjukkan anak buah Ong Kim Swee menyaksikan pengendali Harimau Muda A, Azraai Khor Abdullah mengintai untuk membawa lima pemainnya ke Slovakia, minggu depan bagi menyertai liga divisyen satu.

Kim Swee yang mengemudi Harimau Muda B melalui enam perlawanan tanpa kalah, lima dalam Liga Perdana dan kemenangan 2-1 ke atas KL Plus dalam pusingan pertama Piala FA kelmarin, sudah pasti akan kehilangan tonggaknya selepas Azraai melahirkan minat mengambil salah seorang daripada posisi pertahanan, tengah dan serangan.

Azraai yang belum bersedia untuk menamakan lima pemain terbabit berkata langkah itu bakal memperkuatkan pasukan itu yang dibentuk khas bagi menghadapi Sukan Sea 2011 di Indonesia nanti.

“Saya bercadang untuk mengambil sekurang-kurangnya seorang pemain dari pertahanan, tengah dan serangan.

“Skuad kita ini dibentuk bagi persiapan jitu ke arah Sukan Sea 2011. Ada yang cakap skuad ini adalah cukup bagus, jadi kita nak ambil lima pemain ini bagi menguatkan lagi cabaran.

“Cadangan ini akan saya bincangkan dengan Ong Kim Swee nanti,” kata Azraai.

Menurut Azraai, kumpulan pemain yang diintai itu sebenarnya tidak asing kepadanya dengan mereka pernah beraksi bersamanya dalam Harimau Muda A sebelum ‘membebaskan’ mereka ke Harimau Muda B berikutan tiada aksi kompetitif.

Jika Azraai berjaya dalam hasratnya untuk membawa lima pemain itu, ini bermakna terdapat lima pemain yang akan digugurkan kerana tidak mahu membawa ‘pelancong’ ke sana.


Sumber : Berita Harian Online


SEMOGA AZRAI BERJAYA DALAM MISINYA....

No comments: