Sunday, January 03, 2010

Rayu Majlis Raja-Raja Melayu Campur Tangan


PEMUDA Islam Melayu Pasir Gudang berhimpun secara aman di Dataran Mawar, Pasir Gudang,
Johor semalam bagi membantah keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan akhbar mingguan 
Gereja Katholik menggunakan kalimah Allah dalam penerbitannya. 


JOHOR BAHRU 2 Jan. - Pemuda Islam Melayu Pasir Gudang meminta agar Majlis Raja-Raja Melayu campur tangan dalam menangani isu keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan akhbar mingguan Gereja Katholik menggunakan kalimah Allah dalam penerbitannya.

Rayuan itu dikemukakan ketika mereka yang diwakili lebih 15 ahlinya dengan diketuai Ketua Penerangan Pemuda UMNO Pasir Gudang, Ramli Ahmad berhimpun secara aman di Dataran Mawar, Pasir Gudang di sini hari ini.

Ramli berkata, keputusan mahkamah itu mengguris perasaan umat Islam dan seolah-olah mencabar hak orang-orang Melayu justeru campur tangan Majlis Raja-Raja Melayu adalah diperlukan.

"Kami mahu menegakkan perjuangan Islam yang menjadi agama utama di negara ini.

"Mereka sepatutnya menggunakan perkataan God (Tuhan) kerana penggunaan kalimah Allah sepatutnya adalah eksklusif untuk umat Islam" katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Ramli, pihaknya turut menggesa Kementerian Dalam Negeri membuat rayuan berhubung keputusan mahkamah itu.

"Ini isu sensitif yang boleh menimbulkan kekeliruan kepada umat Islam di negara ini dan salah faham terhadap kepercayaan-kepercayaan lain.

"Kami juga mahu kementerian membatalkan lesen akhbar mingguan Gereja Katholik itu," katanya.

Sumber : Utusan Malaysia Online


ISU AGAMA NI SENSITIF... HARAP DIAMBIL TINDAKAN SEWAJARNYA.....

No comments: