Thursday, January 07, 2010

Ne-Yo di Sunway Lagoon Malam Ini 7/1/2010



PETALING JAYA: Peminat Pop dan R&B berpeluang menyaksikan kelibat persembahan pemenang Anugerah Grammy, Ne-Yo pada konsertnya di Sunway Lagoon Surf Beach, di sini, malam ini.
Konsert penyanyi meningkat naik itu adalah julung kali diadakan di Malaysia sempena Jelajah Year of the Gentleman ke Asia Tenggara.

Bercakap pada sidang media, Ne-Yo yang popular menerusi lagu hit So Sick, Closer dan Miss Independent berkata, Malaysia satu daripada destinasi konsert selain Filipina kerana mempunyai pangkalan peminat yang ramai. “Sambutan di sini baik dan ramai meminati muzik saya. Pada masa sama, saya mahu berkongsi pengalaman menerusi muzik diketengahkan daripada beberapa lagu menerusi album Year of the Gentleman,” kata Ne-Yo pada sidang akhbar di Sunway Resort Hotel, semalam.

Tiga lagu daripada album itu, So Sick, Closer dan Miss Independent mencapai kedudukan carta pertama Billboard sementara album pertama pada 2006, In My Own Words mencecah jualan 1.4 juta unit setakat ini. Ne-Yo atau Shaffer Chimere Smith turut memperkenalkan protege, Jadyn Maria, 24, artis pertama mengikat kontrak di bawah label syarikatnya, Compound Entertainment. Jadyn, penyanyi kelahiran Puerto Rico, akan berganding bersama penyanyi jazz, Najwa Mahiaddin, bintang International College of Music (ICOM) yang akan membuka persembahan pada malam ini.

Ne Yo berharap kehadiran ke Asia dapat memberi definisi baru serta penghasilan muzik lebih baik terhadap R&B yang menjadi identitinya.

“Saya harap dapat berkolaborasi bersama sesiapa saja dari Asia pada masa depan, tidak kira siapa, asalkan kami dapat menghasilkan muzik berkualiti dan bagus untuk peminat,” katanya.

Konsert bertajuk Live in Kuala Lumpur itu, bermula jam 8 malam, dijayakan menerusi kerjasama antara X-pax, jenama utama prabayar Celcom Axiata Berhad dan Phuture Phlow Sdn Bhd.

Tiket menyaksikan konsert boleh dibeli pada harga RM260 bagi Phuture Zone, Phlow Zone (RM170) dan Purple Zone (RM140). Untuk mendapatkan tiket persembahan, sila hubungi 03-77251177 atau layari www.tickethotline.com.my atau e-mel di concert@phuture.com/www.phuturephlow.com bagi mendapatkan keterangan lanjut.

Sumber : Harian Metro Online

KENAPA KONSERT INI DIBUAT PADA MALAM JUMAAT??
TIADA MALAM LAIN KE NAK BUAT ?? SEHINGGAKAN MALAM JUMAAT YANG DIPILIH!!!

No comments: