Tuesday, January 19, 2010

Budak Balik Tadika Diculik

KUALA LUMPUR: Sekumpulan penjenayah yang terdesak mendapatkan wang sekelip mata sanggup mengurangkan wang tebusan RM500,000 kepada RM120,000 daripada sepasang suami isteri selepas menculik anak pasangan itu. 

Difahamkan, sebelum itu, kumpulan penjenayah berkenaan menculik kanak-kanak lelaki berusia lima tahun terbabit yang baru pulang daripada Tadika berhampiran rumahnya di sebuah kondominium di Brickfields di sini pada Isnin minggu lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah, berkata kumpulan penculik itu kemudian menghubungi ibu bapa mangsa untuk meminta wang tebusan RM500,000 dan memberikan tempoh beberapa hari menyediakan wang itu.


“Pada masa sama, kumpulan terbabit turut mengugut keluarga mangsa agar tidak membuat laporan polis.


“Keluarga mangsa berunding untuk membayar wang tebusan itu. Namun, selepas tawar menawar keluarga mangsa hanya mampu membayar RM120,000,” katanya di sini, semalam.

Beliau berkata, selepas dipersetujui, pasangan suami isteri itu membayar wang seperti diminta sebelum kanak-kanak itu dibebaskan di sebuah restoran makanan segera di Cheras di sini.

“Mangsa kemudian membuat laporan polis sebaik mendapat kembali anak mereka,” katanya.


Susulan laporan dibuat keluarga mangsa, polis mengadakan operasi besar-besaran mengesan kumpulan penjenayah itu.


Katanya, polis menjalankan siasatan sebelum memberkas beberapa suspek di beberapa lokasi di sekitar ibu kota.


“Enam suspek berusia antara 25 dan 45 tahun yang disyaki terbabit dengan perancangan kes culik kanak-kanak berkenaan sudah ditahan,” katanya di sini, semalam.


Ku berkata, pihaknya turut menemui Proton Saga yang dipercayai digunakan untuk menculik kanak-kanak berkenan selain sejumlah wang diberikan ibu bapa mangsa.


Sumber : Harian Metro Online


JANGAN BIARKAN ANAK KITA PERGI DAN BALIK KE TADIKA SEORANG DIRI....

No comments: