"SAYA sedar berat badan naik mendadak sejak di bangku sekolah lagi. Paling tidak boleh lupa, dulu saya bedal nasi ikut sedap. Semakin lama, badan semakin berisi macam dipam-pam," luah Syanie atau nama sebenarnya Syaniza Hisham, 35, ketika ditemui di syarikat produksi milik ibunya, Nizarman (M) Sdn. Bhd. di Taman Tun Dr. Ismail (TTDI) baru-baru ini.
Keadaan menjadi semakin buruk, lebih-lebih lagi selepas ibu bapanya bercerai. Akibat tekanan dan tidak dapat menerima hakikat, Syanie mula makan pelbagai jenis makanan tanpa mengira masa.
"Masa kecil saya manja dengan ayah dan rapat dengan mummy. Sejak itu, bila rasa sedih dan menangis, saya akan makan," kata anak kepada penerbit filem Ruhani Abdul Rahman itu.
Hubungannya dengan ahli keluarga sangat rapat. Selepas ibu bapanya bercerai, Syanie mula rapat dengan adik perempuannya, Syarina. Apa sahaja masalah akan dikongsi bersama.
Ketika berusia 11 tahun, berat badannya meningkat sebanyak 70 paun (31 kilogram). Anak sulung daripada lima beradik itu juga memberitahu, pernah ada orang tersalah anggap yang dirinya sudah remaja. Sedangkan umurnya pada masa itu baru berusia 12 tahun.
Syanie sentiasa merasakan dirinya tidak pernah normal sejak kecil. Disebabkan memiliki badan yang besar, dia mula malu untuk bercakap dengan orang. Malah, menjadi seorang yang sangat sensitif.
Rezeki berlakon
Keadaan itu berterusan sehingga Syanie masuk ke Kolej Sunway, di Petaling Jaya, Selangor pada usia 18 tahun. Dia yang tidak mempunyai ramai teman semakin rasa terasing dan tertekan.
"Setiap kali habis kelas saya akan pulang ke rumah. Jarang sekali melepak dan menghabiskan masa dengan kawan-kawan.
"Saya rasa diri kecil sangat kalau hendak dibandingkan dengan orang lain. Sewaktu remaja, saya tak tahu bergaya. Pakai baju pun tak ikut fesyen," katanya yang mengakui sering diperhatikan ketika di kolej.
Biarpun pandai dalam pelajaran, disebabkan oleh tekanan yang diterimanya, dia tidak dapat menamatkan pengajian di peringkat ijazah sarjana muda.
Bercerita mengenai penglibatannya dalam dunia lakonan, Syanie memperoleh tawaran berlakon dalam drama Sayang Si Montel daripada Azmah Advertising selepas tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Selepas itu, dia pernah mendapat jemputan daripada pengarah Aziz M. Osman untuk menjayakan dua episod drama Cili Padi.Nama Syanie mula dikenali selepas menjayakan drama arahan Azwan Ali iaitu Lontong dan Sambal.
Cepat penat
Menceritakan kesukaran dihadapi sepanjang membawa beban badan yang besar, Syanie menyatakan dia sukar mencari saiz baju, kasut dan seluar yang sesuai. Sehinggakan dia terpaksa membeli pakaian dalam di luar negara.
"Apabila badan sudah terlalu besar, nak berjalan pun payah. Jadi, pada tahun 2006 saya ada makan pil. Saya gembira kerana berat badan turun. Tetapi selepas saya berhenti makan pil tersebut, berat badan bertambah sebanyak 70 kilogram (kg). Lebih daripada berat badan sebelum ini.
"Saya juga menghadapi masalah setiap kali pergi ke set penggambaran. Saya sering merasa gementar untuk keluar dari kereta dan berjumpa dengan orang," kata Syanie yang enggan mendedahkan berat badannya ketika itu.
Dia juga sering penat setiap kali menjayakan rakaman drama. Sebaik sahaja pengarah menjerit 'cut', dia akan segera mendapatkan kerusi berdekatan untuk duduk dan berehat.
|
|
Kadangkala, Syanie boleh terjaga beberapa kali. Ini menyebabkan dia merasa mengantuk pada siang hari. Jelasnya, pernah semasa duduk bersembang dengan orang dia boleh terlelap.
Gastric bypass
Takut dengan masalah yang dihadapinya, Syanie pergi ke klinik untuk mendapatkan rawatan. Doktor memberitahu, setiap kali dia tidur, oksigen tidak sampai ke otaknya sebanyak 70 kali. Disebabkan kesukaran dan masalah kesihatan yang dihadapi, dia nekad mengubah gaya hidupnya.
Berat badannya ketika ini telah berkurang sebanyak 45kg. Ia semakin berkurangan selepas dia melakukan pembedahan gastric bypass bagi memendekkan ususnya. Itu pun selepas mengambil masa selama setahun untuk memikirkannya.
"Pembedahan itu tidak ada kena mengena untuk tampil cantik. Semuanya kerana soal ingin menjaga kesihatan. Doktor cakap, umur boleh jadi pendek jika berat badan melampau.
"Selain itu, mereka yang berbadan besar juga cenderung menghidap penyakit jantung, asma, kencing manis dan darah tinggi," kata pelakon yang pernah mendirikan rumah tangga selama enam tahun tetapi tidak berkekalan.
Doktor juga ada memberitahunya mengenai kemungkinan berlakunya kebocoran usus selepas pembedahan.
Alhamdulillah, selepas melakukan pembedahan gastric bypass dia tidak mengalami sebarang komplikasi.
Namun, bukan mudah untuk doktor melakukan pembedahan ke atas Syanie. Disebabkan terlalu banyak lemak, doktor menyarankan supaya dia mengurangkan berat badan sebanyak 10kg.
Dalam tempoh sebulan sebelum pembedahan, dia cuma makan sup, Nestum dan roti. Syanie juga berenang untuk mengurangkan berat badan. Bertekad untuk kurus dan sihat, dia sanggup menahan lapar.
Bersikap positif
Kini, selepas hampir lima bulan menjalani pembedahan di Hospital Pakar Damansara, Petaling Jaya ternyata berat badannya semakin berkurang.
Selain pengambilan makanan dalam jumlah yang sedikit, Syanie juga rajin bersenam.
"Nafsu makan masih macam dulu. Kadang-kadang saya ambil nasi penuh sepinggan dengan dua ketul ayam dan lauk-lauk lain. Tetapi selepas menjamahnya dua atau tiga suap, saya sudah kenyang," katanya.
Syanie menyeru kepada individu yang bertubuh besar agar jangan sesekali berasa rendah diri dan tidak berani mencuba untuk menguruskan badan.Tanamkan sikap positif dalam diri.
Biarpun sifat malu dalam diri masih tebal, namun Syanie meminta supaya golongan senasib dengannya membuang dan melawan semua perasaan tersebut. Walaupun pernah diketepikan dan dicemuh, anggaplah itu semua sebagai cabaran untuk mematangkan diri.
"Berani mencuba apa saja yang ingin dilakukan. Saya pernah teringin menaiki Roller Coaster. Pergi beli tiket dan cuba duduk di kerusi Roller Coaster tersebut tetapi malangnya tak muat.
"Kalau tidak berani mencuba, kita tidak tahu kemampuan diri sendiri," katanya yang kini sudah boleh memandu kereta selepas dua tahun sekadar menjadi penumpang.
Sumber : Kosmo Online
GEMUK??
ANDA BAGAIMANA ??
KURUS ATAU GEMUK ??
KALAU GEMUK, SUSAH DAPAT JODOH KE ???
No comments:
Post a Comment