Monday, October 26, 2009

Cuepacs mahu jumpa PM bincang bonus dua bulan


KUALA LUMPUR: Cuepacs mahu kerajaan memberikan bonus dua bulan gaji kepada 1.6 juta kakitangan awam dan pesara perkhidmatan awam di negara ini walaupun perkara itu tidak diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, pada pembentangan Bajet 2010 Jumaat lalu.

Presiden Cuepacs, Omar Osman, berkata pihaknya akan menghantar surat kepada Perdana Menteri hari ini bagi memohon mengadakan pertemuan secepat mungkin untuk membincangkan perkara terbabit.

“Ahli majlis kongres Cuepacs hari ini (semalam) membincangkan dua perkara iaitu berkaitan dengan bonus dan bantuan khas. Hasilnya Cuepacs mahu bonus dua bulan diberikan kepada kakitangan awam.


“Selaras itu majlis kongres mahu berjumpa dengan Perdana Menteri dengan kadar segera bagi membincangkan perkara ini,” katanya selepas mesyuarat tergempar kongres berkenaan di sini semalam.

Beliau berkata, tuntutan bonus oleh kakitangan awam terhadap kerajaan bukan saja keputusan ahli kongres terbabit, malah ia juga rintihan daripada kakitangan awam pada peringkat akar umbi.

Omar berkata, Cuepacs juga membuat keputusan dengan meminta kerajaan supaya bantuan khas sebanyak RM500 turut diberikan kepada pesara pilihan dan pesara pilihan penswastaan.
“Ia selaras dengan slogan Perdana Menteri, rakyat didahulukan, maka Cuepacs yang menjadi wakil kakitangan awam berhak mengadakan pertemuan dengan beliau bagi membincangkan perkara ini, selain mengadakan kunjungan hormat.

“Kita tidak menjangkakan perkara ini (bonus), sebab sebelum ini bantuan khas sebanyak RM500 diberikan kerajaan. Maka tidak ada sebab bonus tidak diberi, jika kerajaan tidak mahu bagi, baik tidak bagi langsung,” katanya.

Katanya, kali terakhir kakitangan awam di negara ini mendapat bonus ialah pada penghujung tahun lalu iaitu sebanyak RM1,000 ataupun sebulan gaji.

Beliau berkata, mutu perkhidmatan yang diberikan oleh kakitangan awam kepada rakyat kian meningkat dan tiada alasan untuk kerajaan tidak memberikan bonus.
Selain itu, katanya, pihaknya juga akan membangkitkan mengenai nasib kira-kira 50,000 kakitangan awam secara kontrak di negara ini yang berdepan dengan kemungkinan akan ditamatkan kontrak dalam pertemuan itu.

“Kita berharap kakitangan kontrak dapat diserapkan ke jawatan tetap, kerana mereka sudah lama berkhidmat ada yang lebih daripada lima tahun.

“Malah ada juga yang tidak mendapat potongan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan ini perlu perhatian,” katanya.

Berita Harian - 26 Oktober 2009

No comments: