Wednesday, October 21, 2009

Bukit Bendera bukan ikon PP


PULAU PINANG 20 Okt. - Buat kali kedua berturut-turut, Bukit Bendera digugurkan sebagai salah satu daripada 10 ikon pelancongan negeri bagi tahun depan selepas tindakan yang sama diambil tahun ini.

Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen berkata, tindakan tersebut diambil setelah keadaan perkhidmatan kereta api di situ yang sering rosak, tidak selesa dan memberikan imej tidak baik di kalangan pelancong.



Katanya, pemilihan 10 ikon di setiap negeri sebenarnya dicadangkan oleh kerajaan negeri termasuk melibatkan negeri ini.

''Kementerian Pelancongan telah mengarahkan Tourism Malaysia untuk memaklumkan semua pejabat pelancongan di seluruh dunia bahawa Bukit Bendera digugurkan sebagai ikon Pulau Pinang bagi 2010.
''Kita tidak mahu pelancong tiba di sini melalui pengalaman yang tidak menyeronokkan,'' katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Projek Menaik Taraf Sistem Kereta Api Bukit Bendera di sini hari ini.
Yen Yen berkata, peruntukan RM63 juta bagi tujuan itu di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) menerusi Kementerian Pelancongan akan melibatkan kerja-kerja mengganti peralatan lama termasuk motor, sistem kabel, landasan dan koc kereta api.

Menurutnya, koc baru itu adalah lebih selesa, berhawa dingin, mempunyai ruang pemerhatian, ciri-ciri keselamatan yang mematuhi piawaian antarabangsa, mempunyai kelajuan yang fleksibel dan boleh terus sampai ke puncak atau berhenti mengikut keperluan.

''Ia sekali gus memendekkan waktu menunggu di samping kapasiti penumpang juga akan ditingkatkan kepada 1,000 orang sejam daripada 280 orang ketika ini,'' katanya.

Sejak Januari hingga September tahun ini, keseluruhan pengguna perkhidmatan kereta api Bukit Bendera berjumlah 439,422 orang.

Kerja menaik taraf tersebut dijadual bermula Mac tahun depan dan selesai pada akhir tahun.
Menurut Yen Yen, pihak kementerian telah mendapatkan pandangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan projek tersebut adalah mesra alam sekitar.

Katanya, pihaknya juga telah mengarahkan kontraktor menjaga kebajikan empat pelajar yang menggunakan khidmat kereta api tersebut hampir setiap hari dan 93 penduduk tetap di kawasan pelancongan tersebut.
Menurutnya, kontraktor terlibat berjanji untuk menyediakan kenderaan pacuan empat roda bagi kegunaan semua yang terjejas itu.

Dalam pada itu katanya, kerajaan Pusat komited untuk memajukan sektor pelancongan di semua negeri dan kerana itu sejumlah RM15 juta diperuntukkan untuk menambah pelbagai jenis taman di negeri ini.
Kementerian juga katanya, telah melantik tiga pakar dari luar negara termasuk dua dari Perancis di mana salah seorang daripadanya terkenal dengan kejayaan merealisasikan lukisan bunga-bungaan Monet yang amat terkenal di Eropah untuk mengindahkan negeri ini.

No comments: