Wednesday, June 02, 2010

Ciuman perokok boleh bunuh kanak-kanak: Pakar

MELBOURNE: Ciuman perokok boleh membawa maut kepada kanak-kanak, kata seorang pakar kesihatan kanak-kanak.


Prof Robert Booy, pengarah penyelidikan di Pusat Imunisasi dan Penyelidikan Kebangsaan di The Children's Hospital di Sydney, berkata ini kerana perokok berkemungkinan besar membawa sejenis bakteria berbahaya pada kerongkong mereka.

"Bakteria yang boleh menyebabkan kematian ini akan dipindahkan kepada kanak-kanak semasa mereka dibelai dan dicium.

"Perokok adalah pembawa kuman seperti meningococcus. Jadi, pelukan dan ciuman pada kanak-kanak, boleh menyebabkan kuman tersebar walaupun seseorang perokok itu merokok di luar rumah," katanya seperti dipetik laporan Australian Associated Press.


Menurut laporan itu, seorang daripada 10 kanak-kanak yang terkena penyakit akibat jangkitan bakteria itu akan meninggal dunia. - Bernama

Sumber : Berita Harian Online

HATI-HATI BILA BERI CIUMAN KEPADA KANAK-KANAK..
AWAS!!

Rombakan Kabinet : Tee Keat digugurkan

PUTRAJAYA: Datuk Seri Ong Tee Keat digugurkan daripada barisan Kabinet dalam rombakan yang diumumkan Perdana Menteri semalam, manakala anak Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek dilantik sebagai Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, berkuat kuasa Jumaat ini.

Tempat Tee Keat digantikan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Kong Cho Ha dan Datuk Wira Chor Chee Heung yang memegang jawatan Timbalan Menteri Dalam Negeri dinaikkan pangkat mengisi tempat Cho Ha. Anak Soi Lek, Chua Tee Yong yang juga Ahli Parlimen Labis dilantik menggantikan Datuk Rohani Abdul Karim yang menyandang jawatan baru sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.


Rombakan berkenaan turut menyaksikan pelantikan Jelaing anak Mersat sebagai Timbalan Menteri Pengangkutan (sebelum ini Timbalan Menteri Dalam Negeri) dan Datuk Lee Chee Leong sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri (sebelum ini Timbalan Menteri Luar).


Senator Heng Seai Kie dilantik sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bagi menggantikan Datin Paduka Chew Mei Fun yang meletakkan jawatan sebagai Ketua Pergerakan Wanita MCA dan jawatan dalam kerajaan selepas Perhimpunan Agung Khas MCA, baru-baru ini.


Senator Datuk G Palanivel yang juga Timbalan Presiden MIC dilantik sebagai Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, manakala Ahli Parlimen Serian, Datuk Richard Riot anak Jaem dilantik sebagai Timbalan Menteri Luar.


Turut dilantik Senator Datuk Donald Lim Siang Chai sebagai Timbalan Menteri Kewangan, Senator Datuk Maglin Dennis D'Cruz sebagai Timbalan Menteri, Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan serta Senator Gan Ping Shou dilantik sebagai Timbalan Menteri Belia dan Sukan.


Pelantikan Siang Cai, Maglin, Ping Shou sebagai senator berkuatkuasa semalam dan mereka dijangka mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Negara dalam tempoh terdekat.


Pelantikan menteri dan timbalan menteri serta pengguguran Tee Keat sebagai Menteri Pengangkutan dan Datuk Wee Jeck Seng sebagai Timbalan Menteri Belia dan Sukan diperkenankan Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong dan berkuat kuasa 4 Jun ini. 

Sumber : Harian Metro Online
SELAMAT BERTUGAS...

Keputusan Liga Super 01 Jun 2010 : KEDAH 0 - 0 PENANG

Keputusan Liga Super : 01 Jun 2010


Kedudukan Carta Liga Super : 01 Jun 2010



KUALA LUMPUR - Baik di gelanggang sendiri mahu pun lawan, Selangor terus hebat memburu kejuaraan Liga Super apabila memungut tiga mata selepas menewaskan Johor 1-2 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, semalam.

Pasukan bimbingan K. Devan memperoleh gol pertama melalui ketua pasukan, Amri Yahyah pada minit ke-29, sebelum pemain tengah, Safiq Rahim menambah gol kedua pada minit ke-59.

Gol sagu hati Johor disumbangkan L. Ragesh melalui sepakan penalti pada minit ke-71.

Pencabar terdekat, Kelantan turut mencatat kemenangan 2-0 ke atas Perak di Stadium Sultan Mohammad Ke-IV selepas pemain penyerang Mohd. Norfarhan Mohamad memecah kebuntuan pada minit ke-47, diikuti jaringan Hairuddin Omar pada minit ke-90.

Selangor terus selesa dengan kelebihan lapan mata mengatasi Kelantan apabila mengumpul 53 mata.

Di Stadium Darulmakmur, Pahang mencatat kemenangan 1-0 ke atas Kuala Lumpur hasil jaringan tunggal Azamuddin Mohd. Akil pada minit ke-62.

Di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Terengganu dan Negeri Sembilan berkongsi mata selepas terikat 1-1.

Skuad Rusa di depan seawal minit ketiga melalui Abdul Halim Zainal, sebelum Ronny Harun menyamakan kedudukan pada minit ke-52.

Perlis pula gagal menggunakan kesempatan beraksi di gelanggang sendiri apabila tewas 0-1 kepada T-Team di Stadium Utama.

Penyerang pasukan pelawat, Abdul Hadi Yahya menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-72.

Di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, KL Plus terikat 1-1 dengan Johor FC, manakala Kedah dan Pulau Pinang, yang bertemu di Stadium Darul Aman juga mencatat keputusan seri tanpa sebarang jaringan.


Sumber : Utusan Malaysia Online dan Soccerway

KEDAH MAKIN PARAH....  ASYIK SERI DAN KALAH AJA......APA SEBABNYA ???

Wartawan, Jurukamera Astro Selamat

KUALA LUMPUR 1 Jun - Dua kakitangan Astro Awani, Ashwad Ismail, 26, (wartawan) dan Samsul Kamal Abdul Latip, 43, (jurukamera) dilaporkan berada dalam keadaan selamat ketika ini.

Pengurus Besar Astro Awani, Rozina Aziz berkata, Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman telah mengesahkan kedua-dua kakitangan Astro tersebut berada dalam keadaan selamat walaupun kapal mereka diserang oleh tentera rejim Zionis, semalam.

"Kami telah menerima pengesahan yang semua 12 rakyat Malaysia termasuk krew berita kami yang menaiki kapal Mavi Marmara berada dalam keadaan selamat tanpa sebarang kecederaan walaupun telah dikepung Israel pada pagi Isnin (semalam).

"Kami sangat gembira dengan perkembangan terbaru ini," kata Rozina dalam kenyataan di sini malam ini.

Menurut Rozina, Ashwad dan Samsul Kamal meninggalkan Kuala Lumpur sejak 23 Mei lalu bagi menyertai misi kemanusiaan Lifeline untuk Gaza (LL4G) yang menghantar bantuan kemanusiaan kepada penduduk Palestin di Gaza.

Katanya, usaha untuk menghubungi kapal tersebut dilakukan sebaik sahaja berita mengenai serangan tersebut dilaporkan oleh media antarabangsa tetapi gagal.

"Sentuhan terakhir mereka dengan Astro Awani ialah visual berita yang dihantar menunjukkan rakaman ketika mereka menaiki kapal.

"Sekarang kami tahu mereka berdua selamat dan kami akan terus menghubungi Wisma Putra untuk mengetahui perkembangan mereka dan membawa mereka pulang," katanya.

"Kami juga terus berhubungan dengan ahli-ahli keluarga Ashwad dan Samsul Kamal untuk memaklumkan sebarang perkembangan,'' katanya.

Tentera Israel semalam bertindak melampaui batas apabila menyerang sebuah daripada sembilan kapal yang menyertai konvoi bantuan kemanusiaan ke Gaza anjuran kumpulan pro-Palestin dan Pertubuhan Hak Asasi Manusia Turki.

Serangan itu menyebabkan 19 aktivis dilaporkan terbunuh dan berpuluh-puluh yang lain cedera.

Sumber : Utusan Malaysia Online
ALHAMDULILAH, RAKYAT MALAYSIA SELAMAT....