Wednesday, November 11, 2009

Lelaki beli seluar dalam untuk pikat wanita


LONDON - Satu tinjauan oleh rangkaian gedung beli-belah ternama Britain, Debenhams mendapati, lelaki membeli seluar dalam untuk memikat wanita.

Kajian itu turut mendapati, golongan lelaki secara purata menyerahkan segala urusan pembelian seluar dalam mereka sendiri kepada ibu sehingga mereka mencapai usia 19 tahun.

Ia berbeza dengan wanita yang mula membeli ketika berusia 13 tahun sebaliknya lelaki yang baru berbuat demikian pada umur 19 hingga 23 tahun bertujuan untuk mencari pasangan hidup.

Ketika tempoh itu, lelaki sanggup membeli sehingga 31 pasang seluar dalam setahun kerana percaya kononnya memakai seluar dalam baru merupakan syarat penting untuk menjalinkan hubungan dengan wanita.

Namun, lelaki didapati kurang membeli seluar dalam semasa berumur antara 23 dan 33 tahun kerana hubungan dengan pasangan waktu itu dianggap sudah stabil.

Mereka dalam kumpulan umur tersebut menyerahkan hal berkaitan pembelian seluar dalam baru kepada teman hidup.


"Kajian kami menunjukkan, kita boleh mengenali lelaki yang sedang mencari pasangan dengan melihat jumlah seluar dalam dibeli, kata ketua aksesori lelaki di gedung beli-belah Debenhams, Rob Faucherand.

Jika lelaki membeli lebih 31 pasang seluar dalam setahun, ia menunjukkan dia masih terdesak untuk mencari teman atau belum mempunyai sebarang teman wanita. - Reuters










Sumber : Kosmo Online

KERANA SELUAR DALAM, BOLEH PIKAT WANITA ?

Curi: Pasangan kekasih ditangkap


ORANG RAMAI mengepung gadis yang ditahan selepas mencuri telefon bimbit bersama kekasihnya di Jalan Temenggung, Kota Bharu semalam.


KOTA BHARU - Seorang gadis yang membantu teman lelakinya mencuri telefon daripada sebuah lori tidak sempat melarikan diri kerana berjaya diberkas oleh orang ramai di Jalan Temenggung di sini semalam.

Gadis berusia 34 tahun itu turut dipukul oleh beberapa wanita yang geram dengan perbuatannya itu sebelum diserahkan kepada polis.

Orang ramai turut berjaya menahan teman lelakinya yang berusia 34 tahun yang turut cuba melarikan diri tidak jauh dari tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Zahruddin Abdullah berkata, kejadian berlaku pada pukul 12 tengah hari apabila lelaki terbabit mencuri dua buah telefon bimbit sebelum memberinya kepada teman wanitanya yang menunggu di motosikal.

Menurutnya ketika kejadian, pemandu lori yang berusia 26 tahun berada di dalam sebuah kedai berhampiran untuk menguruskan hal perniagaan dan terdengar bunyi sesuatu pada kenderaannya.

"Apabila pergi ke lorinya, pemandunya terlihat seorang lelaki melarikan dua buah telefon bimbitnya bernilai RM1,200 sebelum memberinya kepada seorang wanita yang sedang menunggu di motosikal berhampiran lori itu.

"Pemandu lori kemudiannya menjerit meminta pertolongan dari orang ramai," katanya.

Sumber : Kosmo Online

HEBATNYA SEPASANG KEKASIH INI KAN...

Skuad tinju berlatih di Thailand


EDDY (kiri) dan Paunandes (tengah) akan mengetuai cabaran Malaysia pada Sukan SEA 2009 di Laos bulan depan.


THAILAND menjadi destinasi petinju negara mempersiapkan diri bagi menghadapi Sukan SEA 2009 di Laos bulan depan.

Mereka akan menjalani latihan intensif selama 28 hari di negara berkenaan sebelum memulakan misi memburu satu pingat emas di Laos.

Eddy Kalai mengetuai pelatih lain yang ter- diri daripada Paunandes Paulus, Mohd. Far- han Harun dan Mohd. Ali Abd. Karim.

Dua petinju pelapis, Mohd. Fuad Redzuan dan Mohd. Fairuz Azwan Abdullah sudah berada di Thailand sejak 29 Oktober lalu.

Setiausaha Persekutuan Tinju Amatur Malaysia, Mejar (B) Maulud Othman berkata, petinju negara akan mengadakan sparring dengan petinju kelab di 12 tempat seluruh Thailand termasuk Haadyai, Suratani dan Bonanza di Bangkok.

"Mereka mula menjalani latihan dengan petinju kelab di Haadyai dan latihan terakhir di Bonanza, Bangkok dengan petinju nasional Thailand," katanya kepada Kosmo! semalam.

Maulud berkata, pihaknya telah menerima laporan daripada jurulatih elit, Ramli Yahya bahawa semua petinju berada dalam keadaan terbaik serta tidak menghadapi sebarang kecederaan.

Ditanya mengenai sasaran di Laos, beliau menjelaskan: "Satu pingat emas menjadi idaman."
Sementara itu, pihaknya juga akan memantau kecederaan dialami petinju negara, B. Perabagaran sebelum membawanya ke Laos bulan depan.

Menurutnya, Perabagaran masih berpeluang ke Laos kerana namanya berada dalam senarai.
"Kami akan melihat semula tahap kecede- raannya dan kalau sihat kami akan membawa- nya ke Laos.

"Dia adalah petinju simpanan kami yang sepatutnya turut bertolak ke Laos pada 8 Disember depan," katanya.
Perabagaran, 21, yang bertugas sebagai juru- latih jasmani di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia
(TLDM) Lumut, Perak mengalami kecederaan selepas dibelasah kira-kira 20 lelaki yang tidak dikenali ketika sedang makan bersama empat pelatih lain di sebuah gerai makan berhampiran Pusat Latihan Tinju Datuk Keramat, Kuala Lumpur pada 28 Oktober lalu.

Insiden itu berlaku selang beberapa jam sebelum dia bersama lapan petinju dan dua jurulatih dijadualkan terbang ke Haadyai, Thailand untuk menjalani latihan intensif pada 28 Oktober lalu.

Maulud berkata, kejadian tersebut di luar kawalan persatuan kerana ia berlaku selepas waktu latihan dan di luar kawasan pusat latihan

Sumber : Kosmo Online

NAK LAWAN DENGAN THAILAND, BERLATIH DI THAILAND ? PENDAPAT ANDA...

Sumpah Tidak Rampas Suami Orang




ORANG lain yang bercerai, orang lain pula yang terima tempiasnya. Itulah yang terjadi kepada pelakon jelita yang semakin meningkat naik Eira Syazira atau nama sebenarnya Syazira Shuhaimi, 25.

Dalam diam, tiba-tiba namanya terus berada di carta wanita perampas suami orang gara-gara dia dituduh sebagai punca utama penceraian pelakon Wan Sharmila Wan Muhamad dengan suaminya Fazli Bahrom seorang penerbit syarikat produksi Radius One.

Anak kelahiran Kuala Lumpur itu terkejut apabila dia dikatakan orang ketiga yang merampas suami kepada rakannya sendiri sedangkan dia hanya tahu penceraian Wan Sharmila melalui laporan akhbar.

"Saya terkejut sebab ramai yang bertanyakan hal yang sama kepada saya. Saya pelik kenapa nama saya tiba-tiba dikaitkan dengan penceraian mereka. Tetapi ada kawan beritahu di Internet sudah tersebar luas kononnya sayalah punca utama mereka bercerai," ujarnya ketika ditemui pada majlis pelancaran Anugerah Skrin 2009 baru-baru ini.

Mungkin khabar angin kurang enak itu bertebaran kerana Eira pernah digosipkan bersama Fazli sebelum ini dan banyak berlakon di bawah produksi Radius One termasuk memegang watak utama dalam drama terbarunya Cinta Balqis yang tengah hangat disiarkan di TV3 yang juga terbitan produksi yang sama.
Meskipun Fazli pernah tampil dan menafikan wujudnya orang ketiga dalam keruntuhan rumah tangganya, namun semua itu belum cukup untuk menutup mulut-mulut orang yang tidak berhenti menuduh Eira sebagai puncanya.

"Saya mengaku memang saya sedih dan marah dengan orang yang buat cerita ini. Tetapi saya nak buat macam mana, kalau beribu kali saya cakap bukan saya puncanya orang masih tidak percaya.

"Sebagai seorang wanita dan apatah lagi rakan kepada Wan Sharmila saya tidak tergamak untuk melukakan hati wanita lain dan suami orang bukanlah pilihan saya.

"Mungkin kerana dulu ada gosip kononnya saya bercinta dengan seorang penerbit walhal mana ada. Saya masih solo," ujarnya dalam nada serius.


EIRA meminta bukti daripada orang yang menuduh dia sebagai perampas suami Wan Sharmila.


Tegas Eira lagi, dia berani bersumpah bahawa dia bukanlah orang ketiga yang dimaksudkan, malah dia turut bersedih dan tumpang simpati terhadap nasib yang menimpa rakannya itu.

"Saya boleh bersumpah, saya langsung tidak ada kena mengena dengan penceraian mereka. Memang saya banyak berlakon dengan produksi Radius One tetapi hubungan saya dan Fazli profesional tidak lebih sebagai artis dan penerbit," jelasnya.

Tegasnya lagi, jika ada pihak yang masih menuduhnya menjalinkan hubungan dengan bekas suami Wan Sharmila, Eira dengan berani meminta bukti ditunjukkan kepadanya.

"Saya pun tidak tahu nak kata apa. Saya tidak pernah keluar berdua atau pergi tonton wayang ke dengan Fazli. Kalau betul saya perampas pasti sudah lama gambar saya dikeluarkan," katanya.

Baik dengan Wan Sharmila
Meskipun orang menuduhnya sebagai perampas suami rakannya sendiri tetapi hubungannya dengan Wan Sharmila masih lagi baik seperti biasa. Itu, sebagai bukti bahawa dia bukanlah perampas seperti yang dihebohkan.

Malah, ketika di belakang tabir sebelum menjayakan pelancaran majlis Anugerah Skrin 2009 di Hotel Sunway Resort & Spa mereka masih lagi boleh berbual seperti biasa.

"Saya dan Wan pernah rapat sebab berlakon dalam drama Sindarella dan bila kami berjumpa di belakang tabir untuk menjayakan pelancaran Anugerah Skrin, kami masih berbual seperti biasa dan bertanya khabar.
"Sebenarnya sebelum ini ketika gosip kononya saya bercinta dengan penerbit keluar, kami selesaikan dengan baik kerana saya jenis yang suka bertanya terus. Wan pun faham dan tidak menyalahkan saya. Bila orang tuduh saya perampas pada saya cukuplah orang terdekat dan Wan yang tahu perkara sebenar," ucap Eira jujur.

EIRA berlakon sebagai Balqis dalam drama siri terbarunya Cinta Balqis.


Walaupun cerita itu tidak benar, Eira tetap berasa tertekan kerana dipandang serong oleh masyarakat sekelilingnya.

Kata Eira lagi, dia tidak biasa menjadi bahan gosip kerana namanya jarang termasuk dalam ruangan gosip. Bahkan, dia berharap kontroversi terbaru itu tidak akan mengganggu perkembangan kerjayanya sebagai seorang pelakon.

"Memang saya agak tertekan sebab orang yang tidak tahu cerita akan pandang serong kepada saya. Tetapi saya masuk dunia lakonan bukan kerana glamor tetapi kerana minat. Jadi saya ketepikan semua itu dan fokus pada kerjaya," luahnya.

Ditanya andai dia berjodoh dengan suami orang, Eira hanya tersenyum seraya berkata: "Tidak mahulah, kalau boleh minta di jauhkan. Bagi saya jika kita merampas hak orang suatu hari nanti perkara yang sama akan berlaku pada kita."

Eira sebagai Balqis
Berlakon dalam drama Cinta Balqis yang disiarkan di slot Akasia merupakan satu cabaran besar buat Eira kerana wataknya sebagai Balqis seorang gadis yang bekerja di ladang kelapa sawit.

Berlakon di samping suami pelakon Diana Rafar iaitu Zamarul Hisyam juga membuatkan Eira berasa kaget di samping pelakon-pelakon senior yang lain.

SEBAGAI rakan kepada Wan Sharmila (kanan), Eira tidak sanggup untuk menjadi perampas kebahagiaannya.


"Satu pengalaman yang berharga buat saya kerana pada awal cerita ini saya berlakon sebagai gadis kampung manakala pada pertengahan cerita pula kerja saya asyik menangis.

"Jalan ceritanya agak menyayat hati, tetapi alhamdulillah dengan tunjuk ajar pengarah Heykal Hanifah dan pelakon-pelakon lain saya dapat lakukan dengan baik," katanya.

Drama 44 episod itu telah mula ditayangkan di TV3 setiap 6.30 petang.

Sebelum berlalu pergi, ditanya pada Eira mungkinkah selepas ini dia serik untuk berlakon lagi di bawah produksi Radius One Eira berkata: "Saya tidak salah buat apa saya melarikan diri. Kalau saya buat begitu nampak macam saya pula yang bersalah. Selagi ada rezeki saya akan bekerja dengan mana-mana produksi termasuklah Radius One."

Sumber : Kosmo Online

SUKA DUKA ARTIS

Polis Tak ‘Tembak Untuk Bunuh’

KUALA LUMPUR 10 Nov. – Polis hari ini menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa pasukan itu bertindak melulu ketika menembak mati lima penjenayah Geng PCO Boy di Lorong Keramat, Klang, Selangor kelmarin.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin menegaskan, polis sama sekali tidak mengamalkan kaedah tembak untuk membunuh ketika berdepan dengan ancaman penjenayah.

“Dalam semua kes sebelum ini yang melibatkan penjenayah mati ditembak, mereka (penjenayah) yang melepaskan tembakan dahulu. Apabila polis menembak, mereka tidak menembak untuk membunuh, tetapi tujuannya bagi menghentikan sesuatu ancaman bahaya.

“Adalah jelas polis mempunyai hak untuk mempertahankan diri dan melindungi nyawa orang awam yang tidak berdosa,” kata beliau dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.

Lima penjenayah Geng PCO Boy yang terlibat dengan kegiatan samun di sekitar Lembah Klang ditembak mati oleh polis dalam kejadian berbalas tembakan di Batu 4, Jalan Kapar, Klang, awal pagi kelmarin.
Mereka yang berusia 20 hingga 30 tahun itu termasuk ketua kumpulannya memiliki 13 rekod jenayah, dipercayai merancang melakukan jenayah di kawasan berhampiran ketika kejadian.

Berhubung kes itu, Mohd. Bakri memberitahu, sepasukan polis yang sedang mengejar kumpulan terbabit telah diserang dengan tembakan rambang bertubi-tubi ke arah mereka.

Sumber : Utusan Malaysia

POLIS DIPERSALAHKAN? MACAM MANA NI? KALAU TAK AMBIL TINDAKAN, POLIS KENA TEMBAK DULU LA.....

KCS Kedah Merajuk, Pusat Pergilah Pujuk...


MINGGU lepas saya berehat daripada menulis kolum ini, maka ramailah yang menghubungi saya bertanyakan mana pergi Cuit? Saya berkata saya mahu bebaskan fikiran saya daripada isu-isu yang tengah panas ketika itu 

- dalam kain Pas yang sudah mulai terbuka sedikit demi sedikit, isu Dr. Asri - yang semalam dalam akhbar, khabarnya dia mahu masuk politik? Gambar beliau yang disiarkan dengan Nik Aziz mungkin memberi jawapannya? Isu bai'ah dalam Pas dan lain-lain lagi.

Pendek kata macam-macam isu di Malaysia ini. Lepas satu, satu. Ada yang berkata isu perpecahan Pas baru-baru ini yang dicuit oleh Prof. Dr. Aziz Bari 'sengaja' dibuat beliau bagi mengalihkan perhatian rakyat ketika itu daripada kemelut meruncing dalam PKR dan isu Anwar Ibrahim. Saya tidak tahulah sejauh mana hubungan akrab Aziz dengan Anwar dan PKR, tapi setelah tulisannya mengenai soal 'Team Hadi' dan 'Team Nik Aziz' dalam Pas itu meletup, maka isu dalam kain PKR sudah hilang dalam media. Maka selamatlah PKR (sebentar).

Percaya atau tidak, inilah kuasa media. Merekalah yang menggerakkan (maneuvering) sesuatu isu itu ke arah mana ia mahu dibawa. Media sebenarnya ialah 'agenda setter' (penentu agenda). Dalam kajian kewartawanan itulah pun antara peranannya. Tapi, media juga boleh dimanipulasi, jika orang yang mahu mempergunakannya itu bijak, seperti Aziz Bari (mungkin).

Namun, oleh kerana Malaysia ini penuh dengan warna-warninya, pembaca kita sebagai pembeli juga sebenarnya mahukan isu-isu seperti itu - sebagai modal bagi mereka berborak di kedai-kedai mamak malam nanti!

TOLAK ke tepi dulu soal itu, minggu ini, kita akan membincangkan satu isu yang serius melibatkan satu kumpulan perkhidmatan awam yang tertua di Malaysia. Ia adalah Perkhidmatan Tadbir Awam Negeri Kedah atau lebih terkenal dengan panggilan ringkas KCS (Kedah Civil Service).

Memetik kata-kata rakan penulis pak Kadir Jasin dalam blognya akadirjasin.blogspot.com/akadirjasin.com mengenai KCS ini, beliau berkata: "Ia diasaskan oleh kesultanan Kedah lama sebelum British kononnya membawa sistem pentadbiran awam ke Tanah Melayu. Sebab itulah taat setia kepada Raja menjadi tonggak KCS. Kalau zaman saya lepas sekolah dulu, jadi pegawai KSC gerenti dapat bini cantik. Semua nak jadi DO, ADO dan 'Raja Tanah' - Pegawai Pemungut Hasil Tanah."

Uniknya KCS ini, hanya anak negeri sahaja yang boleh menjawat jawatan dalam Perkhidmatan Awam Negeri Kedah. Kini dengan naiknya kerajaan Pas, maka soal lantikan, kenaikan pangkat, skim gaji dan peruntukan dikuasai oleh kerajaan baru itu. Selain Kedah, hanya tiga negeri lain yang mengamalkan sistem seperti itu iaitu Johor, Kelantan dan Terengganu. Lain-lain negeri pegawai-pegawainya adalah pegawai persekutuan atau PTD yang boleh ditukar di kalangan negeri-negeri tersebut atau balik ke Persekutuan.

Tahun ini KCS genap berusia 100 tahun. Sejak 100 tahun lalu, sehinggalah ke tahun lalu, ia berkhidmat di bawah kerajaan negeri yang menaungi Pusat dan Persekutuan.

Aliran pemikiran pegawai-pegawai KCS ini juga sealiran dan berkiblatkan Pusat dan Persekutuan, walaupun ia bukan pegawai yang didatangkan dari situ. Peruntukan atau arahan-arahan dari Pusat akan terus sampai kepada mereka untuk dilaksanakan.

Selepas pilihan raya umum ke-12 tahun lalu, pegawai-pegawai KCS ini (tiba-tiba) berada di bawah pemerintahan yang didokong oleh parti pembangkang iaitu, Pas.

Pegawai-pegawai KCS itu kini berada dalam kecelaruan. Hubungan mereka dengan kerajaan Pusat telah terputus. Mereka semacam anak ayam kehilangan ibu. Masing-masing merasakan mereka sudah mulai terpinggir?

Perlu diingat peranan pegawai-pegawai ini amat penting kerana merekalah jentera yang turun ke bawah bertemu rakyat dan menyampaikan amanat kerajaan kepada rakyat. Hati pegawai-pegawai ini perlu dijaga, kebajikan mereka juga perlu dijaga. Bak kata pepatah moden ''jika penyapu yang diberi, maka penyapulah yang akan diterima.''

KCS ini amat strategik dari segi perancangan antara kerajaan (politik) dan pentadbiran awam. Jika orang politik (kerajaan) tidak menjaga mereka dengan baik, kuasa kakitangan awam ini boleh menentukan untung nasib kerajaan itu. Contohnya, menurut kajian bukan ilmiah, didapati jatuhnya negeri Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Kelantan dan Wilayah Persekutuan ada kaitan sedikit sebanyak dengan peranan dan pengaruh kakitangan awam.

Dalam konteks Kedah, reaksi segera Pusat selepas kejatuhan negeri itu ialah ditubuhkan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) bagi memastikan agihan dan projek pembangunan kerajaan Pusat dapat disalurkan tanpa ada diskriminasi atau diambil kesempatan oleh kerajaan negeri pembangkang.
Namun wujud satu senario yang serius di mana peranan KCS contohnya institusi yang dihormati rakyat, DO atau Pegawai Daerah (perlu disebut: DO ini juga ialah Pegawai Pengurus (RO) dalam satu-satu pilihan raya), Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Pejabat Tanah dan hubungannya dengan kerajaan Pusat seperti telah terputus.

Menurut seorang pegawai tinggi kerajaan Kedah: ''Baru setahun bertukar kerajaan, KCS seakan terpinggir, tidak dipedulikan lagi.''

Persepsi ini diburukkan lagi melalui tanggapan sesetengah wakil rakyat UMNO bahawa kononnya KCS kini mulai beralih arah dengan menyokong kerajaan pembangkang Pas. Walhal apa yang berlaku menurut pegawai itu ialah: ''pendekatan politik dan 'political engagement' antara UMNO, BN dan kerajaan Pusat dengan KCS kini jauh kosong dan menyebabkan KCS hilang arah.

''Orang UMNO dan BN dan Pusat mulai menjauhkan diri daripada kami dan bukan sebaliknya. Persepsi orang-orang ini adalah salah, meleset dan mengelirukan kerana sejak PRU 1959 sehingga 2008, keupayaan BN memerintah Kedah bukankah akibat dokongan dan hasil kerjasama dan sumbangan daripada KCS?
''Kenapa isu ini dialihkan, sedangkan faktor kekalahan BN dalam PRU 2008 adalah akibat sumbangan daripada banyak petunjuk-petunjuk lain,'' katanya kepada saya baru-baru ini.

Ternyata kekecewaan pegawai-pegawai KCS ini adalah nyata dan benar. Jika pihak-pihak tertentu tidak melakukan sesuatu dengan cepat, UMNO dan BN jangan harap untuk mendapatkan semula Kedah.
Contoh yang nyata ialah Kelantan. Selepas Pas memerintah negeri itu selepas Pilihan Raya Umum 1990, Perkhidmatan Awam Kelantan (Kelantan Civil Service) yang berkhidmat dengan setia selama 18 tahun di bawah BN diketepikan dengan tertubuhnya Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP), sama seperti JPP di Kedah.

Hubungan pegawai-pegawai Kelantan dengan Pusat terputus sama sekali. JPP telah 'memutuskan' hubungan itu. Pegawai-pegawai awam Kelantan dianggap musuh kepada Pusat dan tidak boleh dipercayai lagi. Hasilnya, Pas kekal memerintah negeri itu 19 tahun sehingga kini.

Sebenarnya apabila kerajaan Pusat merasmikan bangunan baru Jabatan Pembangunan Persekutuan di Alor Setar tidak lama dulu, kerajaan Pas ketawa besar kerana mereka berasakan pegawai-pegawai KCS akan terputus hubungan sama sekali dengan Pusat. Itulah yang mereka mahu bagi membolehkan mereka memanjangkan tempoh pemerintahan negeri itu.

Pas Kedah sebenarnya belajar dari Kelantan. Apabila JPP ditubuhkan, secara automatik cengkaman mereka ke atas kakitangan awamnya menjadi lebih kuat. Perkhidmatan awam berdiri teguh di belakang kerajaan Pas dan menyerahkan taat setia kepada mereka. Pas sedar bahawa kuasa kakitangan awamlah yang akan menentukan kesinambungan pemerintahan mereka.

Oleh itu, UMNO dan BN haruslah berfikir caranya untuk menguasai semula hati pegawai-pegawai dan kakitangan KCS ini secara langsung dan tidak langsung.

Jika UMNO dan BN serta kerajaan Pusat dapat mencari satu pendekatan politik yang berhemah, tidak mustahil peranan KCS dapat dikembalikan sebagai 'kumpulan majoriti senyap' dan 'barisan hadapan' yang berpengaruh di kalangan rakyat setempat bagi mengembalikan semula pemerintahan negeri itu. Masanya masih ada, apa yang perlu dilakukan ialah fikirkan modus operandi dan kaedah pelaksanaannya - cepat!

Sumber : Utusan Malaysia

APA SUDAH JADI????

Laman web 1Malaysia penuh interaktif



PUTRAJAYA 10 Nov. - Datuk Seri Najib Tun Razak mengakui laman web 1Malaysia penuh interaktif apabila pengunjungnya boleh berkongsi pemikiran dengan beliau dan mengemukakan cadangan terus dalam talian.

Berkongsi pengalamannya bertemu rakyat secara maya dengan anggota Panel Penasihat Antarabangsa (IAP) Koridor Raya Multimedia (MSC) di sini, Perdana Menteri berkata, 1Malaysia.com.my bukanlah laman web pasif.

''Melalui laman web ini, saya berjaya mendapatkan maklum balas daripada 400 responden yang memberikan cadangan mengenai Bajet 2010.

''Saya turut mendapat maklum balas mengenai pasca bajet daripada 500 responden dan perkara itu saya akan timbangkan untuk bajet akan datang.

''Berhubung secara mesra dengan rakyat melalui ICT adalah gaya baru yang saya rintis," katanya.

Beliau berucap pada pembukaan Mesyuarat Panel Penasihat Antarabangsa (IAP) Koridor Raya Multimedia (MSC) Malaysia di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini.

Perdana Menteri berkata, satu lagi pencapaian MSC adalah penggunaan kad pengenalan pintar, MyKad yang diperluaskan untuk kerajaan mengenal pasti trend demografi nasional seperti tahap pendapatan rakyat secara makro.

Semalam, beliau melancarkan program MyKasih yang membabitkan penggunaan MyKad untuk membeli barangan keperluan mereka.

''Ia merupakan instrumen yang canggih bagi membolehkan kerajaan dan sektor swasta menyediakan perkhidmatan yang dapat memenuhi kehendak kumpulan sasar," kata beliau.

Ketika mengetengahkan konsep 1Malaysia kepada anggota IAP, Perdana Menteri menjelaskan pendekatan itu bagi mewujudkan kerjasama yang lebih imaginatif dan inklusif bagi Malaysia dan dunia.

''Visi kami menjadikan warisan 1Malaysia sebagai satu aset yang dapat memberikan sumbangan kepada dunia.

''Saya berhasrat merumuskan warisan kepelbagaian satu Malaysia menjadi satu impian, satu rakyat dan satu negara.

''Saya percaya ia akan menjadi pemangkin kepada kehebatan Malaysia dan mengukuhkan kerjasama serantau dan global," katanya.

Sumber : Utusan Malaysia

1 MALAYSIA, AMAN KAH KITA SEKARANG NI??

Aplikasi iPhone Boleh Tonton Siaran Langsung Dilancar


(gambar sekadar hiasan )

LONDON 11 Nov. – Syarikat penyiaran Britain, Sky melancarkan aplikasi iPhone yang membolehkan pengguna menonton televisyen secara langsung, semalam.

Aplikasi yang dikenakan bayaran sekitar AS$10 (RM34) sebulan itu membolehkan pengguna menonton siaran termasuk Sky News dan Sky Sports yang menyiarkan perlawanan bola sepak Liga Perdana Inggeris menggunakan penyambungan Internet wi-fi.

“Aplikasi baru ini menggabungkan permintaan besar terhadap siaran langsung rancangan televisyen dengan sentuhan kualiti telefon iPhone dan iPod,” kata pengurus besarnya, David Gibbs. – AFP

Sumber : Utusan Malaysia

SEMAKIN BERKEMBANG TEKNOLOGI SEKARANG KAN.