IA satu khazanah untuk kaum Inca yang dulunya juga tunjang ekonomi Peru. Kini ketika dunia tercari-cari sumber yang mampu berterusan, tahi burung sekali lagi dinilai sebagai emas.
Sekelompok pulau di pantai Pasifik di persisiran negara berkenaan kini dilimpahi bertan-tan khazanahnya yang paling bersejarah, baja tahi burung.
Di lokasi terbabit, berjuta-juta ekor burung yang mendapat makanan dari lautan yang kaya dengan ikan bilis, membuang najisnya yang kotor, tetapi mengandungi fosfat dan nitrat, sepanjang hari.
“Ia sejenis baja semula jadi dan organik dan Peru satu-satunya tempat di dunia yang memanfaatkannya secara komersial dalam hal ini,” kata Pengarah Agrorural (Agensi Pembangunan Luar Bandar) Peru, Rodolfo Beltran.
Menurutnya, tahi burung itu adalah komoditi bersejarah di Peru yang kini muncul semula dan mempunyai masa depan yang sangat baik.
Peru adalah pengeluar baja tahi burung utama di dunia, jauh meninggalkan Chile dan Namibia.
Ketika lambakan tahi burung negara berkenaan pada era 1840-an hingga 1880-an,
hasil daripada tahi burung itu menjadi sebahagian bajet keseluruhan negara terbabit.
Ia dianggap sebagai satu lagi ‘emas’ untuk Peru.
Beribu-ribu buruh Cina mati ketika proses mendapatkan baja tahi itu. Malah ketika Perang Pasifik (1879-1883) antara Peru dan Chile, ia secara tidak langsung disebabkan pertelingkahan untuk mendapatkan komoditi terbabit.
Kini Peru mengambil pendekatan yang lebih berterusan terhadap sumber semula jadi yang paling aneh ini.
“Ia satu khazanah untuk Peru, kami satu-satunya negara di dunia yang memilikinya,” kata Beltran.
Salah satu daripada 21 pulau berkenaan dikenali sebagai Guanape Sur, kira-kira enam kilometer dari pantai Lambayeque di utara Peru, terdapat lebih daripada setengah juta burung.
Burung terbabit seolah-olah menguasai langit dan bersaing antara satu sama lain di pulau kecil itu untuk mencari tempat bersarang. Hasil sampingannya ialah beribu-ribu tan baja tahi burung.
Menerusi hujanan tahi burung, kira-kira 280 buruh mula berusaha gigih untuk mengumpul dan membungkus baja tahi itu ke dalam guni seberat 50 kilogram. Guni itu kemudian dihantar ke Salaverry, pelabuhan di Trujillo, di utara Peru.
Mereka menjangka mengumpul kira-kira 23,000 tan baja tahi burung berkenaan tahun ini.
Apabila baja tahi burung itu sudah diproses, ia kemudian dihantar ke luar negara, ke pasaran yang berminat untuk mendapatkan baja organik yang dijual dengan harga mahal.
Bagaimanapun, tidak seperti pada masa silam ketika lebih daripada 200,000 tan baja tahi burung itu dieksport setiap tahun, kebanyakan baja tahi burung itu digunakan dalam
negara yang diedarkan kepada kira-kira sejuta peladang kecil yang menanam tanaman organik.
Di sini, kombinasi air sejuk dan arus udara hangat bermaksud taburan hujan sangat sedikit. Justeru, nitrat tidak menyejat ke dalam batu dan cahaya matahari mengeringkan tahi burung itu menjadikannya hasil terbaik di dunia.
Beberapa generasi peladang sudah melakukan kerja bermusim yang agak teruk ini. Mereka boleh mendapatkan lebih dua kali ganda gaji minimum Peru sebanyak 550 sole (RM627). Mereka mencari tahi burung itu sebelum subuh dan ia bukan kerja mudah, namun ramai yang mampu memperoleh 120 guni baja tahi berkenaan sehari.
Di Peru, mereka menganggap pekerja berkenaan cukup gigih dan pekerja ini pula yang tidak menggunakan sebarang alat pelindung, hanya mengaut baja itu menggunakan penyodok.
Susuk tubuh mereka yang rendah dan biasanya kurus tidak langsung menggambarkan stamina mereka.
Selepas lapan bulan di pulau berkenaan, kebanyakan pekerja mengemas barangan mereka untuk pulang ke rumah.
“Lama-kelamaan, ia membuatkan kita sunyi kerana rindukan keluarga, tetapi memang menarik dapat bekerja dengan burung itu,” kata Juan Mendez.
Bagaimanapun, pemburu haram boleh membunuh sehingga 200 burung dalam masa satu malam.
“Pemburu haram ini memeranjatkan burung itu dengan lampu suluh yang terang-benderang dan menggunakan kayu untuk membunuh burung itu.
“Kemudian, mereka menjual dagingnya di pasar pantai dengan harga murah,” katanya.
Kepadatan burung laut itu meningkat sekali ganda dalam tempoh lima tahun ini dengan mencapai angka lima juta ekor burung, tetapi ia tidak dapat menandingi 60 juta burung pada kemuncak lambakan baja tahi burung itu dulu.
Meskipun sudah tiada konflik seperti dulu, burung berkenaan masih diancam dengan masalah tangkapan laut yang keterlaluan dan kesan perubahan cuaca yang tidak menentu.
Burung terbabit bergantung kepada lautan pantai Peru yang mengandungi kira-kira 80 peratus daripada jumlah ikan bilis di dunia yang membolehkan burung berkenaan membiak dengan banyak.
Arus Humboldt yang menolak aliran air sejuk dari Antartika sehingga ke garis Khatulistiwa memang penting untuk keseimbangan semula jadi ini. Apabila ia berada jauh dari perairan pantai ketika fenomena bermusim El Nino, kesan terhadap ekosistem marin ini memang mengecewakan.
Ketika itu, beribu-ribu anak burung atau telur musnah, kata Mendez yang menghabiskan masa sejak 13 tahun lalu menjaga pulau baja tahi burung itu yang membabitkan pantai sepanjang 3,000 kilometer - AFP
Sumber : Harian Metro Online
TAHI BURUNG NILAI EMAS ?