Amir Hamzah (kiri) dan peguam bela Mohd. Adli Ithnin (kanan) menunjukkan kecederaan pada
belakang Sham yang menjadi mangsa penderaan fizikal dan mental isteri dan dua orang anak di Ayer Keroh, Melaka, semalam.
MELAKA 2 Feb. - Jika sebelum ini, kita sering mendengar kisah isteri didera suami tetapi keadaan sebaliknya berlaku terhadap seorang lelaki yang dipukul isteri sehingga lebam dan luka di belakang badan.
Lebih menyedihkan, dua anaknya berusia 10 dan 16 tahun turut melakukan perkara itu apabila sanggup memukul ayah mereka dengan menggunakan penyangkut baju.
Itulah nasib malang seorang pekerja syarikat insurans di sini yang hanya mahu dikenali sebagai Sham, 47, apabila dia dipukul isterinya sejak tujuh tahun yang lalu.
Sudahlah dipukul, Sham mendakwa isterinya yang berusia 43 tahun berjawatan eksekutif di sebuah syarikat terkemuka di Kuala Lumpur sanggup bermain kayu tiga di belakangnya sejak tahun 1998 dan sering pulang lewat ke rumah.
Perbuatan isterinya semakin menjadi-jadi apabila Sham berpindah bekerja di negeri ini sejak 2005 dan hanya pulang ke rumahnya di Selayang pada cuti hujung minggu.
Sham mendedahkan perkara tersebut ketika ditemui di Pusat Perkhidmatan Barisan Nasional (Pembela BN) bagi meminta bantuan Ketua Penyelia Pembela, Amir Hamzah menyelesaikan masalah dihadapinya itu di sini hari ini.
"Saya sering dipukul jika enggan menuruti apa yang dikehendaki oleh isteri saya. Dalam kejadian Rabu lalu, alat sulit saya telah ditendang oleh isteri setelah saya mempertikaikan dia mempunyai hubungan sulit dengan rakan sekerjanya.
"Dua anak saya juga turut memukul saya dengan penyangkut baju," ujarnya.
Akibat tidak tahan dengan apa yang terjadi, dia telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak pada malam selepas kejadian tersebut.
Kata Sham, sepanjang perkahwinan dia telah menunaikan segala tanggungjawabnya sebagai seorang suami dan ayah kepada tiga anak dengan memberi nafkah yang cukup.
"Saya mungkin membuat kesilapan kerana sering mengalah dan tidak bertegas dengan isteri sehingga dia tidak berasa malu memukul saya.
"Lebih teruk saya cukup terkilan dengan tindakan dua anak yang sanggup memukul saya selepas 'diajar' oleh ibu mereka,'' katanya yang mengalami luka di bahagian belakang badan.
Dakwanya lagi, isterinya gagal menjalankan tanggungjawab sebagai isteri sejak empat tahun lalu apabila dia berpindah bekerja di Melaka.
"Kami sudah tidak hidup bersama sebagai suami isteri selama empat tahun tetapi saya seringkali menjadi mangsa pukulnya jika enggan menuruti apa kehendaknya.
"Saya masih mampu bersabar dengan sikapnya itu kerana ingin menjaga nama keluarga," katanya.
Sumber : Utusan Malaysia Online
KALAU KORANG BERADA DI TEMPAT SI SUAMI TU,
APA KORANG AKAN LAKUKAN ????? ADAKAH SI SUAMI TU DAYUS ???KENAPA DIA SANGGUP TAHAN SEHINGGA 7 TAHUN LAMANYA ???
SI ISTERI SEKARANG NI GANAS SANGAT KAH ???