Monday, March 08, 2010

Jom Heboh Akhirnya Ke Kelantan

KOTA BHARU 7 Mac - Penduduk negeri ini bakal merasai kemeriahan Jom Heboh kelolaan TV3 selepas kerajaan negeri memberi kebenaran kepada stesen penyiaran itu mengadakan karnival tersebut buat pertama kalinya di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, karnival yang akan berlangsung pada 26 dan 27 Mac ini telah dipersetujui dengan bersyarat termasuk tidak melibatkan penyanyi wanita.

Katanya, ia akan diadakan mengikut garis panduan Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan Kelantan 1998.

Jelasnya, konsep karnival berkenaan akan diubah termasuk penambahan beberapa slot aktiviti keagamaan termasuk al-Kuliah yang membabitkan ceramah agama oleh Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

''Jom Heboh kini bukan sekadar karnival hiburan tetapi ia turut berkonsepkan kekeluargaan dan kesihatan selain penganjuran bersempena Hari Keputeraan Sultan Kelantan pada 30 dan 31 Mac ini," katanya ketika ditemui di sini semalam.

Sumber : Utusan Malaysia Online
KELANTAN DAH NAK PI, KEDAH BILA PLAK JOM HEBOH NAK MAI ???

Harimau Muda kecundang lagi

SUNGGUH pun tewas buat kali kedua berturut-turut, persembahan lebih membanggakan ditunjukkan Harimau Muda yang kecundang 2-0 kepada Ruzomberok B di pangkalan mereka, Vion dalam Liga Divisyen Satu, Slovakia kelmarin.

Turun tanpa kapten dan tonggak tengah K Gurusamy yang diketepikan berikutan kecederaan pangkal paha yang dialaminya dalam kekalahan 4-1 minggu lalu menentang FK Slovan Duslo Sala, gawang Malaysia dibolosi pada minit ke-41 hasil sepakan sepakan sudut lawan dan minit ke-66 dari hantaran lintang.

Jurulatih pasukan, Mohd Azraai Khor Abdullah melihat perlawanan itu dari segi positif dengan memuji aksi mereka yang menunjukkan peningkatan berbanding minggu lalu.

“Pemain dapat mengawal keadaan dan berusaha bersungguh-sungguh, cuma kami kekurangan dari segi pengalaman. Kelebihan dari segi fizikal dimanfaatkan lawan menjaringkan dua gol,” kata Azraai menerusi kiriman e-mel. 

 Sumber : Berita Harian Online
KALAH LAGI... BILA NAK MENANG ???

120 Ahli PKR Papar Sertai Umno Kerana Gagasan 1Malaysia

KOTA KINABALU: Seramai 120 ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) di mukim Limbahau dalam daerah Papar bertindak keluar parti untuk menyertai Umno kerana tertarik dengan gagasan 1Malaysia.

Jurucakap mereka, Camillus Ginibun, yang juga ahli jawatankuasa PKR Papar, berkata tindakan mereka keluar parti itu bukan kerana didesak atau dijanjikan sesuatu tetapi dengan kesedaran bahawa konsep 1Malaysia memberi perhatian terhadap kebajikan dan pembangunan semua kaum.

"Konsep 1Malaysia membuatkan kami merasa bangga kerana tidak ada kaum, termasuk Kadazan, Dusun dan Murut, yang akan dipinggirkan daripada arus pembangunan. Kami sebelum ini terperdaya dengan janji manis pemimpin PKR di peringkat negeri dan pusat," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Ginibun berkata, keputusan mereka untuk menyertai Umno adalah kerana Umno adalah tunjang Barisan Nasional manakala wakil rakyat mereka, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan Pantai Manis, Datuk Abdul Rahim Ismail, walaupun adalah ahli Umno, beliau sentiasa mengambil berat terhadap nasib semua kaum tanpa mengira agama dan bangsa.

Bekas Pengarah Logistik PKR kawasan Pantai Manis, Robert Apin, pula berkata penyertaan beramai-ramai ahli PKR dalam Umno bukan kerana mahu mendapatkan kedudukan tetapi untuk mencari "rumah yang teguh untuk berlindung". - Bernama

Sumber : Berita Harian Online

APA SUDAH JADI DENGAN PARTI PKR ???? SANA LOMPAT .. SINI LOMPAT....

Maut Dilanggar Bawah Jejantas

 Sekadar gambar hiasan

SHAH ALAM: Gara-gara tidak menggunakan jejantas, seorang lelaki maut selepas percubaannya untuk melintas jalan gagal sebelum dia dirempuh sebuah kenderaan di Kilometer 14.3 Lebuhraya Persekutuan menghala ke ibu kota di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 10.45 pagi, mangsa, M Elan Kovan, 51, mati di tempat kejadian.

Difahamkan, ketika kejadian, Proton Satria dipandu seorang wanita berada di lorong paling kanan sebelum berlaku rempuhan kuat.

Impak daripada rempuhan itu, mangsa ‘melekat’ pada kereta terbabit sebelum terjatuh.

Ketua Trafik dan Ketenteraman Awam Selangor, Superintendan Che Hussin Omar, berkata siasatan awal mendapati mangsa cuba melintas dari sebuah stesen minyak ke sebuah kilang membuat minuman keras.

“Berikutan lebuh raya ini yang agak luas, mangsa gagal melintas sebelum dirempuh sehingga mati oleh sebuah kenderaan.

“Mangsa yang cedera parah meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk bedah siasat,” katanya.

Lebih mengejutkan kejadian itu berlaku di bawah jejantas sebelum mangsa diseret beberapa meter.

Mangsa yang enam bulan bekerja sebagai pemandu bas berasal dari Seksyen 18 di sini. Sementara itu, pemandu kenderaan terbabit yang berusia 23 tahun dan enggan dikenali mendakwa dia sudah membunyikan hon dua kali bagaimanapun mangsa buat tak tahu.

“Bila sudah dekat, dia melompat dan mengenai cermin kereta sebelum bergolek di atas bumbung dan jatuh,” katanya.

Dia dan rakannya yang masih terkejut tidak cedera.

Polis meminta saksi kejadian menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Muhd Abdul Hafiz Sariee di talian 014-8605051 atau hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam bagi membantu siasatan. 

Sumber : Harian Metro Online

BEGINILAH JADINYA KALAU DAH ADA KEMUDAHAN JEJANTAS TETAPI TAK MENGGUNAKANNYA..... SALAH SIAPA ??? BAGI AKU, IANYA ATAS DIRI KITA... NAK MUDAH JERK.. PADAHAL... IANYA BOLEH MENDATANGKAN BAHAYA DAN MENYEBABKAN KEHILANGAN NYAWA.... FIKIR-FIKIR DAN RENUNGKAN.....