Sunday, January 10, 2010

Anak Tepis Tangan Ibu

NIBONG TEBAL: “Emak menjerit suruh kakak keluar dari rumah nenek, tapi rumah nenek gelap sebab lampu ditutup dan saya tahu kakak berada di dalam rumah menyembunyikan diri.
“Selepas itu, ibu menyimbah petrol ke badan dan menyalakan api dari lilin ke badannya. Saya segera menepis tangan ibu menyebabkan lilin jatuh ke tanah serta terpadam,” kata Mohd Shahrul Aidil Marzuki, 11, anak keempat Rosiana Rosli, 36, yang melecur teruk selepas cuba membakar diri sendiri di sini, semalam.

Mohd Shahrul yang kebetulan tidur di rumah bapa saudaranya yang terletak bersebelahan rumah neneknya berkata, ibunya tidak puas hati dengan tindakannya, lalu meluru masuk ke rumah bapa saudaranya dan mengambil sebotol minyak petrol bersama api lilin.

Bagaimanapun, dia sempat menjerit ke arah bapa saudaranya mengunci pintu untuk menghalang ibunya menyalakan sekali lagi lilin di dapur, namun terlewat apabila ibunya berjaya menyalakan lilin sambil mengugut mahu membakar dia dan ayah jika mereka cuba menghampirinya.

“Kalau kakak tidak degil dan menyembunyikan diri ke rumah nenek, ibu pasti tak akan jadi macam ni,” katanya yang masih bersedih dengan kejadian yang menimpa ibunya.

Sementara itu, seorang penduduk yang kebetulan melihat kejadian itu mendakwa melihat pertengkaran antara mangsa dengan anaknya sebelum mangsa bertindak membakar dirinya kira-kira jam 12 tengah malam.

“Saya bersama rakan-rakan menggunakan baju kami untuk memadamkan api dan terkejut melihat separuh badan mangsa terbakar teruk selepas api berjaya dipadamkan penduduk kampung,” katanya yang enggan dikenali.

Anak sulung mangsa, Nurul Shahida, 17, berkata beberapa hari sebelum kejadian, ibunya ada menampar adik yang sering menjadi perbualan penduduk kampung kerana tidak ke sekolah menyebabkan adiknya bertindak melarikan diri ke rumah nenek selang lima rumah dari rumahnya.

“Sekarang saya terpaksa menjaga adik sementara menunggu ibu keluar dari hospital sedangkan ayah pula tidak tahu bagaimana nasibnya kerana jika dua hari tidak pergi kerja pasti akan diberhentikan,” katanya.

Ibu mangsa, Hasnah Omar yang menghidap penyakit darah tinggi terkejut apabila melihat anaknya berguling-guling di atas tanah ketika api marak membakar badannya.

Sumber : Harian Metro Online

KALAU MARAH KAT ANAK PUN, JANGAN SAMPAI BAKAR DIRI..

Red Giants Buka Langkah Kanan, Kedah Garang Di Tempat Lawan


PEMAIN-pemain Selangor meraikan kemenangan menjuarai Piala Sultan Ahmad Shah pada perlawanan 
Sumbangsih di Stadium Paroi, semalam. Selangor menang 2-1. – MINGGUAN/Abd. Razak Aid



SEREMBAN – Penyandang juara Liga Super, Selangor membuka tirai Liga Malaysia 2010 dengan bergaya apabila mengekalkan gelaran Piala Sultan Ahmad Shah dengan menundukkan juara Piala Malaysia, Negeri Sembilan 2-1 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi semalam.

Kelebihan bermain di gelanggang sendiri gagal dimanfaatkan oleh skuad Rusa, biarpun terlebih dahulu mendahului saingan menerusi Idris Karim pada minit ke-27 selepas menyudahkan hantaran Rezal Zambry.

Pemain gantian, R. Surenderan muncul wira Selangor apabila menjaringkan gol kemenangan ketika permainan berbaki tujuh minit untuk ditamatkan.

Terdahulu, Mohd. Safee Sali menjaringkan gol penyamaan Selangor pada minit ke-76 selepas menolak hantaran D. Surenderan.

Ini merupakan kejuaraan Piala Sumbangsih kelapan buat skuad Merah Kuning sejak ia diperkenalkan kali pertama pada 1985, sekali gus menjadi pembuka tirai Liga Super 2010 paling sempurna.

Dalam perlawanan semalam, tuan rumah bermula garang dan beroleh peluang terbaik menerusi penyerang kebangsaan, Mohd. Aidil Zafuan Radzak, namun sepakan percuma yang diambil terkena palang pintu gol.


Kehadiran 30,000 penyokong menyemarakkan semangat pemain sekali gus menyaksikan rentak permainan kedua-dua pasukan bertambah rancak dan kasar sehingga memaksa pengadil melayangkan enam kad kuning.

Pada separuh masa pertama, tiga kad kuning dilayangkan kepada S. Kunalan, Rezal Zambry Yahya dan Shukor Adan bagi pasukan Negeri Sembilan, manakala bagi Selangor dua kad kuning dilayangkan kepada Shafiq Rahim dan Hardy Jaafar.

Sementara itu, penjaring gol pertama pasukan Selangor, Safee Sali turut dilayangkan kad kuning ekoran menghalang penjaga gol, Farizal Harun untuk membuat sepakan gol.

Asakan demi asakan dibuat, namun banyak peluang gagal disempurnakan barisan penyerang Negeri Sembilan hingga tiupan wisel terakhir.

Sementara itu jurulatih Negeri Sembilan, Wan Jamak Wan Hassan yang ditemui selepas perlawanan berkata, peluang yang terhidang pada babak separuh masa pertama tidak dimanfaatkan sebaik mungkin oleh para pemain yang kurang berpengalaman merupakan punca kekalahan kami.

“Kita mempunyai peluang yang banyak tetapi gagal dimanfaatkan oleh pemain-pemain dan ini membuktikan pengalaman ternyata membezakan kita dengan Selangor.

“Pada masa kedua kelekaan bahagian pertahanan telah membuatkan Selangor berjaya menjaringkan gol,” katanya

Sementara itu Jurulatih skuad Selangor, K. Devan memberitahu, pasukannya dilihat bermain dengan lebih baik berbanding pada separuh masa pertama.

“Kita bermula dengan kurang baik kerana kegoyahan di bahagian tengah, namun pada babak kedua semua bertambah baik terutamanya pada baki 20 minit perlawanan sehingga berjaya menjaringkan dua gol,” jelasnya.

Pada perlawanan itu, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir turut berangkat bagi menyaksikan dan menyampaikan piala dan pingat kepada para pemain sambil diiringi Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Sementara itu, naib juara Liga Super musim lalu, Perlis membuka tirai 2010 dengan langkah sumbang apabila kalah 0-1 kepada Johor FC di depan penyokong sendiri di Stadium Utama, Kangar.

Mohd. Riduwan Ma’on menjadi pemusnah pasukan tuan rumah apabila menjaringkan gol tunggal kemenangan pada minit ke-61.

Di Stadium Darulmakmur, Pahang yang mengharungi aksi hambar musim lalu memulakan kempen dengan baik apabila menumpaskan Perak 2-1.

Bagaimanapun tuan rumah terlebih dulu dikejutkan oleh jaringan pembukaan pasukan pelawat menerusi Mohd. Nazril Mohd. Kamal yang menyempurnakan penalti pada minit ke-22 selepas Mohd. Fadzirul Zakaria dijatuhkan oleh Mohd. Khalis Ibrahim.

Mohd. Sharizat Mohd. Salleh mengetuai kebangkitan Pahang apabila menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-31 menerusi sepakan percuma, sebelum Azammuddin Mohd. Akil mengesahkan kemenangan tuan rumah hasil rembatan kencang, minit ke-49.

Dalam satu lagi perlawanan, juara liga tiga kali, Kedah melancarkan amaran awal pada musim baru Liga Super selepas menumpaskan Johor 3-0 di Stadium Larkin.

Mohd. Azlan Ismail muncul wira Kedah apabila menjaringkan hatrik pada minit ke-71, 80 dan 86 untuk meletakkan pasukannya sebagai pendahulu dalam perlawanan pembukaan musim baru.

Di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, KL Plus turut memulakan kempen musim baru cemerlang selepas menundukkan Pulau Pinang 3-1.

Begitupun, pasukan pelawat mengejutkan tuan rumah dengan jaringan awal Mohd. Failee Mohammad pada minit ketiga, sebelum KL Plus bangkit dengan tiga gol menerusi Mohd. Fadli Shaari (47), Mohd. Lot Abu Hassan (56) dan Mohd. Nazrin Nawi.

Dalam dua lagi perlawanan Liga Super, pertemuan Kelantan dan Terengganu sekadar berkesudahan seri tanpa jaringan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, manakala Kuala Lumpur terikat 1-1 dengan T-Team di Stadium KLFA, Cheras.

Sumber : Utusan Malaysia Online

LANGKAH KANAN UNTUK PASUKAN PILIHAN...
PULUN KEDAH PULUN... HEHEHEHE