Sunday, March 21, 2010

Selangor, Kedah, NS dan Terengganu mara

 AIDIL Zafuan (kiri) dicabar Pemain KL Plus, Nizarddin Yusuf dalam saingan di Paroi, malam tadi. NS menang 3-1.


Terengganu iringi selepas harungi masa tambahan tundukkan T-Team

JUARA bertahan Selangor, Kedah dan Negeri Sembilan, masing-masing mengesahkan tempat ke separuh akhir Piala FA selepas perlawanan suku akhir kedua, malam tadi.

Begitupun, tatkala tiga pasukan elit itu mara muda, pertemuan Terengganu dan T-Team terpaksa mengharungi masa tambahan selepas kedudukan agregat terikat 4-4 dalam perlawanan sebenar.


Di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, Abdul Manaf Mamat merapatkan jurang agregat kepada 3-2 dengan gol pertama Terengganu selepas bijak memperdayakan dua pertahanan T-Team dan meledakkan rembatan kaki kiri yang menewaskan penjaga gol, Shahril Shaari pada minit ke-20. Selang 17 minit, Manaf mengikat kedudukan kepada 3-3 selepas meloloskan diri daripada perangkap ofsaid untuk menyambut bola hantaran jauh Zairo Anuar Zailani, tetapi T-Team yang menang 3-1 dalam perlawanan pertama, bangkit sebelum tamat babak pertama menerusi Haris Safwan Kamal.

Terengganu yang enggan mengalah kepada pasukan ‘adik’ memperoleh gol ketiga hasil rembatan Mohd Ashaari Shamsuddin (m72) sebelum Firdaus Fauzi memastikan gol kemenangan lima minit selepas tambahan masa.

Di Stadium Selayang, Kedah memastikan tempat ke separuh akhir dengan kemenangan 5-0 ke atas Tentera dan agregat agregat 6-1, dengan pesta gol pelawat bermula dengan sepakan percuma minit ke-10 Baddrol Bakhtiar yang menewaskan penjaga gol, Khairul Anuar Mohd, dan satu lagi pada tambahan masa babak pertama.

Di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Negeri Sembilan dipaksa bekerja keras sebelum menang 3-1 ke atas KL Plus untuk mara dengan agregat 3-2. Idris Karim membuka jaringan pada minit ke-66 untuk Negeri tetapi pantas disamakan Mohd Fadzli Shaari seminit kemudian.

Di Stadium Shah Alam, juara bertahan Selangor mudah mengatasi Pos Malaysia 3-0 untuk mara dengan agregat 8-1, menerusi jaringan R Surendran (m2, 41) dan Rudie Ramli (m38).

Sumber : Berita Harian Online

TAHNIAH KEPADA PASUKAN YANG LAYAK KE SEPARUH AKHIR PIALA FA

Fazli Sham Tawan Alor Setar



ALOR SETAR - Pelumba Shell Advance Yamaha Maju Motor, Ahmad Fazli Sham melakar sejarah sebagai pemenang pertama kategori CP130 Kejuaraan Cub Prix Malaysia di Litar Stadium Darul Aman Alor Setar, Kedah semalam.

Pengalaman nyata memihak pelumba dari Taiping itu, apabila mengungguli perlumbaan dalam masa 12 minit 03.259 saat.

Dia muncul juara selepas menafikan saingan pelumba Petronas Sprinta Yamaha Raceline, Hafizh Syahrin Abdullah, yang ketinggalan hanya 0.228s,

Pelumba Petronas Sprinta Yamaha AHM, Md. Zambri Baba, ketiga.

Fazli, yang bermula dari petak pertama, mengekalkan kedudukan pendahulu, walaupun dicabar sengit oleh Hafizh di sepanjang 15 pusingan perlumbaan.

"Saya cuba mengelak asakan pelumba lain, tanpa menyedari siapa yang cuba memintas saya, namun sukar untuk saya menjarakkan kedudukan.

"Pada empat pusingan pertama, saya menggunakan pengalaman dan kekuatan kekuatan jentera untuk kekal di depan.

''Saya gembira kerana memenangi saingan pertama CP130 ini," kata Fazli.

Sementara itu, juara Novis musim lepas, Hafizh mengakui sukar memintas Fazli.

"Keadaan litar yang sempit menyebabkan saya sukar memintasnya. Namun, kedudukan kedua sudah cukup baik buat saya,'' katanya.

Fazli kini mendahului dengan 25 mata, diikuti Hafizh 20 mata dan Zamri 16 mata.

Sumber : Utusan Malaysia Online
TAHNIAH KEPADA PEMENANG... YANG LAIN CUBA LAGI..