Thursday, December 31, 2009

Pegawai Polis Didakwa Liwat Pelajar Tingkatan Tiga

KLANG: Sukar dipercayai apabila seorang pegawai polis berpangkat asisten superintendan (ASP) berusia 50 tahun ditahan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan meliwat seorang remaja lelaki berusia 15 tahun, Ahad lalu.

Pegawai polis yang sudah berkahwin itu dipercayai melakukan perbuatan seks luar tabii ke atas pelajar tingkatan tiga sebuah sekolah di sini, kira-kira jam 11 malam pada 27 Disember lalu, sebelum kejadian terbongkar selepas mangsa membuat laporan polis pada keesokannya.

Difahamkan remaja terbabit bekerja sambilan di Kompleks Sukan Pandamaran, dekat sini, menjadi mangsa rakus pegawai polis itu yang tinggal di sebuah asrama berdekatan dengan kompleks berkenaan.

Sumber berkata, pegawai polis terbabit dipinjamkan dari Bidor, Perak ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang bagi menjalankan operasi pencegahan jenayah di sekitar daerah berkenaan sejak awal Disember lalu bersama 50 anggota lain.

Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar ketika dihubungi mengesahkan penahanan pegawai itu dan polis sedang menjalankan siasatan lanjut terhadap dakwaan remaja lelaki terbabit.

Sumber : Harian Metro Online

POLIS PUN TERINGIN PUNGKOK BUDAK NOooOOooo.....
POLIS TANGKAP POLIS.....   APA NAK JADI LA SEKARANG NI.....

Sumbat Mayat Dalam Almari

HULU KLANG: Kebimbangan seorang rakan membawa kepada penemuan mayat seorang wanita dipercayai mati dibunuh suaminya dalam kejadian di Pinggiran Ukay di sini, malam tadi.

Mangsa dikenali sebagai Fazlina Amad, 39, dipercayai dalam proses bercerai dengan suaminya ditemui dalam keadaan menyayat hati apabila mayatnya dibungkus dengan cadar dan disumbat dalam almari baju di tingkat atas bilik utama rumah teres dua tingkat itu.

Timbalan Ketua Siasatan Jenayah Selangor, Asisten Komisioner Omar Mamah berkata, pihaknya menerima laporan kehilangan mangsa jam 1 tengah hari dari rakan baik mangsa yang sering berhubungan dengan mangsa.

Bagaimanapun, apabila panggilannya tidak dijawab, rakan mangsa yang bimbang membuat laporan polis.

Sejurus menerima maklumat itu, katanya pihak polis memeriksa rumah mangsa dan menemui mayatnya dalam sebuah almari berbungkus kain cadar jam 9 malam.

“Mangsa dipercayai mati dalam tempoh kurang 24 jam dan meninggalkan anak perempuan berusia 5 dan 7 tahun,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Menurutnya, mangsa dipercayai mati antara jam 9 pagi hingga 12 tengah hari.

Ketika kejadian, pembantu rumah bersama anak mangsa di rumah keluarga lelaki dan pasangan suami isteri itu dalam rumah berkenaan.

Difahamkan ketika ditemui mulutnya ditampal pita pelekat dan dalam keadaan separuh bogel.

Sementara itu, menurut sumber mangsa mengalami masalah rumah tangga kerana suaminya dipercayai menjalin hubungan dengan wanita lain dan mereka sering dilihat bergaduh.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Polis mencari suami mangsa yang menghilangkan diri untuk membantu siasatan.

Sumber : Harian Metro Online

SUAMI DURJANA... INGAT BUNUH NI DAPAT MENYELESAIKAN MASALAH ?
FIKIR DULU SEDALAM-DALAMNYA...

Skuad Malaysia Tutup Tirai 2009 Penuh Bergaya




MASIH segar dengan kejayaan memenangi pingat emas pada Sukan SEA XXV di Laos baru-baru ini, skuad bola sepak negara menutup tirai 2009 dengan noktah kejayaan.

Malam tadi, skuad kendalian K. Rajagobal itu mudah membenam Syria 4-1 pada aksi persahabatan yang dicemari mutu pengadilan teruk di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Malaysia jelas begitu bersemangat beraksi di hadapan 3,000 penonton apabila lebih banyak menguasai permainan berbanding Syria yang berkedudukan ranking ke-91 dunia.

Seawal minit kedua, Zaquan Adha Radzak mempersia-siakan peluang terbuka di depan pintu gol apabila sekadar menyepak sipi setelah menerima hantaran leret daripada Norshahrul Idlan Talaha.

Pada minit ke-15, gawang Syria berjaya dibolosi Zaquan tetapi gol itu dibatalkan selepas penjaga garisan mendapati bola hantaran Norshahrul telah pun keluar dari kawasan permainan.

Malaysia sekali lagi memperoleh peluang keemasan pada minit ke-20, kali ini hantaran lintang Safiq Rahim dari sebelah kanan yang ditanduk cantik Ahmad Fakri Saarani berjaya ditepis penjaga gol Syria.

Gol pertama Malaysia akhirnya menjelma pada minit ke-31 apabila Safiq dengan tenang berjaya menyempurnakan sepakan penalti setelah Norshahrul dijatuhkan pertahanan Syria.

Babak kedua bermula, Rajagobal hanya membuat dua pertukaran dengan membawa masuk Aidil Zafuan Radzak dan Mazlizam Mohamad bagi menggantikan Muslim Ahmad dan Nasriq Baharom.

Gol kedua Malaysia menyusul pada minit ke-63 apabila Safiq sekali lagi mudah menyempurnakan sepakan penalti yang diberi pengadil setelah Norshahrul diterjah pertahanan Syria.


FAKRI (depan) diasak pemain pertahanan Syria pada aksi persahabatan
di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam tadi.


Syria bagaimanapun berjaya memperoleh gol pertama pada minit ke-68 apabila dihadiahkan sepakan penalti kontroversi setelah pemain Malaysia dikatakan menolak seorang pemain Syria ketika sepakan sudut diambil.

Malaysia tidak tersentak dengan jaringan itu, sebaliknya terus garang dengan memperoleh gol ketiga pada minit ke-77 menerusi Zaquan yang merembat kencang hantaran Abdul Manaf Mamat.

Seminit kemudian, Malaysia terpaksa beraksi 10 pemain setelah Zaquan dilayangkan kad kuning kedua kerana dianggap pengadil sengaja melengah-lengahkan perlawanan ketika dia hendak ditukarkan dengan Ahmad Shakir Md. Ali.

Bagaimanapun, ia tidak menghalang usaha Malaysia untuk menambah jaringan apabila memperoleh gol keempat pada masa kecederaan menerusi pemain gantian, K. Gurusamy.

Mengulas mengenai kejayaan anak-anak buahnya semalam, Rajagobal berkata: "Nampaknya kita berada di landasan terbaik untuk menghadapi perlawanan terakhir kelayakan Piala Asia 2011 menentang UAE di Dubai pada 6 Januari depan.

"Kadang kala pasukan kuat pun boleh tewas tetapi saya gembira dengan kemenangan ini.

"Saya bangga dengan persembahan para pemain. Bukan senang kita nak bolosi pasukan kuat dengan empat gol. Harap kita dapat terus kekal fokus dan konsisten.

"Mungkin Syria pandang rendah pasukan kita. Tapi kita lihat mereka mula mengasak pada babak kedua.

Tentang pengadil, saya tak mahu komen, anda sendiri yang boleh menilainya," kata Rajagobal.

Sumber : Kosmo Online

TAHNIAH PASUKAN BOLA SEPAK MALAYSIA..
TERUSKAN KEGEMILANGAN UNTUK BERADA DI PUNCAK