KUALA LUMPUR: Tujuh anggota tentera yang disyaki terbabit dalam kejadian menyeksa, termasuk membelasah serta menyula dua anggota juniornya dengan menggunakan batang mop di sebuah kem tentera di ibu kota, ditahan reman selama tujuh hari.
Ketua Polis Daerah Cheras, Superintendan Abdul Rahim Hamzah Othman, mengesahkan penahanan itu dan kini mengambil keterangan pihak terbabit untuk menjalankan siasatan terperinci terhadap kejadian berkenaan.
Kejadian dikatakan berlaku sejak 23 Februari lalu apabila mangsa, Hasrul Nizam Husin, 29, dan rakannya yang dikenali sebagai Firdaus, 20-an, dimasukkan ke bilik tahanan kem terbabit sebagai hukuman kerana melakukan kesalahan tatatertib.
Kumpulan anggota senior yang turut ditahan di bilik sama itu mula melakukan perbuatan terbabit apabila kedua-dua mangsa dikatakan enggan memenuhi permintaan mereka supaya membeli makanan dan rokok.
Kekejaman kumpulan itu akhirnya terbongkar apabila mangsa terpaksa dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) kira-kira jam 6 petang, Rabu lalu untuk rawatan kecemasan selepas pengsan dipercayai dibelasah.
Sementara itu, Presiden Persatuan Bekas Tentera Malaysia, Datuk Muhammad Ghani, menyifatkan kejadian menimpa dua anggota tentera itu sebagai tindakan melampaui batas dan menjejaskan imej Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada pandangan masyarakat dan antarabangsa.
Menurutnya, budaya sebegitu tidak sepatutnya berlaku di kalangan anggota tentera kerana boleh memberi tanggapan buruk, sekali gus akan ‘membunuh’ minat generasi muda menyertai pasukan keselamatan itu pada masa depan.
Katanya, kejadian bagai nila setitik rosak susu sebelanga itu akan memberi gambaran tidak baik kepada hubungan sesama anggota tentera, sedangkan ia kes terpencil.
“Kita memerlukan tenaga anggota tentera untuk menjaga keselamatan negara, jika generasi baru tidak mahu lagi menyertai ATM, tentu ia merugikan.
“Sepatutnya anggota tentera tanpa mengira pangkat saling menyayangi sesama mereka, bukan bertindak kejam yang boleh menjejaskan hubungan,” katanya.
Menurutnya, pemantauan dan juga kawalan perlu diperketatkan terhadap tahanan yang dikenakan hukuman tatatertib bagi mengelak kejadian berulang.
“Ada kemungkinan boleh berlaku kejadian tidak diingini kerana disebabkan tekanan perasaan atau sebab lain atas hukuman tatatertib yang dikenakan kepada mereka.
“Sebab itu semua pihak harus menjadikan kejadian ini sebagai pengajaran supaya tidak berulang kembali dan saya pasti ATM melihat perkara ini dengan serius serta akan menanganinya dengan sebaik mungkin,” katanya ketika dihubungi Metro Ahad, semalam.
Muhammad berkata, tidak kira sama ada seseorang anggota itu bermasalah atau tidak, yang pasti mereka tetap berhak mendapat jaminan keselamatan walaupun ketika dalam tahanan.
Sumber : Harian Metro Online
BAGI AKU, DEPA SEMUA YANG TERLIBAT DENGAN KEJADIAN SULA BATANG MOP NI DIBUANG KERJA.... SETUJU ??