Saturday, October 02, 2010

Daerahku : Hampir separuh daripada kepimpinan PAS kawasan Pendang meletak jawatan..!!

Hampir separuh daripada kepimpinan Pas kawasan Pendang meletak jawatan kerana tidak berpuas hati dengan kepimpinan Kerajaan Negeri yang dikatakan gagal menyelesaikan beberapa masalah atau cadangan yang diketengahkan sebelum ini.

Sumber-sumber memberitahu Sinar Harian, tindakan itu diambil sebagai menyatakan bantahan kerana suara akar umbi tidak didengar oleh pihak atasan parti yang kini mentadbir negeri dengan tujuan memperkemaskan dan memantapkan jentera pentadbiran.

Menurutnya, pengumuman peletakan jawatan itu dipercayai dilakukan pada 27 September lalu dan suratnya diserahkan kepada Timbalan Yang Dipertua Pas Kawasan Pendang merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tokai, Datuk Mohamed Taulan Mat Rasul kelmarin.

“Ahli jawatankuasa yang terlibat mengumumkan meletak jawatan dalam satu mesyuarat yang diadakan di Pejabat Pas Pendang kerana tidak berpuas hati dengan pentadbiran kepimpinan negeri.

“Isu ini sudah menjadi heboh dalam kalangan ahli parti dan penduduk di sekitar Pendang,” katanya.

Sumber itu berkata AJK yang terlibat bertindak sedemikian selepas berjumpa dengan Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak yang dikatakan gagal menyelesaikan masalah yang diutarakan oleh mereka. .

“Mereka ada meminta Kerajaan Negeri memperbetulkan pentadbirannya kerana perjalanannya sekarang ini tidak mencapai matlamat yang diidamkan oleh kebanyakan pemimpin Pas di peringkat kawasan,” katanya.

Usaha Sinar Harian untuk mendapat ulasan daripada Taulan gagal kerana telefon bimbitnya ditutup manakala pegawai di pusat khidmatnya ‘tutup mulut’ mengenai pergerakan atau aktiviti yang dihadiri pemimpin berkenaan.

Bagaimanapun, Sinar Harian berjaya mendapatkan Bendahari Pas Pendang, Datuk Mohd Hayati Othman yang juga Ahli Parlimen Pendang yang mengesahkan peletakan jawatan itu melibatkan 15 daripada 30 AJK kawasan.

“Mereka menyerahkan surat peletakan jawatan sebagai AJK itu bermula dari 27 September sehingga semalam (kelmarin) kepada Datuk Taulan.

“Antara yang meletak jawatan terdiri ialah Yang Dipertua, Naib Yang Dipertua, Setiausaha, Ketua Penerangan dan AJK lain,” katanya.

Sehingga kini, beliau dan Taulan belum mengetahui atau dapat mengesahkan punca peletakan jawatan itu kerana tidak menyatakan sebab mereka berbuat demikian.

Mohd Hayati juga juga menafikan peletakan jawatan itu berpunca daripada perasaan tidak puas hati terhadap kepimpinan Kerajaan Negeri seperti yang didakwa beberapa pihak.

“Sehingga kini, saya belum mengetahui punca mereka bertindak sedemikian kerana gagal menghubungi mereka untuk mendapat penjelasan lanjut.

“Beberapa kali saya menghubungi mereka namun gagal dan dimaklumkan mereka tidak berada dalam kawasan dan kemungkinan ingin berehat selepas meletak jawatan,” katanya

Sehubungan itu, beliau akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat membincangkan isu itu. Pada masa ini, seorang pegawai ditugaskan di pejabat Pas untuk mengendalikan urusan orang ramai.

“Kami akan mengaturkan satu pertemuan dengan semua AJK yang meletakkan jawatan untuk mendapatkan gambaran sebenar. Mengikut perlembagaan Pas, mana-mana AJK yang ingin meletakkan jawatan perlu mendapat kelulusan dalam mesyuarat terlebih dahulu.

“Bagaimanapun, peletakan jawatan itu tidak akan menjejaskan Pas Pendang atau mana-mana cawangan kerana ia biasa dalam parti. Perkara ini pernah berlaku sekitar 1980-an apabila kesemua AJK mengundurkan diri dan parti terus bergerak seperti biasa,” katanya.

Sumber : Sinar Harian

Senarai Iklan Jawatan Kosong (Update : 1 Oktober 2010

Pelik tapi benar: Telatah Makmum di Masjid

Pada Ramadhan dan awal Shawal yang lalu, saya berkesempatan untuk bersolat di beberapa buah masjid di seluruh Malaysia. Saya banyak 'travel' ke beberapa buah negeri untuk menyelesaikan beberapa tugasan. Saya sempat singgah di beberapa buah masjid di tempat-tempat yang saya kunjungi untuk bersolat.

Secara keseluruhannya, saya agak 'takjub' dengan sikap yang ditonjolkan oleh jemaah beberapa masjid yang saya kunjungi. Berikut saya kongsikan pengalaman saya...


Bilal terlebih prihatin

Ketika saya berjalan keluar dari sebuah masjid selepas solat asar, tiba-tiba saya sedar tangan saya dipegang dari belakang. Rupanya-rupanya, tangan saya dipegang oleh salah seorang bilal (tukang azan) masjid tersebut. Saya memberi salam kepadanya dan dia menjawab salam saya.

Dia kemudiannya bertanya, "Adik ni anak sapa?".Kebetulan pula, ayah saya juga baru keluar masjid jadi saya tunjukkan tangan saya kearah ayah saya.

"Adik kalau nak solat belakang imam kene tahu ganti imam tau?".

"Tau.. saya ada (pernah) jadi imam di masjid kat Johor", jawab saya.

"Adik solat jemaah bagus, tapi kalau boleh, pakai baju tangan panjang. Makruh pakai baju tangan pendek ni".

Terkejut saya dengar kata-kata itu. Sejak bila pulak makruh pakai baju tangan pendek. Setahu saya tiada nas yang menjelaskan perkara tersebut. Yang ada, hanyalah qias dari para ulama tentang melipatkan baju lengan panjang yang dikaitkan dengan hukum mengikat rambut ketika solat.

Niat bilal tadi mungkin baik namun bagi saya, adalah lebih baik jika teguran itu dibuat atas perkara-perkara yang bersifat jelas akan nasnya. Ini kerana teguran sebegini hanya akan menjadikan islam itu kaku. Teguran tentang perkara-perkara khilaf juga perlu dielakkan.


Jarak luar biasa

Pernah satu kali saya datang bersolat di sebuah masjid. Ketika tiba di masjid tersebut, saya dapati solat Zohor baru sahaja hendak bermula dan para makmum sedang mengambil tempat. Alangkah terkejutnya saya melihat jarak diantara para makmum di dalam saf.

Setiap makmum mempunyai jarak kira-kira satu jengkal dengan makmum yang lain. Apabila saya tiba, saya merapatkan diri saya dengan makmum di sebelah saya. Ketika solat, saya dapat merasakan yang tindakan saya merapatkan badan dengan makmum di sebelah saya tidak disenanginya namun saya tidak mengendahkan akan hal tersebut kerana apa yang penting bagi saya terutamanya apabila melibatkan soal ibadah, adalah keredhaan Allah, bukannya keredhaan manusia. Sepatutnya, makmum solat dengan merapatkan bahu dan kakinya dengan makmum di sebelah.


Memulakan saf... dari kiri

Suatu hari saya tiba di sebuah masjid untuk solat maghrib dan mendapati imam baru sahaja memulakan solat. Saf pertama telah penuh dan saf kedua telah dimulakan oleh beberapa orang makmum. Apa yang pelik ialah, saf dimulakan bukannya dari tengah (belakang imam) tetapi sebaliknya jauh di sebelah kiri berdekatan sebuah tiang. Siapa la yang ajar mereka ni memulakan saf dari kiri?


Ditegur kerana rapat

Pada waktu yang lain pula, saya datang untuk solat berjemaah. Seperti biasa, saya akan merapatkan diri saya dengan makmum di sebelah. Kali ini, saya bersolat di sebelah bilal (tukang azan) masjid. Tiba-tiba, saya ditegur oleh bilal dengan nada yang agak kasar supaya saya menjarakkan diri saya daripadanya. Badan saya hanya bersentuhan (bukannya bertindih) dengan pak bilal namun dia seakan-akan marah dan mahu saya menjarakkan diri. Pelik bukan? Bukankah setiap kali sebelum solat imam kebiasaannya akan berkata, "Lurus dan rapatkan saf". Tentu seorang bilal tahu akan hal ini bukan?


Makmum tidak berani bergerak

Ada dua kes yang pernah saya lihat di mana makmum kaku dan tidak bergerak terutamanya bila terdapat kekosongan di dalam saf. Kes pertama, apabila salah seorang makmum keluar saf kerana terbatal wuduk. Makmum di belakang makmum yang keluar tadi tidak berganjak untuk memenuhi saf. Makmum disebelahnya juga kaku dan tidak bergerak untuk merapatkan saf. Akhirnya, tinggallah ruang kosong di dalam saf tersebut sehinggalah solat jemaah tamat.

Dalam suatu kes yang lain pula, ia berlaku sebelum solat. Ketika makmum sedang mengambil tempat, saya dapati makmum di sebelah saya agak jauh dan memberitahunya supaya merapatkan dirinya dengan saya. Apa yang menyedihkan adalah, ada makmum yang tidak mengendahkan ajakan saya. Yang pelik dan kadangkala melucukan pula adalah, ada setengah makmum yang pura-pura bergerak merapati saya dengan menggerakkan badan dan kakinya namun setelah saya bersedia untuk takbir, makmum tersebut kembali menjarakkan diri.

---

Kisah di atas adalah diantara beberapa peristiwa pelik yang saya temui ketika bersolat di masjid. Tujuan saya berkongsi kisah-kisah di atas bukahlah untuk mengaibkan mana-mana pihak, namun untuk menceritakan secara tidak langsung tentang kesilapan para makmum yang harus dibetulkan agar solat jemaah yang kita lakukan lebih sempurna.

Namun begitu jauh di sudut hati saya, perasan sedih menyelubungi diri memikirkan tentang tahap kefahaman agama dikalangan umat islam sekarang. Itu bagi mereka yang bersolat di masjid. Bagaimana pula mereka yang tidak bersolat di masjid atau yang tidak langsung bersolat? Bagaimanakah tahap kefahaman islam mereka?

Bagi saya, kesilapan yang dilakukan para makmum adalah kerana mereka kurangnya pengetahuan dan kefahaman agama. Jadi, apa yang lebih utama sekarang ialah untuk memberi pendidikan dan ilmu agama yang secukupnya agar generasi islam akan datang lebih faham tentang islam. Ini bukan tugas ustaz atau ulama, ini tugas untuk semua orang islam yang mempunyai ilmu tentang agama islam. Sebarkanlah pengetahuan dan kefahaman islam kepada saudara-mara/jiran/rakan anda, namun pastikan apa yang disebarkan itu tepat agar masyarakat makin faham dan mendekati islam dengan betul.

Bagaimana mungkin orang bukan islam hendak faham akan islam jika orang islam sendiri keliru dengan islam?


Sumber : Email Yahoo Group

UNTUK RENUNGAN BERSAMA...
TIDAK MUSTAHIL IANYA TERJADI TEMPAT ANDA JUGA...
SESIAPA YANG LEBIH ARIF, BOLEH KOMEN DI SINI..