Friday, May 21, 2010

Selangor Hilang Jurulatih, Tiga Tonggak

 K. Devan (kanan) turut dikenakan penggantungan gara-gara insiden tegang pada separuh akhir Piala FA di Seremban.

KUALA LUMPUR - Kempen Selangor untuk mempertahankan gelaran Liga Super menerima tamparan hebat apabila kehilangan tiga tonggak utama dan jurulatih, K. Devan.


Pemain tengah skuad Merah Kuning, Mohd. Hardi Jaafar digantung enam perlawanan manakala penyerang utama mereka, Mohd. Safaee Sali dan tonggak pertahanan, Razman Roslan masing-masing digantung empat perlawanan.


Memburukkan lagi keadaan, Selangor akan menghadapi enam perlawanan tanpa jurulatih yang turut digantung, semuanya gara-gara insiden tegang pada perlawanan separuh akhir Piala FA menentang Negeri Sembilan, 3 April lalu.


Hukuman tersebut dijatuhkan Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam mesyuarat yang dipengerusikan oleh Kamarudin Abdullah, semalam.


Devan dan Hardi bukan saja digantung enam perlawanan, malah masing-masing turut didenda RM6,000, manakala Safee dan Razman didenda RM2,000.


"Devan melakukan tiga kesalahan, berbalah dengan penjaga garisan, Mohd. Kamil Tumin, mengeluarkan kata-kata kesat, selain berbalah dengan komisioner perlawanan, Ismail Yaakob.


"Mohd. Hardi pula, didapati bersalah menyerang dan mengasari belakang pengadil. Kesalahan itu sepatutnya membawa kepada penggantungan 10 perlawanan, tetapi kami mempertimbangkan rayuan yang dikemukakan Selangor dan hukuman dikurangkan kepada enam perlawanan saja,'' kata Kamaruddin ketika dihubungi.


Katanya lagi, Safee pula didapati bersalah menyerang penolong pengadil yang sama manakala Razman bersalah menampar pemain Negeri Sembilan, Shahruain Abu Samah.


"Semua tertuduh dipanggil untuk memberi penjelasan dan pihak jawatankuasa mendapati semuanya bersalah di bawah kod etika Tatatertib FAM 2010," katanya lagi.


Kata Kamaruddin, semua penggantungan berkuat kuasa esok, apabila Selangor turun menentang KL Plus di Stadium Shah Alam.


Katanya lagi, baik Devan mahupun tiga tonggak Selangor, semuanya tidak dibenarkan mengemukakan rayuan atas hukuman yang dijatuhkan.


Dalam perlawanan separuh akhir Piala FA di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Selangor tersingkir menerusi peraturan gol tempat lawan selepas terikat dengan agregat 2-2


Suasana menjadi tegang setelah pengadil perlawanan, Ibrahim Mohamad tidak memberikan sepakan penalti walaupun pemain Selangor mendakwa bola terkena tangan pemain Negeri Sembilan, Mohd. Syukor Adan di dalam kotak penalti pada minit ke-58.


Sementara itu, dalam kes berasingan, penyerang Terengganu, Abdul Manaf Mamat digantung 10 perlawanan dan didenda RM6,500 kerana melakukan tiga kesalahan, termasuk meludah dan mengeluarkan kata-kata kesat kepada pengadil, Subkhiddin Mohd. Salleh pada perlawanan Piala FA menentang Kedah, 3 April lalu.

Sumber : Utusan Malaysia Online

HABIS LA PASUKAN MERAH KUNING NI.....
MAMPUKAH PASUKAN INI MENJULANG PIALA LIGA SUPER DAN PIALA MALAYSIA ??