Tuesday, February 09, 2010

Lagi Kes Pengawal : Pengawal Terlepas Tembakan

PUCHONG: Beberapa peniaga telefon bimbit baru memulakan operasi di sebuah kompleks beli-belah terkemuka di sini, nyaris maut apabila senapang 'pump gun' seorang pengawal keselamatan tiba-tiba meletup sebelum tembakan senjata itu mengenai dinding premis berhampiran.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi semalam, pengawal keselamatan berusia 54 tahun berkenaan tidak sengaja melepaskan satu das tembakan dari senjata api dipegang tidak jauh dari tangga bergerak tingkat satu kompleks beli-belah IOI Mall, Puchong, di sini.

Sumber polis berkata, beberapa minit sebelum kejadian, pengawal keselamatan yang bekerja di sebuah kedai emas di premis berkenaan sedang berehat sambil cuba mengeluarkan peluru dari senapang berkenaan.

Menurutnya, senapang itu tiba-tiba meletup sebelum pelurunya mengenai dinding tidak jauh dari gerai menjual aksesori telefon bimbit.

Susulan kejadian itu, orang ramai yang terkejut menghubungi polis sebelum polis bergegas ke lokasi kejadian menyiasat punca tembakan.

"Berikutan itu, polis merampas senjata api pengawal keselamatan terbabit sebelum pengawal keselamatan itu dibawa ke balai polis berhampiran untuk diambil keterangan berhubung punca kejadian berkenaan.

"Kes itu disiasat mengikut Seksyen 37 Akta Senjata Api kerana cuai," katanya.

Sementara itu, seorang peniaga berhampiran lokasi kejadian berkata, dia tergamam apabila tiba-tiba terdengar bunyi letupan kuat dan menyangka berlaku rompakan di kedai emas berhampiran.

Sumber : Harian Metro Online

LAGI KES PENGAWAL KESELAMATAN..
APA HUKUMAN SETIMPAL BAGI PENGAWAL YANG LALAI MENJALANKAN TUGAS ?

Lokasi Kilometer 252.3 Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran plaza tol Senawang Sering Nahas



SEREMBAN: Lokasi kemalangan maut di Kilometer 252.3 Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran plaza tol Senawang, dekat sini, sering meragut nyawa pengguna jalan raya.
Ketua Jabatan Trafik dan Ketenteraman Awam Negeri Sembilan, Superintendan Junaidi Bujang, berkata ini kerana keadaan laluan di sepanjang kawasan berkenaan mendaki dan menuruni bukit.

"Kadang-kadang pemandu tidak sedar terutama mereka yang melaluinya pada waktu malam.

"Kawasan ini sering berlaku kemalangan, namun kejadian pagi tadi (semalam) yang menyebabkan enam sekeluarga maut dan rentung antara yang terburuk," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau berkata, polis akan memanggil pemandu treler berkenaan untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan.

Menurutnya, berdasarkan siasatan awal, pemandu treler sudah mengambil tindakan sewajarnya dengan meletakkan kon dan memasang lampu kecemasan pada kenderaan yang mengalami kerosakan.

"Treler berkenaan dipercayai berada di situ sejak petang semalam (kelmarin) kerana rosak, bagaimanapun polis masih menjalankan siasatan lanjut.

"Pada masa sama, kami meminta saksi kejadian itu menghubungi polis bagi membantu siasatan," katanya.

Mereka yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu boleh menghubungi Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban di talian 06-6033394 atau balai polis berhampiran.

Sumber : Harian Metro Online

BERHATI-HATI DI JALAN RAYA... INGATLAH ORANG TERSAYANG...

Dr Zambry Menteri Besar Perak Yang Sah


PUTRAJAYA: Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir kekal sebagai Menteri Besar Perak selepas Mahkamah Persekutuan hari ini mengisytiharkan bahawa pelantikan beliau yang dibuat oleh Sultan Perak Sultan Azlan Shah adalah sah mengikut Perlembagaan.

Panel lima hakim diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff membuat keputusan sebulat suara bahawa Sultan Azlan Shah menggunakan bidang kuasa baginda untuk melantik Zambry bagi menggantikan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin daripada pakatan DAP-Pas-PKR selepas berpuas hati bahawa Mohammad Nizar tidak lagi menikmati kelebihan undi dalam Dewan Undangan negeri.

Turut bersidang bersama Alauddin ialah Hakim Besar Malaya, Tan Sri Arifin Zakaria serta Hakim-hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Zulkefli Ahmad Makinuddin,

Datuk Wira Ghazali Mohd Yusof dan Datuk Abdull Hamid Embong.

Penghakiman dibaca oleh Hakim Arifin.

Pertikaian mengenai siapa antara Zambry dan Mohammad Nizar adalah Menteri Besar yang sah timbul tahun lalu selepas Barisan Nasional (BN) mempunyai majoriti dalam dewan apabila dua anggota daripada PKR dan seorang daripada DAP meninggalkan parti masing-masing untuk menyokong BN dan seorang lagi daripada PKR yang menyertai parti itu daripada Umno, bertindak kembali kepada Umno.

Sultan Azlan Shah kemudian menitahkan agar Mohammad Nizar meletak jawatan sebagai Menteri Besar, dan pada Februari melantik Zambary sebagai Menteri Besar

selepas berpuas hati bahawa BN mempunyai majoriti dalam dewan.

Mohammad Nizar, 52, yang enggan meletak jawatan, mengambil tindakan undang-undang pada 13 Februari dengan memohon agar mahkamah mengisytiharkan beliau adalah Menteri Besar yang sah, dan pada 11 Mei, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim mengembalikan jawatan itu kepada Mohammad Nizar kerana mendapati bahawa BN tidak mengadakan undi tidak percaya terhadap Mohammad Nizar dalam Dewan Undangan Negeri.

Bagaimanapun, ekoran rayuan Zambry, Mahkamah Rayuan mengisytiharkan bahawa pelantikan beliau sebagai Menteri Besar dibuat mengikut Perlembagaan.-Bernama

Sumber : Harian Metro Online

KEBENARAN DAH TERBUKTI.. NAK BERDALIH APA LAGI...
KALAU NAK LAWAN LAGI.. TUNGGU PILIHANRAYA AKAN DATANG PLAK.....
TAHNIAH DR ZAMBRY YANG KEKAL MENJADI MENTERI BESAR PERAK YANG SAH.

17 Lebuh Raya Beri Diskaun Tol

 
Shaziman Abu Mansor mengibarkan bendera semasa melancarkan Kempen Keselamatan 
Lebuh Raya peringkat Kementerian Kerja Raya di Tol Kajang-Semenyih, Selangor, semalam. 


KUALA LUMPUR 8 Feb. - Sebanyak 17 lebuh raya menawarkan laluan tol percuma dan diskaun kepada pengguna sempena sambutan Tahun Baru Cina pada Ahad dan Isnin ini.

Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor berkata, tawaran itu disertai buat julung kalinya oleh semua lebuh raya terlibat pada musim perayaan berbanding sebelum ini yang hanya disertai oleh beberapa lebuh raya sahaja.

Menurutnya, dua lebuh raya iaitu Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak dan Lebuh Raya Pantai Timur (Fasa 1) tidak akan mengenakan sebarang bayaran tol pada 11 Februari dan 15 Februari dari pukul 11.30 malam hingga 4.30 pagi.

"PLUS Expressways yang mengendalikan Lebuh Raya Utara-Selatan dan Lebuh Raya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite) menawarkan diskaun tol sebanyak 20 peratus kepada pengguna bermula 12 tengah malam hingga 7 pagi dari 10 hingga 19 Februari," katanya.

Beliau mengumumkan perkara itu selepas melancarkan Kempen Keselamatan Jalan Raya Sempena Tahun Baru Cina 2010 peringkat Kementerian Kerja Raya di Plaza Tol Kajang Selatan, Lebuh Raya Kajang-Seremban (Lekas) dekat sini hari ini.

Sebelum ini, tol percuma dan diskaun hanya diberikan oleh Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak, Lebuh Raya Pantai Timur (LPT)(Fasa 1), Lebuh Raya Utara-Selatan dan Elite pada musim perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri.

Shaziman memberitahu, sebanyak 15 lebuh raya lagi yang baru menyertai program itu pula menawarkan diskaun tol antara lima peratus hingga 20 peratus pada 14 Februari.

Katanya, 10 lebuh raya menawarkan diskaun tol pada 14 Februari bermula dari pukul 12.01 tengah malam hingga 12 tengah hari.

Menurut beliau, lebuh raya terbabit adalah Lebuh Raya Damansara-Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat, Lebuh Raya Baru Pantai, Lebuh Raya Sungai Besi dan Lebuh Raya SMART.

Lebuh raya lain adalah Lebuh Raya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur, Lebuh Raya Shah Alam-Kuang, Lebuh Raya Kuala Lumpur-Putrajaya, Lebuh Raya Duta-Ulu Kelang (Duke) dan Lebuh Raya Penyuraian Trafik Lingkaran Kajang.

"Lebuh Raya Cheras-Kajang dan Lebuh Raya Shah Alam pula menawarkan diskaun sebanyak 10 peratus kepada kenderaan kelas 1 yang membayar menggunakan Touch 'n Go dan Smart Tag bermula 6 pagi 14 Februari hingga 6 pagi 15 Februari," katanya.

Shaziman berkata, kerajaan mengucapkan terima kasih kepada semua syarikat konsesi yang memenuhi tanggungjawab korporat kepada pengguna lebuh raya sempena Tahun Baru Cina.

Kata beliau, pemberian tol percuma dan diskaun perlu diteruskan pada musim-musim perayaan akan datang termasuk cuti Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos.

"Ini adalah 'wang angpau' untuk semua pengguna lebuh raya sempena Tahun Baru Cina dan melalui insentif ini, diharap rakyat Malaysia akan terus menyemarakkan lagi semangat serta integrasi 1Malaysia," katanya.

Mengenai kempen keselamatan lebuh raya yang dilancarkan, Shaziman berkata, kementerian menyasarkan untuk mengenal pasti 30 kawasan 'hitam' yang sering berlaku kemalangan tahun ini bagi membolehkan kerja pembaikan dijalankan di kawasan berkenaan.

Jelas beliau, antara April hingga Disember tahun lepas, kementerian menjalankan kerja pembaikan di 10 kawasan hitam yang dikenal pasti membabitkan kos antara RM200,000 hingga RM10 juta bagi setiap lokasi.

"Kerajaan mampu untuk mengadakan infrastruktur jalan yang terbaik, tetapi jika pemandu tidak mengamalkan pemanduan yang berhemah dan beretika, maka usaha kerajaan serta kempen-kempen keselamatan tidak akan berkesan," katanya.

Sumber : Utusan Malaysia Online

PERCUMA.. PERCUMA.. DISKAUN... DISKAUN.... 
JANGAN TUNGGU LAGI.. PENUHI LEBUHRAYA YANG TERPILIH....