JPA akan beri penekanan pencapaian tugas individu
PUTRAJAYA: Satu sistem penilaian yang mengambil kira 'keunikan' setiap jabatan kerajaan akan diguna pakai bagi menggantikan peperiksaan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) yang ditamatkan mulai 1 Januari ini.
Ketika PTK ditolak sesetengah kakitangan awam, sistem penilaian baru itu yang sedang dirangka oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan turut memberi penekanan kepada pencapaian individu dalam tugas hakikinya.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Abu Bakar Abdullah, berkata pada ketika ini, PTK ‘mengukur’ kecekapan pegawai secara sama rata tanpa banyak mengambil kira jurusan hakiki masing-masing.
“Tiap-tiap jabatan ada keunikan masing-masing jadi ia tidak boleh dinilai secara sama rata, misalnya jika kakitangan berada dalam bahagian pentadbiran tidak boleh sama dengan bahagian teknikal," katanya ketika dihubungi Berita Harian.
Beliau berkata, sepatutnya PTK juga menekankan keunikan setiap jabatan itu tetapi oleh kerana ia sudah menjadi budaya dalam perkhidmatan awam ia nampak seolah-olah diseragamkan.
Katanya, JPA diberi masa sehingga Jun depan untuk mengemukakan sistem penilaian baru itu seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, pada pembentangan Bajet 2011 lalu.
Beliau berkata, nama kepada sistem penilaian baru itu juga belum ditentukan.
Bagaimanapun, katanya, proses kenaikan pangkat kakitangan awam antara Januari hingga Jun depan akan diteruskan dengan keutamaan masih diberikan kepada mereka yang lulus PTK yang diduduki sebelum ini.
Menjawab soalan, katanya, sistem penilaian baru itu kelak juga akan mirip kepada kriteria Petunjuk Prestasi Utama (KPI) individu tetapi enggan menjelaskan terperinci.
Walaupun sesetengah kriteria akan berfokus kepada bidang hakiki kakitangan berkaitan, beberapa subjek seperti kenegaraan akan diteruskan dalam penilaian baru itu kelak kerana ia penting untuk seseorang kakitangan kerajaan.
Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 13/2010 yang disiarkan di laman web JPA sebelum ini menyatakan pelaksanaan PTK akan dihentikan berkuat kuasa 1 Januari ini selaras dengan pengumuman kerajaan dalam pembentangan Bajet 2011 pada Oktober lalu.
Justeru, lulus PTK bukan lagi syarat untuk kenaikan pangkat mulai 1 Januari ini.
PTK diperkenalkan dalam Sistem Saraan Malaysia (SSM) bermula 1 November 2002 bertujuan menggalakkan pembangunan diri pegawai perkhidmatan awam melalui pembelajaran berterusan, meningkatkan budaya organisasi pembelajaran dan melaksanakan pengurusan sumber manusia berasaskan kompetensi.
PTK dimantapkan pada 2005 dan dibuat pengubahsuaian pada 2008.
Bagaimanapun, peperiksaan itu menimbulkan pelbagai kontroversi kerana dikatakan ramai kakitangan terutama yang berpengalaman sukar menikmati kenaikan pangkat.
Sumber : Berita Harian Online
APA KOMEN ANDA WAHAI PENJAWAT AWAM ?