Thursday, March 04, 2010

Saman Nabil RM2 juta


KUALA LUMPUR: Gara-gara mengkritik filem lakonannya sendiri, juara Raja Lawak musim kedua, Ahmad Nabil Ahmad, 27, disaman RM2 juta oleh syarikat yang menerbitkan filem Lu Pikirlah Sendiri De Movie, SDAF Pictures (M) Sdn Bhd.

Mengesahkan perkara itu, pengarah Lu Pikirlah Sendiri, Aminah Rhapor, 44, berkata notis saman berkenaan sudah dihantar kepada Nabil di kediamannya di Sunway Damansara, dekat Petaling Jaya, pada 24 Februari lalu melalui Tetuan Hing & Alvin, Advocates & Solicitors.


Aminah berkata, Nabil diberi masa 14 hari dari tarikh berkenaan untuk memberikan maklum balas serta memenuhi segala tuntutan daripada pihak plaintif ke atasnya.


“Kami terpaksa menyaman Nabil kerana dia melanggar kontrak bersama SDAF. Nabil bukan saja memperlekehkan filem lakonannya sendiri, tetapi juga tidak menjayakan promosi filem ini seperti yang dijanjikan.


“Kesan daripada tindakan Nabil itu, ia memalit imej buruk ke atas filem ini dan menjejaskan reputasi produser serta saya sendiri sebagai pengarah.


“Sebenarnya kami tidak mahu memperbesarkan isu ini kerana ia boleh diselesaikan secara baik. Kalau dari awal Nabil datang berbincang dengan saya mengenai apa yang dia tidak puas hati, perkara ini boleh diselesaikan secara baik.

“Bagaimanapun, selepas Nabil mengeluarkan kenyataan mengkritik dan memperlekehkan filem ini, dia langsung tidak datang berjumpa saya. Paling tidak pun, dia boleh berjumpa produser filem itu, Datuk Suhaimi Othman untuk minta maaf,” kata Aminah kepada Harian Metro (HM), semalam. Beliau berkata, pihaknya memahami jika jadual kerja Nabil padat, namun pelakon itu langsung tidak muncul mempromosikan filem pertama yang dibintanginya bersama Mila AF5 dan Lan Meet Uncle Hussain (MUH) itu.


“Saya tidak minta Nabil datang ke semua lokasi promosi filem kami itu kerana saya pun tahu dia sibuk, tapi kalau dia datang tunjuk muka sekejap pun saya tak kisah. Malah, Pengurus Pemasaran SDAF banyak kali cuba menghubungi Nabil dan pengurusnya, Latif, tapi hampa,” katanya.


Aminah berkata, pihaknya mengambil keputusan menyaman Nabil sebagai peringatan kepada artis lain terutama yang baru menceburi dunia lakonan.


“Apabila kita bekerja dengan syarikat mana pun, sudah tertulis dalam perjanjian tidak boleh mengutuk tempat kita mencari makan. Itu perkara asas dan ia turut terkandung dalam kontrak filem Lu Pikirlah Sendiri De Movie.


“Sebab itu sebelum Nabil menandatangani kontrak berlakon, saya minta dia bawa balik kontrak itu dan baca dengan betul isi kandungannya. Kalau rasa tidak faham, boleh rujuk dengan peguam. “Kalau tak salah saya, Nabil ada membuat kenyataan dia memang tidak tahu yang dia tidak boleh keluarkan kenyataan memburukkan syarikat. Kalau dia membaca kontrak itu dengan teliti, tentu dia akan tahu semuanya ada.


“Memandangkan tindakan Nabil keterlaluan, ia memberi kesan kepada kami dan juga promosi Lu Pikirlah Sendiri. Jadi kami perlu bertindak bagi memastikan perkara seperti ini tidak berlaku lagi. “Di sebalik apa yang berlaku, saya tidak akan serik untuk mengarah filem lagi. Namun, saya akan pastikan selepas ini tidak ada sesiapa pun akan pijak kepala saya lagi,” katanya.


Lu Pikirlah Sendiri De Movie masih ditayangkan di pawagam tempatan dan setakat ini memungut RM2.1 juta. “Saya percaya rezeki ditetapkan Allah S.W.T, tetapi sebagai manusia, kita mesti berusaha untuk mencapai kejayaan. Begitu jugalah misi filem ini. SDAF sudah mengatur pelbagai strategi untuk mempromosikannya, tapi Nabil merosakkannya. “Dari tarikh surat saman dihantar, Nabil sepatutnya sudah menerima surat itu. Bagaimanapun, kami masih belum menerima sebarang panggilan telefon daripada Nabil ataupun pengurusnya, Latif,” katanya. 

Sumber : Harian Metro Online
PAYAH JUGA KAN BILA DAH JADI ARTIS...

Malaysia Tangga 146 Dunia

 KUALA LUMPUR - Malaysia berjaya melonjakkan kedudukan ke tangga 146 ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA); satu kenaikan yang dianggap terbaik dalam tempoh lima tahun.

Berdasarkan senarai ranking dunia FIFA, semalam, Malaysia memperbaiki kedudukan 13 anak tangga, berbanding senarai yang dikeluarkan bulan lalu iaitu di tangga ke-159 dunia.

Dalam senarai terbaru yang diperoleh daripada laman web rasmi www.fifa.com itu, kedudukan terkini skuad bola sepak Malaysia itu turut dibantu dengan kemenangan menewaskan Yemen dalam perlawanan persahabatan pada 27 Februari lalu.

Malaysia pernah mencatat keputusan terbaik pada tahun 1993 iaitu di kedudukan 79, 1994 (89), 1996 (96) dan 1997 (87).

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad ketika diminta mengulas berkata, peningkatan yang ditunjukkan pasukan negara merupakan petanda baik buat arena bola sepak negara.

"Pertama sekali saya ucapkan tahniah kerana peningkatan yang amat baik ini dan berharap ia terus sentiasa konsisten.

"Apa yang dapat saya katakan, peningkatan itu merupakan hasil perubahan yang ditunjukkan skuad bola sepak negara iaitu dari kesungguhan para pemain dan paling utama adalah bimbingan berkesan K. Rajagobal yang harus diberi pujian," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.

Mengulas perlawanan menentang Yemen bulan lalu, Azzuddin berkata, ia patut berlaku (kenaikan ranking) kerana kita menunjukkan corak permainan yang hebat.

"Sudah lama kita tidak menyaksikan corak permainan sebegitu. Ia sememangnya ada perubahan," ujarnya.

Bagi mengekalkan konsistensi itu, tambahnya, skuad negara memerlukan perlawanan melibatkan pasukan lawan yang hebat untuk meningkatkan lagi daya saing.

"Kita sedang berusaha mencari pasukan yang mantap dan antara yang telah tersenarai nanti adalah menentang Thailand, bulan ini dan juga undangan daripada Korea dalam masa terdekat ini.

"Malah, kita turut merancang untuk mengadakan perlawanan dengan Uzbekistan dan sebuah lagi, adalah negara timur tengah yang berkemungkinan adalah Qatar," jelasnya.

Dalam pada itu, berlaku sedikit perubahan di kedudukan teratas dengan dominasi diteruskan oleh Sepanyol di tempat pertama diikuti Brazil, Belanda dan Itali yang masih unggul mengekalkan empat tempat teratas.

Jerman pula melonjak satu anak tangga di kedudukan kelima manakala Greece yang dulu di tangga ke-12, menghuni kedudukan ke-10.

Sumber : Utusan Malaysia Online & Fifa.Com
TERUSKAN MEMPERBAIKI RANKING DUNIA..

Restoran Guna Sijil Halal Palsu

 
Pegawai Jakim (kiri) menyoal siasat petugas sebuah restoran di Damansara Damai, Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 3 Mac - Mengaku Islam tetapi tergagap-gagap apabila diminta mengucap dua kalimah syahadah dan membaca Al-Fatihah.

Akibatnya, bukan sahaja tembelang pekerja sebuah restoran mamak di Damansara Damai itu pecah, bahkan muslihat majikannya memalsukan sijil halal turut terbongkar.

Ketika pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menjalankan sesi ujian dalam serbuan di restoran itu hari ini, pekerja yang berasal dari selatan India itu hanya terkebil-kebil ketika dia yang mengaku Islam diminta mengucap dan membaca surah Al-Fatihah.

Serbuan pada pukul 11 pagi itu dilakukan sepasukan pegawai Jakim dibantu pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Putrajaya.

Penolong Pengarah Cawangan Pemantauan dan Penguatkuasaan Bahagian Hab Halal Jakim, Amri Abdullah berkata, ia dilakukan selepas pihaknya menerima aduan pengguna yang keliru dengan status halal restoran tersebut yang majoriti pekerjanya adalah warga asing.

Beliau berkata, pemeriksaan mendapati terdapat tiga logo halal disyaki palsu ditampal di tiga penjuru restoran yang dimiliki oleh peniaga bukan Islam itu.

Katanya, seorang penyelia restoran yang disoal siasat cuba memperdayakan pegawai penguat kuasa dan mendakwa restoran itu ditauliahkan sijil halal Jakim.

Bagaimanapun, katanya, helah tersebut tidak berjaya kerana dia gagal menunjukkan sijil itu apabila diminta.

"Lelaki terbabit kemudian memberi alasan sijil halal berkenaan disimpan oleh pemilik syarikat yang kini berada di Kedah atas urusan perniagaan," katanya ketika ditemui selepas mengetuai operasi itu di sini hari ini.

Menurut Amri, alasan itu dianggap tidak munasabah kerana kebiasaannya pemilik restoran atau kilang akan mempamer atau menggantungkan sijil halal dalam premis untuk meyakinkan pelanggan.

"Curiga dengan alasan diberikan, maka kami sengaja mengatur sesi ujian ringkas dengan meminta penyelia kedai terbabit menunjukkan pekerja beragama Islam yang ada di restoran itu.

"Dia segera memanggil seorang pekerjanya yang didakwa beragama Islam berasal dari India.

" Namun, mengejutkan apabila dia (pekerja berkenaan) langsung tidak tahu mengucap dua kalimah syahadah apatah lagi membacakan ayat mudah seperti surah Al-Fatihah apabila diminta," katanya.

Amri berkata, ditanya sama ada dia pernah mendirikan solat, lelaki terbabit mengaku hanya ibu dan kakaknya di kampung sahaja yang bersembahyang.

Katanya, ini jelas menunjukkan lelaki terbabit hanya Islam pada zahirnya tetapi tidak pernah faham atau mengamalkan ajaran Islam sebenar.

"Sehubungan itu, pihak Jakim percaya semua pekerja di restoran terbabit adalah bukan Islam dan tidak layak untuk mendapatkan sijil halal," katanya.

Bimbang pemilik restoran terus memperdaya pelanggan, kata Amri, pihaknya mengarahkan supaya logo halal terbabit ditanggal serta-merta.

Katanya, pemilik restoran itu boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 15(1) Akta Perihal Dagangan 1972 kerana memalsukan logo sijil halal Jakim yang boleh membawa denda maksimum RM250,000 jika sabit kesalahan.

Sumber : Utusan Malaysia Online
FIKIR 2 KALI DULU SEBELUM MAKAN DI RESTORAN NASI KANDAR MAMAK