Thursday, March 04, 2010

Malaysia Tangga 146 Dunia

 KUALA LUMPUR - Malaysia berjaya melonjakkan kedudukan ke tangga 146 ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA); satu kenaikan yang dianggap terbaik dalam tempoh lima tahun.

Berdasarkan senarai ranking dunia FIFA, semalam, Malaysia memperbaiki kedudukan 13 anak tangga, berbanding senarai yang dikeluarkan bulan lalu iaitu di tangga ke-159 dunia.

Dalam senarai terbaru yang diperoleh daripada laman web rasmi www.fifa.com itu, kedudukan terkini skuad bola sepak Malaysia itu turut dibantu dengan kemenangan menewaskan Yemen dalam perlawanan persahabatan pada 27 Februari lalu.

Malaysia pernah mencatat keputusan terbaik pada tahun 1993 iaitu di kedudukan 79, 1994 (89), 1996 (96) dan 1997 (87).

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad ketika diminta mengulas berkata, peningkatan yang ditunjukkan pasukan negara merupakan petanda baik buat arena bola sepak negara.

"Pertama sekali saya ucapkan tahniah kerana peningkatan yang amat baik ini dan berharap ia terus sentiasa konsisten.

"Apa yang dapat saya katakan, peningkatan itu merupakan hasil perubahan yang ditunjukkan skuad bola sepak negara iaitu dari kesungguhan para pemain dan paling utama adalah bimbingan berkesan K. Rajagobal yang harus diberi pujian," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.

Mengulas perlawanan menentang Yemen bulan lalu, Azzuddin berkata, ia patut berlaku (kenaikan ranking) kerana kita menunjukkan corak permainan yang hebat.

"Sudah lama kita tidak menyaksikan corak permainan sebegitu. Ia sememangnya ada perubahan," ujarnya.

Bagi mengekalkan konsistensi itu, tambahnya, skuad negara memerlukan perlawanan melibatkan pasukan lawan yang hebat untuk meningkatkan lagi daya saing.

"Kita sedang berusaha mencari pasukan yang mantap dan antara yang telah tersenarai nanti adalah menentang Thailand, bulan ini dan juga undangan daripada Korea dalam masa terdekat ini.

"Malah, kita turut merancang untuk mengadakan perlawanan dengan Uzbekistan dan sebuah lagi, adalah negara timur tengah yang berkemungkinan adalah Qatar," jelasnya.

Dalam pada itu, berlaku sedikit perubahan di kedudukan teratas dengan dominasi diteruskan oleh Sepanyol di tempat pertama diikuti Brazil, Belanda dan Itali yang masih unggul mengekalkan empat tempat teratas.

Jerman pula melonjak satu anak tangga di kedudukan kelima manakala Greece yang dulu di tangga ke-12, menghuni kedudukan ke-10.

Sumber : Utusan Malaysia Online & Fifa.Com
TERUSKAN MEMPERBAIKI RANKING DUNIA..

No comments: