PENDANG 2 Julai - Pasar Raya Pendang Sdn. Bhd. (Pasaraya Pendang) merancang untuk menjadi pusat memasarkan produk makanan halal negara Thailand khususnya dari selatan negara itu supaya barangan keluaran masyarakat di wilayah berkenaan dapat diperluaskan sehingga ke peringkat antarabangsa.
Pengarah urusannya, Shakri Abd. Razak memberitahu, ini kerana produk berasaskan makanan dari wilayah tersebut cukup berpotensi untuk dipasarkan secara lebih meluas bukan sahaja di seluruh negara malah ke negara-negara lain.
"Kami (Pasaraya Pendang) merancang untuk membawa masuk produk makanan halal Thailand khususnya dari selatan Thailand kerana ia mendapat sambutan menggalakkan daripada rakyat di negara ini," kata beliau ketika ditemui di Mini Ekspo Usahawan di Pasaraya Pendang Taman Wawasan, di sini baru-baru ini.
Menurut beliau, sebagai langkah permulaan, pihaknya bercadang untuk menempatkan produk keluaran negara berkenaan di kesemua cawangan Pasaraya Pendang supaya ia boleh dijual kepada pelanggan sebelum diedarkan ke tempat lain.
"Sebagai langkah pertama, kami mempunyai rancangan untuk menempatkan produk berkenaan di Pasaraya Pendang cawangan Taman Wawasan Pendang yang baru dibuka terlebih dahulu, mungkin dari situ kami akan edarkan ke cawangan sebelum pasarannya lebih meluas lagi," tambah beliau.
Menurut Shakri, setakat ini, selain di Taman Wawasan yang baru dibuka, terdapat cawangan pasar raya itu yang beroperasi di daerah ini iaitu di pusat bandar, Sungai Tiang, Tajar dan Jenun manakala sebuah lagi di Jalan Langgar Alor Setar.
Bagi menjayakan rancangan tersebut, kata beliau, pihaknya akan menjalin kerjasama dua hala dengan usahawan di negara berkenaan khususnya di selatan Thailand.
"Sebenarnya, produk negara berkenaan terutama selatan Thailand, boleh dibawa masuk ke sini (Malaysia) kerana ia mendapat sambutan menggalakkan, malah beberapa produk makanan dari sana (selatan Thailand) telah pun berada dalam pasaran di negara ini.
"Kita perlu luaskan lagi pasaran dengan membawa masuk produk negara ini untuk di pasarkan di sana di samping membawa barangan selatan Thailand untuk dijual di sini," kata beliau.
"Buat permulaaan, kemungkinan kita boleh mengadakan kerjasama seperti pertukaran produk antara pihak di selatan Thailand dengan usahawan di utara Semenanjung menerusi Pasaraya Pendang.
"Melalui kaedah ini, kita boleh memasarkan produk usahawan selatan Thailand di negara ini dan juga ke negara lain manakala barangan kita pula dipasarkan di wilayah berkenaan, mungkin sehingga ke seluruh Thailand," tambah beliau.
Sehubungan itu, kata beliau, Pasaraya Pendang akan menganjurkan Mini Karnival Silaturahim dan Ekspo Perdagangan (Karsep) di Wilayah Pattani dari 30 Julai hingga 1 Ogos ini bagi mendedahkan aktiviti perniagaan usahawan di negara ini khususnya di utara Semenanjung.
"Mini Karsep ini akan memberi peluang kepada usahawan di selatan Thailand melihat produk negara ini yang berpotensi untuk dipasarkan di sana nanti," kata beliau.
Sementara itu, kata Shakri, Karsep 2010 yang akan berlangsung di Jitra, dekat sini pada Disember ini turut memberi peluang penyertaan kepada usahawan dari wilayah berkenaan untuk mempromosikan produk keluaran masing-masing.
Sumber : Utusan Malaysia Online
SEMAKIN DIKENALI PASARAYA PENDANG