Wednesday, December 22, 2010

Berita Baik : Rebet elektrik tahun 2011, hanya akan diberi kepada penguna yang bil elektrik kurang daripada RM20 sebulan


KUALA LUMPUR - Lebih sejuta pengguna domestik akan mendapat manfaat rebet bil elektrik dengan anggaran kos berjumlah RM138.48 juta tahun depan.

Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Noriah Kasnon berkata, langkah itu diharap dapat membantu golongan berpendapatan rendah dan mengurangkan perbelanjaan bulanan mereka.

Beliau berkata, Selangor mencatat bilangan pengguna tertinggi menerima rebet tersebut iaitu 150,000 pengguna, diikuti Johor (126,000), Perak (114,000), Kedah (99,000) dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (94,000).

Selain itu, Kelantan pula mencatatkan 69,000 pengguna, Sarawak (69,000), Pulau Pinang (68,000), Pahang (63,000), Sabah (62,000), Negeri Sembilan (53,000), Terengganu (50,000), Melaka (36,000), Perlis (11,000) serta Putrajaya dan Cyberjaya (4,000)," katanya.

Bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun ini, Noriah berkata, kerajaan membelanjakan RM116.24 juta bagi menampung rebet kepada pengguna.

Katanya, rebet tersebut hanya akan diberi kepada penguna yang bil elektrik kurang daripada RM20 sebulan.

Sumber : Kosmo Online

APA PENDAPAT KORANG ? BERITA BAIK ATAU SEBALIKNYA ?

Tahukah Anda : Penduduk Malaysia 27.56 juta orang


PUTRAJAYA 22 Dis. - Laporan permulaan Banci Penduduk dan Perumahan 2010 menunjukkan jumlah penduduk Malaysia kini adalah seramai 27,565,821 orang.

Ia terdiri daripada 14,112,667 lelaki dan 13,453,154 perempuan dengan purata kadar pertumbuhan penduduk tahunan dalam tempoh 2000 sehingga 2010 ialah 2.17 peratus.

Semasa tempoh bancian, terdapat 6,396,174 isi rumah dan 7,380,865 tempat kediaman di seluruh negara.

Laporan itu diumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop di sini hari ini.

Sumber : Utusan Malaysia Online
TAHUKAH ANDA ? 
RAKYAT MALAYSIA 27,565,821 ORANG.. RAMAI TU...
CAMPUR DENGAN RAKYAT ASING LAGI, BERAPA AGAKNYA ?

Pemain AFF Suzuki 2010 : Amar Tangkas Tangkis Lawan








KETENANGAN dan kematangan pemain tengah kebangsaan, Amar Rohidan sekali lagi ditagih apabila turun pada perlawanan akhir pertama Piala Suzuki AFF di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Ahad ini.

Walaupun jarang mendapat pujian, peranan dimainkan pemain itu cukup besar sehingga membantu skuad kebangsaan mara ke perlawanan akhir buat kali pertama selepas 14 tahun.


Malah ketabahannya mematahkan serangan lawan dan mencorak jentera tengah bersama-sama kapten pasukan, Mohd Safee Sali wajar mendapat pujian terutamanya ketika mengekang asakan Vietnam bertali arus pada separuh akhir kedua di Stadium MyDinh, Sabtu lalu.

“Ini tugas diberikan ketua jurulatih kebangsaan (K Rajagobal) iaitu membantu barisan pertahanan negara apabila diasak manakala Mohd Safiq lebih berperanan membantu jentera serangan mencari gol,” katanya.


Pemain kelahiran Perlis itu turut memuji barisan pertahanan negara yang muda terutamanya Mohd Fadhli Shas yang berusia 19 tahun dan Mohd Muslim Ahmad.


“Mereka sudah mempamerkan kematangan walaupun ini adalah kejohanan AFF pertama namun apa yang penting adalah mematuhi arahan jurulatih dan strategi yang ditetapkan,” tambahnya.

Namun seperti pemain lain, Amar turut menyimpan dendam terhadap Indonesia yang memalukan Malaysia dengan keputusan 5-1 pada perlawanan pertama peringkat kumpulan pada 1 Disember lalu.


Pada perlawanan itu, dia tidak diturunkan oleh Rajagobal di dalam kesebelasan utama apabila Mohd Amri Yahyah diberikan kepercayaan untuk bergandingan dengan Mohd Safiq.

Namun apabila diturunkan pada minit ke-62, dia terus memainkan peranan penting sehingga mendapat kepercayaan Rajagobal untuk baki dua perlawanan peringkat kumpulan selepas itu serta dua perlawanan separuh akhir menentang Vietnam.

Sumber : Harian Metro Online 
GOOD LUCK AMAR ROHIDAN.. BUAT YANG TERBAIK... UNTUK MALAYSIA

Pengumuman! Agihan ASB 8.75 sen

 UMUM...Ahmad Sarji (kiri) dan Hamad Kama Piah mengumumkan agihan pendapatan ASB, semalam.

LEBIH tujuh juta pemegang saham yang melanggan 82.72 bilion unit Amanah Saham Bumiputera (ASB) bakal menerima durian runtuh berikutan Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) mengumumkan pemberian dividen 7.5 sen seunit dan bonus 1.25 sen seunit bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2010.

Agihan pendapatan itu lebih tinggi berbanding 7.3 sen seunit sebelum ini, manakala bonus 1.25 sen kekal sama.

Pengerusi Permodalan Nasional Berhad (PNB), Tan Sri Ahmad Sarji Abdul Hamid, berkata peruntukan pengagihan pendapatan berkenaan membabitkan pembayaran RM5.93 bilion, meningkat 22 peratus berbanding RM4.86 bilion yang dibayar tahun lalu, manakala bagi bonus, sebanyak RM603.34 juta dibayar tahun ini.

Katanya, sehingga 17 Disember lalu, ASB meraih pendapatan kasar RM6.58 bilion yang diperoleh hasil penjualan saham dalam syarikat dengan sumbangan RM2.78 bilion atau 42 peratus daripada pendapatan kasar terbabit.

“Pendapatan dividen daripada pelaburan dalam syarikat terbabit pula menyumbang RM3.27 bilion atau 50 peratus daripada pendapatan kasar, manakala selebihnya RM530 juta antaranya diperoleh menerusi pelaburan dalam instrumen jangka pendek,” katanya ketika mengumumkan pengagihan pendapatan ASB bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2010 di Kuala Lumpur, semalam.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman.

Beliau berkata, pembayaran agihan pendapatan dan bonus ASB itu akan dikreditkan secara automatik ke dalam buku pelaburan setiap pemegang unit.

“Sehubungan itu, semua urus niaga ASB di Ibu Pejabat, pejabat dan ejen ASNB ditangguhkan kelmarin hingga 2 Januari tahun depan. Pemegang unit boleh mengemaskini buku pelaburan ASB bermula 3 Januari tahun depan,” katanya.

Sumber : Harian Metro Online
SYOKNYA DAPAT DIVIDEN.. DAPAT BONUS LAGI..
BILA LA AGAKNYA AKU NAK BUKA ASB NI ? ...